MATAHARI masih belum terbenam, tetapi muzik rancak dan lampu warna-warni disko sudah pun dihidupkan di Sumtime Bar. Lokasi itu menjadi tempat lelaki dari Malaysia berseronok meneguk arak dan menerima 'khidmat wanita' di daerah sempadan Thailand-Malaysia itu.
"Ramai orang datang ke sini kerana mereka menyukai gadis-gadis yang ada di tempat ini," kata seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditemani tiga pekerja wanita yang seksi sambil meneguk segelas arak.
"Mereka datang untuk merehatkan fikiran sambil berkaraoke. Saya memang suka disko. Saya datang ke sini untuk berseronok," ujarnya yang asyik memeluk seorang perempuan Laos berusia 18 tahun yang menyarung seluar ketat, berkasut tumit tinggi dan bermekap tebal.
Lelaki itu yang tidak mahu dikenali berkata, dia selalu datang ke Sungai Kolok di wilayah Narathiwat, selatan Thailand untuk singgah seketika dari tempat kerjanya dalam industri pembalakan yang hanya terletak di sempadan kawasan itu.
Dia merupakan antara ramai lelaki Malaysia yang mengambil kesempatan terhadap persekitaran sosial tanpa kekangan undang-undang di negara sempadan itu.
Berbeza dengan majoriti penduduk beragama Islam di Malaysia yang lebih konservatif, golongan itulah yang sebenarnya memburukkan reputasi daerah di selatan Thailand tersebut sebagai tempat berparti dan lubuk pelacuran.
Meskipun terletak di sebuah lokasi yang strategik, Sungai Kolok kini sukar menarik lebih ramai pelancong sejak lima tahun lalu disebabkan pergolakan politik yang berlaku di wilayah itu.
"Mereka (pelancong) takut disebabkan konflik politik yang melanda negara ini," kata pengurus bar, Chaiya Chaoenyan sambil menunjuk ke arah laluan pejalan kaki di hadapan bar yang menjadi lokasi letupan bom dua tahun lalu.
"Rondaan keselamatan oleh pihak berkuasa sering dilakukan. Jadi, kami tidak bimbang. Cuma, apa yang menyusahkan kami adalah apabila berlakunya keganasan. Kami mahu memberitahu orang luar mengenai Sungai Kolok agar mereka memahami situasi kami dan berkunjung ke sini," tambahnya.
Sejak konflik perbalahan agama antara penduduk Muslim dan Buddha yang berlaku pada Januari 2004, kira-kira 4,000 orang telah terbunuh di sepanjang wilayah selatan Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian kecil Songkhla.
Bagaimanapun, keganasan serius jarang berlaku di Sungai Kolok. Cuma, awal bulan lalu berlaku satu letupan bom tangan dan serangan senjata api di dua buah restoran di pekan tersebut. Insiden itu turut diikuti dengan letupan bom kereta berhampiran hotel yang membunuh empat orang dan mencederakan 30 yang lain.
"Sejak kejadian itu, pengunjung yang datang semakin berkurangan. Saya harap masalah yang ada sekarang dapat diatasi agar ekonomi kembali pulih," ujar Raweewan Thongkrao, seorang penyambut tetamu di Hotel Marina.
Seorang pekerja di Sumtime Bar yang dikenali sebagai Am mengakui pendapatannya berkurangan disebabkan keganasan yang melanda. Namun, dia tetap optimis untuk mencari rezeki di sana.
"Keadaan di sini jauh lebih baik berbanding di kampung halaman saya. Di sini, saya boleh mendapat wang yang lebih. Saya suka kerja ini tetapi ia bergantung kepada pelanggan," ujar wanita berusia 34 tahun yang berasal dari wilayah Isan di timur laut Thailand.
Wanita itu memakai pembayang mata berwarna biru terang untuk dipadankan dengan dres biru ketat yang dipakainya, Am menerangkan bagaimana dia dan wanita lain di sana menjalankan tugas sebagai pelacur.
"Biasanya, kami akan berbincang secara individu dengan pelanggan. Kemudian, barulah kami keluar mengikut pelanggan. Pihak bar langsung tidak bertanggungjawab. Hanya kami yang perlu pandai menguruskan diri sendiri," katanya.
Wanita itu turut mendedahkan dia lebih menyukai lelaki Malaysia kerana mereka tidak melakukan sesuatu yang kasar, berbanding lelaki dari negara Gajah Putih itu.
Seorang lagi pekerja wanita berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Khun berkata, biasanya lelaki yang melanggannya datang secara bersendirian atau berkumpulan.
"Mereka akan menari, minum dan bermalam dengan gadis. Ia bergantung kepada setiap individu," tuturnya.
Kedua-dua wanita itu menegaskan bahawa mereka tidak akan melakukan apa-apa dengan lelaki yang mereka rasa tidak selesa apabila bersama.
"Jika seorang lelaki bertindak keterlaluan, saya akan mengelak dan meninggalkannya," jelas Am.
Sementara itu, Khun sempat menitipkan pesanan iaitu: "Jika seseorang berminat untuk mendapatkan hiburan, dia boleh datang ke Sumtime Bar. Ia merupakan bar terbaik di daerah ini."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: