Friday, November 13, 2009

Mula tak menang tangan


POTRET bahagia Ijoy dan Sharifah Shahira bersama tiga daripada empat anak mereka, Allisya, Airell dan Auddra.

Kehadiran Auddra buatkan Sharifah Shahira ubah cara bekerja sebagai anak seni

BERBUAL bersama pelakon dan pengacara Sharifah Shahira memang tidak pernah membosankan. Ada saja cerita lucu yang terpacul daripada mulutnya, tidak kiralah sewaktu berborak-borak biasa mahupun ketika dia menjawab pertanyaan wartawan.

Begitulah juga suasananya tatkala isteri pelakon Ijoy Azhari ini ditemui selepas selesai majlis cukur jambul anak keempatnya, Auddra, 7 November lalu di kediaman mereka di Taman Melawati, Hulu Klang.


Apabila sudah memiliki empat cahaya mata, sudah tentulah ada wartawan yang bertanya, apakah pelakon yang sering diberikan watak komedi ini akan berehat seketika daripada mengandung ataupun ingin terus menambah bilangan anggota keluarga?

Sambil ketawa dia berkata, dia tidak berani untuk ‘berjanji’ tidak akan hamil lagi pada tahun depan, walaupun ada masanya dia memang berasakan sudah tiba masanya dia berehat seketika daripada menjadi ibu kepada anak kecil selepas dikurniakan empat zuriat yang comel dan sihat.

"Ijoy sendiri nampaknya mula menyuarakan rasa kasihan pada saya yang terpaksa menjaga empat anak. Jadi, mungkin buat seketika ini, kami memberikan tumpuan kepada empat cahaya mata ini dulu, sebelum bercerita mengenai anak seterusnya.

"Kini, saya sendiri mula berasakan seperti benar-benar mempunyai anak. Maklumlah, ketika kami mempunyai hanya dua anak, keadaan itu tidaklah terasa sangat. Waktu itu, saya sendiri masih bergerak aktif ke sana ke mari, macam orang tidak ada anak. Sekarang ini, dengan empat anak yang pelbagai ragam, terasa juga ‘huru-hara’," kata Shahira.

Namun begitu dia memberitahu, dalam ramai-ramai anaknya, Auddra yang dilahirkan pada 9 September lalu adalah anak paling ‘baik’ apabila tidak banyak menimbulkan kerenah kepada ibu bapanya. Selain Auddra, Shahira turut bergelar ibu kepada Allisya, 11; Airell, 5; dan Airra, 2 tahun.

"Cuma, dia akan meragam apabila lapar. Nampaknya, dia juga suka berjaga malam. Selalunya Auddra akan bangun pada jam 2 pagi dan tidak akan tidur semula hinggalah jam 6 atau 7 pagi. Nasib baiklah kami mempunyai pembantu rumah, jadi bolehlah kami bergilir-gilir menjaga bayi kecil ini. Paling tidak, dapatlah saya berehat seketika.

"Jika tidak, bayangkanlah bagaimana keadaan saya pada pagi-pagi hari apabila perlu berada di konti Sinar menggantikan Kak Engku (Raja Azura) pada 4 November lalu?" kata Shahira yang mengaku seronok ke udara sebagai penyampai walaupun untuk beberapa hari saja.

Menyentuh soal kerja, pelakon ini berkata, dia sebenarnya sudah mula bekerja pada hari ke-27 berada dalam pantang.

"Saya bekerja walaupun masih berpantang kerana berasakan diri saya sudah sihat. Ketika itu, saya cuma menjadi pengacara kepada sebuah persembahan menampilkan penyanyi Anuar Zain. Jadi, kerjanya pun tidaklah teruk sangat.

"Saya pun hanya menerima tawaran kerja yang tidak memerlukan saya keluar rumah lama-lama. Selain persembahan Anuar Zain, saya turut menerima beberapa lagi tugas pengacaraan yang lebih kurang serupa. Saya tidak menerima kerja yang memerlukan saya berada di lokasi terlalu lama kerana anak masih menyusu badan," katanya.

Menurut pengacara Nasi Lemak Kopi O ini, kesemua anaknya menyusu dada sewaktu kecil, paling tidak bagi tempoh tiga bulan pertama.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai badannya yang sudah pun kembali ke bentuk asal, pelakon ini berseloroh, bentuk tubuh yang langsing itu diperoleh menerusi tidur yang tidak cukup sepanjang tempoh berpantang.

"Saya sudah kurus ke? Yang pasti, saya tidak mengamalkan apa-apa diet atau mengikuti program menguruskan badan kali ini. Saya bimbang untuk terus mengamalkan diet selepas bersalin, bimbang jika berlaku apa-apa yang tidak baik nanti. Jadi, saya makan saja apabila tiba waktunya. Mungkin kerana itu saya berasa sangat sihat. Pantang saya hanyalah untuk tidak makan berlebih-lebihan," ujarnya.

Mengenai majlis cukur jambul anaknya, Shahira berkata, kakaknya, Sharifah Hazlinda turut berkongsi majlis terbabit buat kali pertama. Semua persiapan pula, katanya, dilakukan sendiri oleh mereka sekeluarga, kecuali pelamin yang ditaja Ereka Creations.

"Setiap kali majlis seumpama ini hendak diadakan, ibu mentua saya, Datin Maria Arshad, menjadi orang paling sibuk melakukan persiapan. Sejak awal-awal lagi, dia akan menyediakan bunga telur dan pelbagai cenderamata," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: