Friday, November 13, 2009

Jalang Eksploitasi Wanita?

Wanita, seks, kekayaan dan nafsu menjadi pokok kepada isu yang ingin dikupas dalam filem terbaru berjudul Jalang ini. Melihatkan kepada filem ini, tidak mustahil kontroversi akan terus menyelubunginya, tambahan pula ia menampilkan aksi berani pelakon baru Yasmin Khanif.


Walaupun pernah menawarkan watak Maria kepada Fasha Sandha, Fazura, Amber Chia dan Janet Khoo namun menurut penerbitnya, mereka ingin menampilkan satu heroin baru dalam industri perfileman negara.

"Saya rasa Yasmin paling sesuai dengan watak ini. Lagipun kalau Fasha yang berlakon tentu orang pun tak kisah jika terdedah sana sini sebab orang dah biasa lihat dalam filem lain," ujar penerbit, Imran Ismail berhubung pemilihan pelakon.

Filem yang menurut penerbitnya diterbitkan untuk menimbulkan keinsafan terhadap kerjaya Jalang yang telah wujud sejak zaman Rasulullah saw lagi. Namun sejauh manakah matlamat tersebut dicapai?

Jika dilihat kepada filem ini, ia hanya sekadar sebuah filem untuk tontonan dewasa dengan menggunakan judul kontroversi untuk menarik penonton ke pawagam melihatnya.

"Jalang bukanlah eksploitasi wanita atau seks, kita hanya ingin mengupas maksud jalang itu sendiri dan mengubah perpepsi masyarakat mengenainya. Lagipun jarang sekali produser di Malaysia menghasilkan filem seperti ini.

"Jika filem ini kontroversi, mustahil kami dapat kelulusan bersih daripada FINAS tanpa sebarang pemotongan. Filem ini keseluruhannya dijalankan di Langkawi dalam usaha mempromosikan Langkawi menerusi filem." ujar Imran lanjut.

Filem ini turut menampilkan Hairee Othman, Helmi Husaini, Maria Farida dan Redzuan Hashim. Jalang akan ditayangkan di pawagam bermula 26 November 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: