Thursday, November 12, 2009

Zainal bakal muncul dengan album baru, biografi



Zaman kegemilangan penyanyi legenda, Zainal Abidin, ketika bergerak solo mahupun bersama band Headwind sedikit masa dulu mungkin sudah berakhir, namun lagu-lagu dendangannya seperti Hijau dan Ikhlas Tapi Jauh, masih tetap kekal segar di ingatan kita semua.

Meskipun popularitinya semakin tenggelam seiring dengan usianya yang kini sudah pun memasuki separuh abad, namun hakikatnya pemilik nama Zainal Abidin Mohamad ini masih aktif menyanyi dan banyak menerima undangan persembahan terutamanya untuk majlis-majlis korporat.

Malah dalam diam-diam, penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas di Festival Muzik Tokyo 1991 ini, kini sedang bersiap sedia untuk muncul dengan album baru berserta biografi sempena 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

Zainal yang ditemui ketika majlis sidang media sempena persembahan amalnya untuk Rumah Kebajikan Nursalam di Delucca The Italian Restaurant, Kuala Lumpur, kelmarin, memberitahu, hasrat untuk memiliki biografi sendiri sudah lama terlintas di fikirannya namun baru kini berpeluang untuk menghasilkannya.

Demi merealisasikan impiannya itu, ujar Zainal, dia kini sedang mengumpul material sebanyak mungkin untuk menghasilkan biografi atau coffee table book yang bukan sahaja untuk kepuasan dirinya tetapi juga untuk koleksi peminat yang sudah lama menyokongnya.

“Biografi ini bukan sahaja tentang penglibatan saya sepanjang dalam industri seni, tetapi juga turut menggambarkan kehidupan peribadi, keluarga dan juga alam persekitaran. Kebanyakan gambar yang akan dimuatkan dalam biografi ini diambil menerusi kaca mata saya sendiri untuk dikongsi bersama orang ramai,” katanya yang menjangka biografinya itu akan siap pada penghujung tahun hadapan.

Menjelaskan tentang album barunya pula, kata Zainal, album tersebut juga masih dalam proses mengumpul material dan bakal memuatkan lima lagu yang terdiri daripada tiga lagu lama dan dua lagu baru.

“Sebenarnya, dah lama juga saya nak buat album, tapi memandangkan pasaran album sekarang tidak serancak dulu, maka ia terpaksa ditangguhkan dulu. Saya bercadang untuk tampil dengan dua lagu baru sahaja dan selebihnya lagu lama, antaranya Hijau yang akan dinyanyikan dalam versi baru. Untuk lagu baru, saya dah ada lirik sendiri, tapi mungkin juga akan mendapatkan khidmat komposer untuk memastikan hasil yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, dia juga kini sibuk berulang alik ke Langkawi untuk menubuhkan simfoni orkestra yang melibatkan 12 sekolah yang turut disertai guru dan penduduk kampung. Jelas Zainal, istimewanya projek tersebut, adalah pada alat-alat muziknya yang dibina menggunakan bahan-bahan buangan yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap alam sekitar.



Persembahan amal untuk tabung Nursalam

Sudah sebati dengan kerja-kerja amal, maka kerana itulah Zainal tidak tidak keberatan untuk bekerjasama dengan Delucca The Italian Restaurant bagi mengumpul dana untuk disalurkan pada Pusat Kebajikan NurSalam. Menerusi showcase makan malam ‘The Legend’, Zainal akan membuat persembahan selama dua hari iaitu pada 21 dan 28 November ini.

“Untuk persembahan ini, saya langsung tak ambil bayaran dan niat saya hanyalah untuk membantu Nursalam. Hati saya memang mudah tersentuh, terutamanya bila mengenangkan nasib kanak-kanak yang malang ini. Dengan showcase ini, saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu keperluan mereka,” katanya.

Mengulas showcase tersebut, kata Zainal ini adalah kali pertama dia mengadakan persembahan di restoran tersebut dan pastinya tidak akan mengecewakan pengunjung yang hadir pada kedua-dua malam itu. Selain menjanjikan persembahan yang hebat, Zainal turut menyediakan cenderahati buat pengunjung yang hadir. Malah pihak restoran juga mengadakan aktiviti cabutan bertuah bagi memeriahkan lagi showcase ‘The Legend’ itu.

Untuk menyertai showcase amal Zainal, hubungi talian 03-21446545 atau layari laman web www.delucca.com.my.



Kehidupan semakin bertambah baik

Setelah menjalani pembedahan jantung beberapa bulan lalu, Zainal mengakui kehidupan kini semakin bertambah baik. Malah dia juga semakin peka dengan amalan hariannya agar peristiwa hitam itu tidak berulang lagi.

“Saya ditahan ICU selama empat hari. Tetapi selepas dibenarkan pulang, saya terus bermain (golf) kerana sudah rasa sihat sepenuhnya. Sampai sekarang, saya masih mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan dan akan menjalani pemeriksaan setiap tiga bulan,” katanya yang menjadikan golf sebagai hobi utamanya sejak dulu lagi.

Akui kehidupannya juga semakin bahagia di samping isteri tercinta, Angelina Asmawi, 35, kata Zainal, keluarga kini menjadi keutamaannya. Walau sesibuk mana sekalipun dia akan meluangkan masa bersama isteri dan dua anaknya, Isaac Iman, 10 dan Zaara Iman, 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: