JARANG kedengaran pelakon teater begitu berminat memegang peranan jahat hingga menimbulkan kebencian penonton dalam filem atau drama. |
Namun, ia berbeza buat pelakon baru Mardiana Alwi, 21. Ini kerana watak kecil dipegang olehnya dalam beberapa drama televisyen dan telemovie dibintangi sebelum ini, nyata masih belum memberi kepuasan sebenar kepadanya.
Baginya, watak jahat memerlukan seseorang bijak bermain emosi dan psikologi untuk mendapatkan perasaan sebenar watak yang dibawa.
Ia lebih berkesan jika pelakon mampu menjiwai watak dengan baik sehingga mendapat reaksi daripada penonton.
"Saya yakin bidang teater dan nyanyian yang dipelajari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membantu saya mencapai impian itu.
"Cara terbaik mengukur keupayaan pelakon adalah melalui watak dibawa. Lebih jahat, lebih baik. Tindak balas penonton cara paling berkesan memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.
"Pendedahan awal dalam lakonan drama, telemovie dan model iklan sebelum ini memberi banyak pengalaman baru apatah lagi saya suka watak wanita jahat yang tidak disukai penonton," katanya.
Pemenang tempat ketiga Pertandingan Bintang Asli Remaja 2009, ini berkata, persembahan teater di Singapura memberi banyak pengalaman baru buatnya.
"Terutamanya untuk mematuhi syarat dan tahap piawaian tinggi ditetapkan untuk berlakon pada peringkat antarabangsa. Saya menjalani uji bakat hanya sekali dan terus diterima masuk oleh pengarah, Ahmad Idham," katanya.
Mengenai masa depannya pula, Mardiana yang pernah menerima anugerah dekan Aswara selama dua tahun berturut-turut pada 2008 dan 2009 berkata, selain lakonan dan nyanyian, dia bercita-cita menjadi pensyarah.
"Saya mahu timba seberapa banyak pengalaman dan berkongsi ilmu dengan orang yang berminat.
"Saya berhasrat menceburi nyanyian muzik tradisional dan mahu merakam suara menyanyikan lagu asli tempatan.
"Jika boleh, saya mahu menyenaraikan elemen tarian salsa dan irama ghazal dalam album itu. Saya juga mahu jadi artis serba boleh," katanya.
Antara drama lakonannya telefilem seperti Biar Rahsia, Jalan Pulang, Behsan Suami dan I See The Violence.
Selain itu, dia pernah membintangi teater yang dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Intan Yang Tercanai, Bukan Deja Vu, memegang watak Ika yang dipentaskan di The Esplanade, Singapura, bulan lalu dan terbaru, teater muzikal Impak Maksima yang mendapat sokongan dari Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: