Datin Seri Tiara Jacquelina |
CINTANYA pada dunia seni memang tidak pernah padam. Malah sejak menceburkan diri dalam bidang seni lebih sedekad lalu, nama Datin Seri Tiara Jacquelina dan bidang lakonan khususnya cukup menyerlah. Dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namanya semakin mekar dalam penerbitan teater terutama dalam teater berkonsepkan muzikal.
Menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Enfiniti Productions Sdn Bhd, Tiara sudah menghasilkan dua buah teater muzikal iaitu Puteri Gunung Ledang The Musical yang pernah mencetuskan fenomena teater muzikal di Malaysia dan Singapura serta P Ramlee The Musical...The Life, The Love & Inspiration, yang juga menjadi bualan hangat penggemar teater di negara ini.
Mengenali wanita berjiwa kental ini, dia tidak pernah patah semangat. Baginya selagi dia tidak dapat apa yang dia mahukan, tidak ada satu pun yang dapat menghalangnya dari mengejar apa yang diinginkannya itu. Malah, perkataan putus asa atau mengalah tidak pernah wujud dalam kamus kehidupannya. Begitulah gigihnya Tiara dalam memartabatkan bidang seni persembahan di negara ini.
Jika sebelum ini khalayak bersikap skeptikal terhadap teater muzikal tempatan, kini dengan usaha yang dilakukan wanita ini, taraf teater muzikal tempatan boleh dikatakan semakin tinggi darjatnya di mata penonton. Dan segala jerih payah Tiara selama ini nampaknya terbayar bukan saja disebabkan sokongan padu
peminat setiap kali teater hasil produksinya dipentaskan tetapi juga apabila ia turut mendapat perhatian sebuah organisasi antarabangsa iaitu Persekutuan Mempromosikan Budaya Asia (Federation For Asian Cultural Promotian (FACP) apabila pertubuhan itu menganugerahkan Tiara dengan Anugerah Pencapaian Cemerlang sumbangan dalam dalam bidang seni pentas dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Jumaat lalu.
Anugerah itu diberikan organisasi yang berusia 30 tahun itu sebagai tanda sokongan dan ingin mempromosikan mereka yang selama ini banyak menyumbangkan tenaga dalam memartabatkan seni persembahan dalam konteks antarabangsa.
TIARA (tengah) bersama karyawan seni lain yang turut menerima anugerah daripada FACP. |
Anugerah ini adalah julung kali diberikan kepada penggiat seni persembahan di Malaysia iaitu Tiara di atas kejayaannya membawa filem Puteri Gunung Ledang ke-10 festival filem antarabangsa dan menjadi filem pertama Malaysia yang mendapat perhatian menerusi kategori Filem Asing sewaktu Anugerah Akademi beberapa tahun dulu.
Saat dihubungi Hip petang Isnin lalu, Tiara menyifatkan anugerah yang diterimanya itu sebagai satu pengiktirafan terhadap bidang seni persembahan tempatan.
"Saya merasa amat bangga apabila usaha untuk memartabatkan seni persembahan di negara ini dan juga industri hiburan tanah air mendapat pengiktirafan pihak luar. Anugerah ini akan menjadi pembakar semangat buat saya dan juga rakan seperjuangan lain untuk bekerja lebih keras lagi bagi memastikan Malaysia juga mampu menggegarkan dunia dengan karya seni persembahan mereka," kata Tiara dalam nada teruja.
Percaya bahawa Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan bidang seni persembahan antarabangsa lain, Tiara berkata adalah menjadi impiannya untuk melihat Malaysia diiktiraf sebagai hab untuk memperkembangkan seni dan kebudayaan.
TIARA bersama trofi Anugerah Pencapaian Cemerlang. |
"Saya juga berharap Malaysia dapat melahirkan bakat yang terbaik di rantau ini. Dan tidak dapat dinafikan, Malaysia mempunyai ramai bakat yang berilmu dan kreatif. Justeru, kami akan berusaha mengetengahkan lebih banyak platform untuk mereka menonjolkan semangat dan jiwa mereka di rantau ini dan mungkin hingga ke peringkat dunia.
"Kemudian barulah kita boleh melaungkan dengan bangga bahawa seni dan kebudayaan Malaysia akan terus hidup dan terus berjuang sampai bila-bila," ujar Tiara optimistik.
Ditanya mengenai projek teater muzikal ketiganya iaitu Nora Zain seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini, Tiara berkata perkara itu masih belum diputuskan lagi.
"Tiada apa-apa perkembangan terbaru mengenai teater itu. Kami akan umumkan sendiri apabila masanya nanti," kata Tiara menutup perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: