ENAM finalis rancangan Penyampai Ikon pada sidang media di Istana Budaya, baru-baru ini. |
MATLAMAT Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk merombak kembali struktur penyiarannya harap dapat dilaksanakan selepas objektif memperkenalkan program realiti intelektual Penyampai Ikon ini diusahakan.
Sejak ia diperkenalkan lagi, program ini dilihat bakal mencetus satu lagi revolusi baru dalam dunia penyiaran tanah air apabila banyak aspek pendedahan sudah diberikan sejak tiga bulan yang lalu kepada 17 peserta yang terpilih mengikuti program ini.
Kini program pencarian bakat di dalam bidang kewartawanan penyiaran yang bermula sejak 12 Ogos lalu bakal berakhir apabila 17 peserta yang menyertainya dulu kini hanya tinggal enam yang bakal berentap ke peringkat akhir.
Siapakah di antara mereka bakal dinobat sebagai juara program realiti Penyampai Ikon pertama terbitan RTM? Semuanya akan diketahui Sabtu ini yang bakal berlangsung pada malam gilang gemilang bertempat di Panggung Sari Istana Budaya bermula jam 8.30 malam.
Timbalan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik), Datuk Norhayati Ismail berkata, program realiti yang diperkenalkan RTM bukan untuk melahirkan personaliti RTM tetapi melahirkan pelapis dalam bidang penyiaran di RTM.
“Penyampai Ikon bukanlah role model yang harus diikuti oleh penyampai lama tetapi sekadar pelapis wartawan penyiaran di RTM. Kita tidak berniat untuk menggantikan penyampai lama kepada penyampai baru.
“Kita juga memperkenalkan program ini bukanlah untuk melahirkan personaliti tetapi wartawan penyiaran yang ‘verstail’ dan mampu untuk melakukan pelbagai jenis tugasan yang diberikan.
“Kesemua peserta ini dilatih oleh tenaga pengajar yang profesional yang diketuai oleh Yusanani Yushak berkaitan selok belok yang harus mereka hadapi ketika berada di lokasi kejadian,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Penyampai Ikon Akhir di Istana Budaya Selasa lalu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya Mohamed Juhari Shaarani.
Enam peserta akhir yang bakal berentap pada malam akhir itu seperti Khairul Faizi Dalaiil, 23 (Faizi), Beatrice Krishnan, 23 (Beatrice), Aina Suzaily M Zailanny, 20, (Aina), Mohamed Shahril Sarapudin, 21 (Shahril), Siti Aiyshah Baslie, 24 (Aishah) dan Hazel anak Desmond, 26 (Hazel).
Menurut Yusanani, pertandingan akhir yang bakal diadakan nanti diadakan secara kejutan kepada peserta bagi mencabar kewibawaan peserta menghadapi pelbagai situasi ketika bertugas di lokasi.
“Kesemua peserta akan diberikan dua tugasan akhir untuk dipersembahkan pada malam akhir nanti. Pertama mereka akan diuji sebagai penyampai berita di studio dan tugasan kedua mereka harus melaporkan kejadian ketika berada di luar lokasi.
“Pentas IB akan diubah seperti sebuah lokasi kejadian dan mereka akan melaporkan kejadian itu. Mereka juga akan dinilai berdasarkan nilai berita yang disampaikan secara langsung.
“Disamping itu, kita juga berbangga apabila pertandingan akhir ini juga mendapat kerjasama dengan IB yang akan menyediakan artis IB untuk membantu kita di dalam persembahan peserta nanti,” katanya .
Peserta akan dinilai 100 peratus oleh juri profesional yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kosmo, Baharom Mahusin.
Juara Penyampai Ikon bakal membawa pulang sebuah kereta Proton Saga dan wang tunai RM6,000. Tempat kedua wang tunai RM4,000 dan ketiga RM2,000. Kesemua peserta turut menerima trofi kristal dan sijil penyertaan dari MPI.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: