|
|
MESKIPUN kisah cinta Aishwarya Rai terhadap Salman Khan sudah lama terpadam apabila Ratu Cantik Dunia 1994 itu memilih Abhishek Bachchan sebagai teman hidupnya, Katrina tetap cemburukan pelakon jelita bermata hijau itu. Tiada kata-kata yang dapat memujuk Katrina agar dapat menerima kenyataan yang antara Salman dan Aishwarya tidak mungkin dapat bersatu kembali. |
Barangkali hanya satu perkara yang dapat menyejukkan hati aktres yang dilahirkan di Hong Kong itu apabila dia kini tersenarai antara artis Bollywood gred A dengan menerima bayaran paling lumayan. Popularitinya kini sudah setanding Aishwarya dan pada bila-bila masa dia dapat memintas kedudukan aktres itu kerana kerana faktor usia dan kemasyhuran yang terus dikecapinya.
Harga bagi sebuah lakonan Katrina sekarang adalah Rs15 lakh, namun dengan kejayaan kebanyakan filem lakonannya, tiada produser dan pengarah yang merungut. Dengan menawarkan Katrina berlakon dalam filem mereka bermakna ia menambahkan lagi kekayaan yang ada.
Oleh kerana mahukan juga kemunculan Katrina dalam filem arahannya, Rajniti, Prakash Jha sanggup membayar berapa saja harga Katrina sekarang. Dalam filem itu, Katrina satu-satunya pelakon wanita dalam filem itu yang beraksi di samping Nana Patekar, Ajay Devgan, Manoj Bajpayee, Randhir Kapoor dan Arjun Rampal.
Katrina yang masih kurang fasih berbahasa Hindi terpaksa mempelajari bahasa itu kerana dia adalah tumpuan utama dalam filem itu dan terpaksa menuturkan banyak dialog. Dia juga berusaha memperbetulkan sebutannya. Bagaimanapun, kerana belum yakin dapat berdialog dengan lancar, Katrina terpaksa minta tambahan satu hari untuk membuat persediaan dan dia pun beritahu perkara itu pada Prakash.
Atas daya usahanya itu Katrina sanggup membayar ganti rugi sehari kepada pihak produksi kerana penggambaran tidak dapat dilakukan pada hari itu. Pengorbanan Katrina itu sangat mengharu dan menyentuh hati Prakash.
"Dalam bekerja, Katrina sangat profesional, tetapi sudah tentu saya tidak mahu ganti rugi daripadanya. Saya tahu dia mahukan yang terbaik untuk filem ini. Jika dia sendiri sanggup berusaha payah, saya tidak sampai hati terlalu berkira dengannya mengenai wang.
"Katrina mencabar dirinya sendiri dan usahanya itu tidak sia-sia apabila dia berjaya menghidupkan wataknya dengan berkesan. Dia juga terkejut kerana semua pelakon dan kru memberi kerjasama kepadanya. Sebab itu ramai yang sayang kepadanya sekarang," katanya.
Bagaimanapun, khabarnya, Katrina sudah bosan asyik membawakan peranan gadis cantik dan bersopan santun dalam filem. Dia ingin menunjukkan sisi lain yang ada pada dirinya iaitu sebagai gadis liar dan lepas bebas.
Justeru, untuk melihat kelainan yang dijanjikan kepada peminatnya, dia berlakon filem Hollywood, What Happens in Vegas.
"Filem itu mengisahkan gadis muda yang dikecewakan teman lelakinya kemudian berkahwin dengan pemuda yang baru ditemuinya, tetapi tidak lama selepas itu dia minta cerai. What Happens in Vegas mengenai kebencian dan pertempuran jantina.
"Saya seronok bukan saja kerana dapat watak yang belum pernah dilakonkan sebelum ini, tetapi paling penting dapat berlakon di samping Cameron Diaz. Dalam filem itu saya menari atas meja," katanya.
Selain itu, Katrina juga sedang meraikan kejayaan filem lakonan terbarunya, Ajab Prem Ki Ghazab Kahani yang kini mencapai kutipan pecah panggung. Dalam filem itu, Katrina memainkan watak gadis Kristian bernama Jenny.
Ketika kejayaan terbentang di depan mata, seperti aktres lain, Katrina juga berdepan pelbagai gosip terutama berkaitan Salman. Aktor itu dikatakan tidak sebulu dengan Shah Rukh Khan (SRK) sejak dia masih bercinta dengan Aishwarya kerana cemburukan SRK.
Meraikan sambutan hari jadinya baru-baru ini, Katrina menjemput Salman dan SRK. Mereka berdua bertemu pada majlis itu lalu bergaduh. Dek insiden itu juga, peminat Katrina akan terus mengingati majlis sambutan hari jadi itu sampai bila-bila.
"Saya tidak suka apabila media melagakan saya dengan SRK. Saya tersepit antara SRK dan Salman. Setiap kali saya terserempak dengan SRK pada sebarang majlis hiburan pasti kesetiaan saya terhadap Salman dipersoalkan," katanya.
Terbaru, Katrina bertembung dengan SRK pada dua majlis iaitu jamuan yang diadakan Subhasha Ghai dan Hrithik Roshan. Dia menjadi serba salah untuk menegur SRK kerana bimbang timbul lagi berita yang kurang baik sehingga membuatkan dia bertengkar dengan Salman. Namun, atas dasar profesionalisme dia tetap menegur SRK.
"Kami bekerja dalam lapangan yang sama dan pasti akan bertemu di mana-mana. Saya tidak boleh terus mengelakkan diri atau melarikan diri daripada SRK. Lagipun siapa yang tidak mahu berbaik-baik dengan SRK dan Karan Johar kerana mereka antara orang yang berpengaruh di Bollywood.
"Malah saya berharap sangat dapat bekerja dengan Karan kerana ideanya yang hebat," katanya.
Sesuai dengan status aktres gred A yang disandangnya, Katrina baru juga dilantik menjadi duta produk kecantikan, Olay. Dalam ramai aktres, Katrina menjadi pilihan kerana kejayaan dua filem baru lakonannya, Ajab Prem Ki Ghazab Kahani dan De Dhana Dhan.
Sehubungan itu, menurut jurucakap syarikat pengeluar produk berkenaan, inilah masa terbaik untuk menggunakan Katrina sebagai pelaris barangan mereka dan dia juga memiliki kulit yang sangat cantik.
SRK dan John Abraham pula dilantik sebagai jurucakap untuk produk lelaki jenama sama, Emami dan Garnier.
Ramai mengaitkan kejayaan dikecapi Katrina hari ini kerana meskipun dia gadis moden, pegangan agamanya kuat. Setiap kali filem barunya akan dilancarkan dia akan pergi bersembahyang di kuil.
Pernah terjadi dia pergi ke kuil dengan memakai skirt dan tindakannya itu dikecam hebat. Sejak itu apabila hendak ke kuil dia memakai pakaian tradisional salwar kameez. Dia pernah dilihat berdoa di kuil sebelum pelancaran filem New York, Singh is Kinng dan Ajab Prem ki Ghazab Kahani.
Antara filemnya yang mencapai kutipan pecah panggung, Welcome (2007), Singh is Kinng (2008), Ajab Prem Ki Ghajab Kahani (2009), Race (2007), Partner (2007), Sarkar I (2005), New York (2009) dan Namaste London.
PROFIL
NAMA: Katrina Kaif
NAMA TIMANGAN: Kat
TARIKH LAHIR: 16 Julai, 1984
TEMPAT LAHIR: Hong Kong
KETURUNAN: Berdarah campuran Inggeris (sebelah ibu) dan India (bapa). Dia dan keluarganya pernah menetap di Hong Kong, Hawaii dan London. Katrina mempunyai lapan adik-beradik dan seorang adiknya, Isabella, juga sedang mengukur nama sebagai pelakon di Bollywood.
BERAT: 54 kilogram
STATUS: Solo
PERTUTURAN: Hindi, Telegu, Malayalam dan Inggeris
KERJAYA: Peragawati dan pelakon.
PENGALAMAN: Muncul dalam kempen barang kemas pada usia 14 tahun dan pernah menjadi model untuk produk Veet, Fevicol, Lakme, Kodak, L'Oreal and LG
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: