(Dari kiri) Nora Danish, Ummi Nazeera dan Zaiton Jiwa |
NAK dikatakan kecoh, tidaklah juga tetapi Cik Normah dengar macam-macam kisah dan cerita dengan produksi drama bersiri Spa Qistina. Kehangatan dan kontroversi seolah-olah tidak berkesudahan pula. Jika dulu, Qistina dilakonkan Norish Karman, tapi sekarang watak itu disandang Nanu Baharuddin. Khabarnya, sebelum diberikan kepada Nanu, watak Qistina itu terlebih dulu ditawarkan kepada Umie Aida. Bagaimanapun, kerana Umie terbabit dengan pementasan teater Natrah, pelakon itu terpaksa menarik diri.
Cik Normah diberitahu fasal niat penerbit drama ini untuk mewujudkan babak di antara dua pelakon sensasi, Fasha Sandha dan Nora Danish. Seluruh alam tahu mereka memang tidak sebulu gara-gara kisah peribadi. Apa motif pihak penerbit Cik Normah tak tahulah, cuma Cik Normah boleh kata ia sudah tentu mahu menjadikan drama Spa Qistina lebih sensasi, seterusnya dijadikan publisiti untuk menarik lebih ramai orang menonton drama itu.
Tapi watak yang sepatutnya dipegang oleh Nora Danish sekarang digantikan dengan Ummi Nazeera. Nora Danish menarik diri saat akhir kerana tidak mahu terbabit dengan apa saja babak membabitkannya dengan Fasha.
Setahu Cik Normah, memang dalam kontrak yang diterima Nora, sudah dipersetujui oleh pihak produksi tidak mewujudkan babak dengan Fasha. Apakah ini cara terdesak daripada produksi untuk menarik penonton drama Spa Qistina? Entahlah.
Cik Normah dapat tahu Nora merajuk dan khabarnya sudah memulangkan cek bayaran berlakon kepada penerbit. Kawan Cik Normah beritahu memang Nora tak mahu mengeruhkan keadaan dan memberikan sebarang kenyataan balas.
Namun, orang kuat Global Station yang menerbitkan drama ini, Datin Zaiton Muhd Jiwa atau Kak Ton yang dipetik daripada portal hiburan Murai.com.my, berkata memang dia ralat dan kecewa dengan tindakan Nora yang dianggap tak profesional.
"Takkanlah disebabkan perkara itu dia terus nak tarik diri daripada Spa Qistina. Kalau dia sangat berpegang pada prinsipnya untuk tidak mahu dikaitkan apa-apa dengan Fasha, kenapa dia tidak kisah apabila dia minta menjayakan pertunjukan fesyen M-IFW (anjuran MIFA) bersama Fasha pada Ahad lalu.
"Tidak terfikirkah Nora bahawa disebabkan tindakannya itu, saya menanggung banyak kerugian. Lebih-lebih lagi apabila kita sudah siapkan sebanyak 48 babak yang membabitkan Nora sendiri.
“Saya masih boleh terima kalau Nora meminta untuk menghentikan penggambaran pada hari itu dan minta supaya babak itu dilakukan pada hari lain. Tapi jangan dengan cara melulu dan tidak profesional begini. Apa pun, saya sudah pun mendapatkan pengganti Nora iaitu Ummi Nazeera,” katanya.
Mengenai pemilihan Ummi Nazeera sebagai galang ganti, Kak Ton menyifatkan prestasi lakonan Umie lebih baik daripada Nora Danish. Kata Kak Ton lagi, paling membuat dia terkilan ialah apabila Nora tidak mengangkat telefon atau setidak-tidaknya menghormati dirinya sebagai orang yang lebih tua.
Cik Normah tidaklah menyebelahi mana-mana pihak tapi rasanya Kak Ton pun kena juga menghormati Nora Danish. Mungkin Nora berbuat macam itu kerana berasakan ada pihak nak ambil kesempatan daripada peristiwa peribadi yang terjadi padanya untuk melariskan drama itu. Apabila Ummir Nazeera gantikan tempat Nora Danish, terus Kak Ton kata Ummi Nazirah lebih baik daripada Nora Danish. Isyy... takkan macam tu sekali penilaian Kak Ton. Ermm itu komen emosional atau profesional?
Macam manapun, Cik Normah tak nak membebel panjang mengenai cerita ini. Cik Normah pun tak ada hak nak menuding jari, siapa yang salah, siapa yang betul. Harapnya, cerita ini dapat diselesaikan dengan baik. Kita tunggu sajalah hasil penerbitan drama ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: