TEATER muzikal Cuci berjaya menarik golongan muda ke Panggung Sari, Istana Budaya. |
TEATER muzikal Cuci baru habis dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada Ahad lalu. Daripada ulasan yang dibuat oleh media berbahasa Melayu dan Inggeris, kebanyakannya memberikan maklum balas positif.
Tahniah kepada Hans Isaac dan rakan-rakannya seperti Awie, AC dan Afdlin Shauki, selain Adibah Noor, Ramli Hassan, Vanidah Imran dan Harith Iskandar dan pasukan penerbitan, pemuzik serta kakitangan IB yang bertungkus- lumus memastikan teater muzikal Cuci lancar.
Walaupun dipentaskan selama hampir tiga jam, ia masih tetap menghiburkan. Itu saja rungutan yang Cik Normah dengar. Tapi ramai yang sanggup menunggu sampai habis. Lagi pun persembahan teater muzikal ini memang kelakar, tak kering gusi dibuatnya.
Paling penting, teater muzikal macam ini dapat menarik orang muda dan pertengahan datang ke IB dan memenuhi Panggung Sari. Kalau teater biasa yang serius dan berat, rasanya jumlah penonton yang datang boleh dikira dengan jari.
Sekalipun mendapat ulasan positif daripada media dan orang ramai yang menontonnya, Cik Normah dapat tahu ada beberapa pegawai atasan di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dikatakan tidak suka dengan teater muzikal Cuci. Katanya terlalu panjang. Malahan ada sesetengahnya memang tak suka dengan teater muzikal macam ini asyik dipentaskan di IB. Mereka nak teater yang berat-berat dan serius. Cik Normah tak pasti apa yang dimaksudkan oleh segelintir pegawai ini termasuk kononnya dari pejabat menteri berkata macam itu. Setahu Cik Normah, teater yang bertahan lama sampai berpuluh tahun di West End, London itu kebanyakannya adalah teater muzikal. Jadi, apa masalahnya teater muzikal itu terus dipentaskan di IB. Setahu Cik Normah, kebanyakan teater muzikal di IB sentiasa dapat sambutan. Sampai nak dapatkan tiket pun susah, kena buat tempahan awal.
Satu lagi, orang yang datang tengok teater muzikal atau konsert di IB membayar tiket harga mahal. Takkan selepas bayar tiket RM100 hingga RM200 nak tengok persembahan satu jam atau satu jam setengah. Bayangkan kalau pegawai-pegawai itu keluarkan duit dari poket sendiri, adakah berbaloi tengok persembahan satu jam lebih sikit dengan harga tiket RM200?
Lagi pun inilah caranya untuk memupuk generasi muda meminati teater. Tidaklah semua teater yang dipentaskan di IB itu bercorak muzikal. Cik Normah kadang-kadang kurang faham polisi macam ini. Cik Normah harap pegawai di kementerian atau penggiat teater kenalah berfikiran terbuka dan berpandangan jauh. Sudah terbukti, teater yang serius dan berat kerap juga dipentaskan di IB, tapi lihatlah macam mana sambutan daripada penontonnya. Siapa yang hadir? Asyik-asyik orang yang sama. Orang baru, peminat baru daripada kalangan orang muda berat sikit nak tengok teater yang memeningkan. Cik Normah rasa orang yang suka merungut ini pun, kadang-kadang angkat kaki lebih awal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: