Saat menerima surat diberhentikan kerja oleh majikan pada Februari lalu ialah detik yang cukup perit untuk diingati Burhanuddin Mohd. Noor. Kegawatan ekonomi global memaksa majikannya menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) kepada kira-kira 400 kakitangan termasuk dirinya.
Burhanuddin, 40, sama sekali tidak menyangka semuanya berlaku selepas 18 tahun berkhidmat dalam industri elektronik sejak berhijrah dari kampungnya di Teluk Intan, Perak ke Pulau Pinang.
Walaupun berpengalaman dan memiliki kelulusan kemahiran, beliau masih gagal mencari pekerjaan yang sesuai lalu buntu mengenangkan nasib keluarga. Sebagai ketua keluarga manakala isterinya hanyalah suri rumah, Burhanuddin memberanikan diri merebut peluang yang ada.
Sehinggalah beliau membuat keputusan menyertai Rapid Penang Sdn. Bhd. (RapidPenang) sebagai kapten bas pada Jun lalu melalui skim pengambilan pekerja industri VSS yang ditawarkan syarikat tersebut. Beliau yang memiliki lesen memandu Kelas E kemudian mengikuti latihan intensif di Akademi RapidPenang selama dua bulan.
Walaupun pernah bergaji empat angka, bapa kepada dua anak itu sanggup menerima elaun RM900 sahaja sepanjang latihan dan percaya keputusannya menyertai syarikat pengangkutan awam terbesar di negeri itu tidak sia-sia. Buktinya, Burhanuddin diumumkan sebagai kadet terbaik.
Bekas juruteknik di sebuah industri elektronik terkemuka di negeri ini mengakui bukan mudah menyesuaikan diri dengan kerjaya baru itu tetapi semuanya dilakukan demi keluarga.
"Jika dulu, saya hanya menghadap mesin, cip dan perkakasan elektronik sahaja tetapi kini diajar berhadapan dengan penumpang bas termasuk cara-cara berkomunikasi dengan orang ramai.
"Di akademi ini juga kami dilatih menjadi barisan kapten bas yang bersih, bertoleransi dan bertimbang rasa dalam memikul amanat untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat.
"Lama-kelamaan timbul keseronokan, malah sesekali menjadi jurubahasa pula kepada pelancong asing," ujarnya yang memandu bagi perjalanan ulang alik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Situasi diberhentikan kerja juga menimpa Mohamad Shahrol Nizam Yusof, 28, yang bekerja lapan tahun di sebuah kilang berteknologi tinggi di Bayan Lepas, dekat sini sebelum diberhentikan kerja Februari lalu.
"Ketika itu, saya baru sahaja melangsungkan perkahwinan. Sepanjang empat bulan menganggur, saya hanya menggunakan wang pampasan untuk menyara keluarga.
"Pelbagai kerja saya mohon termasuk di beberapa kilang terkemuka tetapi tidak berjaya.
"Apabila diberitahu ada kerja di RapidPenang, saya terus ambil ujian menduduki lesen Kelas E dan mendaftar menyertai Akademi RapidPenang," jelasnya yang kini memandu bagi laluan Jeti Tun Uda ke Batu Uban.
Kedua-dua mereka adalah antara tujuh pekerja industri elektronik yang telah menamatkan latihan kadet di Akademi RapidPenang yang bermula Jun lalu melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) bersama 13 yang lain.
Sepanjang latihan, mereka yang telah memiliki lesen memandu kelas E dan Lesen Kelas Perkhidmatan Awam (PSV) turut ditekankan terhadap piagam serta prinsip tahap perkhidmatan sebagai Bas Kapten RapidPenang.
"Walaupun pendapatan sebagai pekerja industri agak lumayan terutama elaun kerja lebih masa, tetapi pengalaman krisis ekonomi global cukup terasa.
"Sebaliknya sebagai kapten bas, seseorang berpeluang memperoleh pendapatan tidak kurang RM2,000 (mengikut gred) selain elaun, insurans perlindungan, perlindungan kesihatan diri serta suasana kerja yang kondusif," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RapidPenang, Azhar Ahmad berkata, peluang menjadi kapten bas antara alternatif yang ditawarkan pihaknya kepada orang ramai yang berminat dengan kerjaya dalam industri pengangkutan awam.
Katanya, ia juga sejajar dengan prinsip syarikat itu untuk tidak mengambil warga asing sebagai barisan operasi utama syarikat sebaliknya memfokuskan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Sejak ditubuhkan pada Julai 2007, akademi ini telah melatih kira-kira 184 kapten bas termasuk tiga wanita dengan jumlah kesemua kapten bas kami ialah kira-kira 500
"Pengambilan kapten bas melalui skim ini merupakan pendekatan RapidPenang bagi memberi peluang kepada pekerja VSS menceburi kerjaya baru.
"Ketika ini, kita mempunyai kira-kira 500 barisan kapten bas (pelbagai gred) terdiri daripada pelbagai kaum. Kita menyasarkan untuk melatih kira-kira 200 lagi di akademi bagi melengkapi sasaran syarikat mempunyai seramai 700 pemandu menjelang tahun hadapan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: