Thursday, November 12, 2009

Lompat Menara KL



Peserta Australia, Tasman Gilingham melakukan penerjunan dari puncak Menara KL.

24 penerjun udara pecah rekod terjun 24 jam tanpa henti

EMPAT puluh enam penerjun profesional, 24 jam tanpa henti. Begitulah debaran dan rentetan aksi ekstrem sekumpulan penerjun udara yang cuba merealisasikan impian menempa nama melalui acara terjunan base di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun gagal mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) disebabkan faktor hujan lebat selama tiga jam pada saat akhir, ia bukanlah penghalang bagi sekumpulan penerjun profesional tempatan dan antarabangsa membuktikan semangat juang dan tekad menawan Menara Kuala Lumpur.


Bayangkan pada ketinggian 388 meter dari pelantar terbuka di puncak menara, semua 46 penerjun tempatan dan luar negara perlu melakukan terjunan base secara bergilir-gilir dari awal pagi hingga larut malam.

Mengikut perancangan awal, purata 24 terjunan perlu dilakukan dalam tempoh sejam bagi melengkapi keseluruhan 576 terjunan yang disasarkan bagi tempoh 24 jam misi berlangsung. Bagaimanapun, rekod 533 terjunan yang dicatatkan pada hari itu sudah cukup membanggakan.

Sepanjang babak dramatik itu berlangsung, bukan saja faktor cuaca menjadi halangan mereka, malah peserta berdepan risiko kecederaan dan gangguan psikologi yang menjadikan acara ekstrem dua hari itu lebih mencabar.

Andai sebelah pagi cuaca sedikit dingin, peserta terpaksa pula mengharungi terik mentari menjelang tengah hari. Suasana berubah menjadi sedikit berjerebu pada sebelah petang manakala kegelapan malam mengundang risiko tersendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad, berkata Menara Kuala Lumpur menampilkan acara berbeza tahun ini dengan mempelawa penerjun profesional melakukan terjunan base tanpa henti yang menguji kemampuan fizikal dan mental peserta.

Beliau berkata, selain aksi terjunan pada sebelah malam, cabaran terjunan base kali ini adalah satu-satunya peluang keemasan buat penerjun mencipta rekod sendiri.

“Walaupun tidak mencapai misi, saya percaya, terjunan base ini menjadi kayu ukur kekuatan mental dan fizikal peserta yang terbabit,” katanya kepada XY - Ikon Lelaki.

Zulkifli berkata, tidak mudah buat peserta merealisasikan cabaran melainkan berbekalkan semangat dan pengalaman.

Program mencipta rekod terjunan 24 jam itu diadakan sempena Terjunan Antarabangsa Malaysia Menara KL 2009. Terjunan Antarabangsa Malaysia adalah siri terjunan anjuran Menara Kuala Lumpur yang bermula di Kompleks Teruntum Pahang pada 4 Oktober lalu.

Pagi 28 Oktober lalu, sekumpulan 46 penerjun profesional mencuba nasib melakukan terjunan selama 24 jam tanpa henti yang berakhir jam 9.12 pagi keesokannya.

Biarpun hanya mampu melakukan 533 terjunan sepanjang tempoh itu, misi yang julung kali diadakan itu menjadi detik permulaan untuk mereka melakar sejarah pada masa akan datang.

"Tahun ini kami mensasarkan 50 penerjun antarabangsa untuk menyertai aktiviti mencabar ini. Sehingga kini, ia sudah melebihi sasaran dengan jumlah keseluruhan penerjun hampir 100 orang," katanya.

Selain penerjun tempatan, acara base selama 24 jam tanpa henti itu turut disertai peserta antarabangsa termasuk Australia, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Ireland, Russia, Mexico, Finland, New Zealand, India dan Latvia.

Berkongsi pengalaman peserta yang mengharungi cabaran itu, penerjun base tempatan, Nik Khairul Fahmi Nik Bolia, 34, berkata beliau tidak dapat menyembunyikan rasa takut sepanjang terjunan walaupun puas melakar kejayaan peribadi menawan Menara KL.

“Macam-macam dirasakan apabila tiba giliran saya untuk melakukan terjunan base. Namun, sebaik saja payung terbuka perasaan takut mulai hilang kerana di fikiran ketika itu hanya mahu melakukan pendaratan sempurna,” katanya yang berpengalaman selama enam tahun dalam sukan payung terjun.

Kata Nik Khairul, perasaan takut tetap menyelubungi penerjun profesional apabila menunggu giliran melakukan terjunan base.

Namun, katanya, perasaan takut lesap sebaik penerjun berada di ruang angkasa.

“Timbul pula perasaan seronok terutama apabila berdepan dengan angin di mana kita boleh menguji kemahiran dan teknik dalam acara terjunan base,” katanya.

Sementara itu, penerjun Perancis, Romain Freidli, 27, berkata beliau pada mulanya tidak menyangka akan terbabit dalam cabaran 46 penerjun di Kuala Lumpur.

“Walaupun letih kerana kami perlu melakukan rutin terjunan base secara bergilir-gilir, saya puas dapat membuktikan keupayaan diri.

“Sukar untuk menyatakan betapa gembira dapat terapung di udara serta mendengar deras angin,” katanya yang sudah melakukan lebih 370 terjunan.

INFO:

  • Sukan base jump berasal daripada perkataan base iaitu building, antenna, span dan earth (bangunan, antena, masa dan bumi).
  • Sukan yang tergolong dalam kategori ekstrem ini bermula pada 1980-an selepas beberapa penerjun udara mengubah corak terjunan bagi menambah aksi serta meningkatkan tahap kebolehan hingga mencapai batasan kebolehan diri.
  • Sejak itu, populariti sukan ini meningkat dengan mendadak dan menjadi sukan yang mendapat sambutan menggalakkan dari penerjun berani mati seluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia.
  • Dengan melakukan aksi berani mati melalui jatuhan yang hanya berlangsung selama beberapa saat, segala tindakan penerjun dilihat tidak masuk akal dan pastinya, menyebabkan penonton cemas.
  • Penerjun bukan saja memerlukan lesen terjunan, mereka juga perlu memiliki keberanian, kemahiran dan keazaman tinggi serta pengetahuan mengenai geometri kebendaan, tempat mendarat, keadaan cuaca lokasi dan sebagainya.
  • Sehingga hari ini, sudah ramai penerjun dari luar negara seperti Australia, Jepun, New Zealand, India, Ireland, Singapura, China, Switzerland, Finland, AS, Russia, Ukraine, Sweden, Denmark, UK, Belanda, Norway, Perancis, Turki, Kanada, Malaysia dan Indonesia menggemari sukan ekstrem ini.
  • Pertunjukan terjunan base peringkat antarabangsa di Malaysia buat pertama kali diadakan pada 3 Oktober 1999 di Menara Kuala Lumpur. Sejak itu, ia dijadikan acara tahunan dengan penyertaan lebih 50 penerjun dari pelbagai negara dan jumlah peserta terus meningkat.
  • Bagi menambah tarikan tahun ini, orang ramai berpeluang menyaksikan terjunan pada waktu malam yang dipersembahkan di tiga lokasi iaitu di Menara Taming Sari, Menara Alor Setar dan Menara Kuala Lumpur.
  • Selain acara kemuncak 46 penerjun menjayakan aksi terjunan base selama 24 jam, acara di Menara Kuala Lumpur sebelum itu mencatatkan sejarah tersendiri dengan penyertaan keseluruhan 98 penerjun termasuk 12 penerjun tempatan.
  • Debaran terjunan base di Menara Kuala Lumpur kali ini dihiburkan dengan aksi pemegang rekod dunia dalam sukan base jump dari Australia, Gary Cunningham yang sudah melakukan lebih 1,000 terjunan bangunan di seluruh dunia termasuk 133 terjunan di Menara Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: