ENOT sedih apabila tersingkir pada minggu ketiga. |
SEWAKTU ditanya pengacara Debaran Sehati Berdansa, Awal Ashaari siapakah peserta yang dijangka bakal terkeluar malam itu, sambil memohon maaf, juri tetap program realiti berkenaan, Joseph Gonzales memilih pasangan Enot. Alasan Gonzeles, selama tiga minggu beraksi, Enot dan suaminya Zainul tidak menunjukkan peningkatan. Ternyata, masin mulut lelaki itu apabila pelakon comel itu bersama suaminya tersingkir selepas menerima markah paling rendah.
Saat diumumkan Awal perjalanan mereka dalam program berkenaan bakal terhenti malam itu, air mata Enot atau nama penuhnya Alliza Abdullah tak henti-henti mengalir. Sedih mengenangkan peluang untuk mereka terus menabur bakti kepada Persatuan Paru-Paru Malaysia tidak kesampaian. Dan lebih membuatkan dia sebak adalah hasrat untuk mempelajari pelbagai jenis tarian terutama Salsa berkecai di pertengahan jalan.
“Saya sebenarnya menjangkakan yang saya akan bertahan sehingga minggu kelima. Malah ada juga berhasrat untuk terus kekal sehingga ke peringkat akhir. Namun nasib tidak menyebelahi.
“Sebelum ini saya ada terdengar orang mempertikaikan kemampuan saya yang berbadan besar ini apakah saya boleh menari seperti peserta yang kurus. Jadi saya mahu buktikan yang saya juga mampu menari. Tapi apakan daya, rezeki kami hanya setakat ini saja,” kata Enot .
Meskipun juri sering mengkritik suaminya kerana tidak mampu menari dengan baik, namun Enot menafikan perkara itu sebagai punca penyingkiran mereka.
“Tak boleh nak letakkan kesalahan itu di bahunya memandangkan dia memang tidak pernah menari sebelum ini. Malah dia memang tidak suka langsung mendengar muzik. Dia sanggup menyertai program ini pun kerana saya. Saya tahu dia memang susah hendak ikut tempo kerana kakinya pernah sakit sebelum ini.
“Pun begitu, saya tak ambil hati kritikan mereka cuma saya risau apabila juri sering memberi kami markah tinggi. Saya tahu ada pihak yang mempersoalkan mengapa kami sering mendapat markah tinggi sedangkan persembahan kami tidaklah sehebat mana pun,” katanya
Sebagai orang yang dipertanggungjawab terhadap penyingkiran mereka itu, Zainul bagaimanapun kelihatan tenang dengan keputusan itu. Baginya, dia sudah mencuba yang terbaik berdasarkan kemampuan yang ada.
Sementara itu, mengulas sesi pembelajaran membabitkan pasangan ini, Anuar berkata, apa yang merisaukannya setiap minggu bukanlah kerana gerak tari tetapi penyediaan kostum untuk suami isteri itu.
“Yang menjadi masalah saya setiap minggu adalah soal kostum. Setiap minggu saya kena sediakan dua pasang pakaian untuk ditunjukkan kepada produksi. Dari segi tarian, saya tak ada masalah dengan Enot sebab dia pandai menari. Cuma perhatian lebih perlu diberikan kepada Zainul kerana dia menghadapi masalah dengan tempo. Memandangkan dia mempunyai masalah dengan pergerakan tarian, jadi saya cipta gerak tari yang mudah untuknya.
“Saya tidak mahu memaksanya menari mengikut apa yang saya mahu supaya tidak nampak kelakar di mata penonton. Pun begitu, saya kagum melihat dia yang menunjukkan peningkatan selepas tiga minggu menari,” puji Anuar.
Dengan mengutip markah sebanyak 43 peratus Enot terpaksa mengikut jejak langkah pasangan Anita dan Ismadi yang meninggalkan lantai tari Sehati Berdansa minggu lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: