Thursday, November 5, 2009

91 mati banjir di Vietnam


SEORANG lelaki mengharungi banjir di rumahnya di Phu Yen, Vietnam kelmarin.


HANOI - Angka kematian akibat ribut Mirinae di Vietnam meningkat kepada 91 semalam setelah pihak berkuasa meningkatkan usaha mencari dan menyelamat di kawasan tengah negara itu.

Di kawasan paling teruk terjejas, Phu Yen, seramai 26 kematian baru dilaporkan setelah maklumat baru diperoleh dari kawasan terpencil.

Seorang pegawai bencana, Dang Thi Lanh berkata, seramai 13 orang lagi dipercayai masih hilang.

Di Phu Yen, anggota-anggota tentera menggunakan bot laju untuk menyampaikan bantuan kecemasan seperti mi segera, air minum dan pakaian setelah kawasan berkenaan terputus hubungan akibat ditenggelami banjir, kata Thi Lanh.

Beberapa buah helikopter tentera turut dirakamkan menggugurkan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan terpencil.

Walaupun air bah semakin surut, kebanyakan kawasan masih ditenggelami air.

Sehingga semalam, pihak berkuasa sudah mengalihkan hampir 15,000 mangsa banjir dari Phu Yen.

Sementara itu Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung menghantar telegram menggesa pihak berkuasa tempatan untuk melakukan apa sahaja bagi memastikan semua mangsa dialihkan ke tempat selamat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: