Friday, November 6, 2009

Cinta Rossa belum pudar

"Wallahualam, kita tidak tahu tentang jodoh. Saat ini selepas berpisah dengan Yoyo, saya enggan fikir lagi tentang dia mahupun merujuk semula. Sudah berhenti harap" – ROSSA




PANTAS benar detik waktu berlalu. Diam tak diam, melangkau usia empat bulan penyanyi popular dari negara seberang, Sri Rossa Roslaina Handayani atau seluruh peminat mengenalinya sebagai Rossa menggalas gelaran baru sebagai janda dan ibu tunggal.

Sebetulnya teramat pahit untuk menelan hakikat kebenaran apabila cinta yang ditumpahkan dengan sepenuh hati dipersiakan oleh orang tersayang, sementelah lagi oleh si dia yang bernama suami.

Enggan sesekali mengalah dengan nasib yang kurang menyebelahi setelah berpatah arang dan berkerat rotan dengan lelaki bernama Yoyo, wanita berusia 31 tahun ini tetap optimis meneruskan kehidupan di laluan depannya.

Kesempatan bertentang mata sambil berbicara kira-kira setengah jam dengan Rossa sempena sidang media Enjoy Jakarta di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini terlihat sebagai peluang yang tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Dapat menebak sejak awal-awal lagi, anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia itu sepertinya mengerti kisah peribadi selepas talak sah dijatuhkan oleh Yoyo pasti menjadi topik yang dibentangkan pada petang itu.

Apabila mula berbicara tentang takdirnya itu, Rossa terus melemparkan senyuman manis seolah-olah tiada apa-apa berlaku sebelum ini. Bahkan tiada langkah sumbang Rossa walaupun dihadapkan dengan angin kesunyian selepas hidup bersendirian.

"Alhamdulillah, saya sedang menikmati masa remaja sambil menguruskan bisnes muzik sendiri iaitu 512 Music. Syarikat rakaman ini menguruskan beberapa artis seperti Irfan Gunawan, Intan Nuraini, Revalina S. Temat dan Acha Septriasa.

"Memanglah saya rasa kesunyian selepas berpisah baru-baru ini. Tetapi sejujurnya saya rasa gembira dapat menjalani hari-hari selanjutnya apatah lagi selepas mendapat kepercayaan menjadi duta Enjoy Jakarta.

"Buat apa saya hendak bersedih dengan perkara yang sudah berlaku. Walaupun hubungan dengan suami terputus di pertengahan jalan namun saya masih berhubung serta berkomunikasi dengan Yoyo.

"Bahkan saya juga ada anak (Muhammad Rizky Langit Ramadan, tiga tahun) yang dapat menceriakan kehidupan saya. Mantan suami juga selalu menjenguk Rizky yang kini berada dalam jagaan saya.

"Kalau kalian mahu tahu, hidup saya sama saja seperti sebelumnya. Cuma yang membezakan sekarang apabila saya dan Yoyo tiada lagi ikatan sebagai suami isteri," jelasnya dalam nada cukup berkeyakinan sambil menjalani fasa baru sebagai ibu tunggal terhangat di Indonesia.


SIDANG media bagi mempromosikan Enjoy Jakarta berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Selepas dua tahun menganyam cinta, tanggal 18 Mac 2004 menjadi saksi cinta Rossa dan Yoyo yang merupakan pemain drum kumpulan Padi itu bersemi indah lantas disimpul dengan ikatan perkahwinan.

Biarpun begitu, panas yang disangka berpanjangan hingga ke petang nampaknya memunculkan hujan lebat dengan dentuman halilintar di tengah hari.

Tiga tahun bersatu, akhirnya rumah tangga mereka bergoncang pada April 2007 gara-gara Yoyo dikatakan punya wanita lain dalam hidupnya sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung. Mereka bagaimanapun berpisah secara rasmi pada 14 Julai 2009.

Untuk kembali rujuk dengan bekas suaminya, kata Rossa, dia hanya menyerahkan kepada Pencipta untuk menulis ketentuan kepada dirinya yang kerdil itu.


LAGU Terlanjur Cinta, Rossa sempat 'mengenakan' seorang penonton lelaki yang cukup sporting.


"Wallahualam, kita tidak tahu tentang jodoh. Saat ini selepas berpisah dengan Yoyo, saya enggan fikir lagi tentang dia mahupun merujuk semula. Sudah berhenti harap," luah Rossa serius.

Ibarat menjadi 'sumpahan' yang tidak berupaya dielakkan. Baik kepada golongan selebriti mahupun orang biasa, apabila mereka menjalani kehidupan solo semula, pasti ada yang cuba mendekati kalau terlihat sahaja ruang kosong di depan mata.

Penyanyi yang melontarkan lagu Tegar itu tanpa berselindung mengaku empunya diri belum 'didatangi' oleh sesiapa yang punya agenda untuk memikat jiwanya yang lara dan sendiri itu.

"Jangan sesekali mengingatkan tentang lelaki yang datang mahu berkenalan dengan saya selepas hidup membujang. Memang tiada mana-mana orang yang mendekati. Saya belum laku lagi sampai sekarang," ungkap Rossa spontan sambil bercanda dengan pihak media tempatan yang begitu akrab dan amat disayanginya.

Wanita genit itu menyambung bicara, dia tidak serik untuk bercinta apatah lagi mendirikan rumah tangga semula selepas hubungannya dengan Yoyo dilanda badai sekali gus ranap tanpa dapat diselamatkan.

"Cuma buat masa ini saya lebih selesa kalau hidup berseorangan sambil ditemani keluarga. Saya sekadar menerima ketentuan Tuhan kalau jodoh datang lagi dan berpihak kepada diri selepas ini.

"Saya tidak mengamalkan sikap memilih atau mencari cinta daripada golongan kenamaan dan kaya-raya. Tidak kisahlah jika dijodohkan dengan sesiapa. Paling penting, lelaki ini kena lebih baik daripada segi zahir dan batin.

"Terus-terang, manusia di muka bumi ini tidak perlu dibanding-bandingkan. Asalkan si dia seagama dan menyayangi saya serta Rizky, itu sudah cukup membahagiakan kami," jelas Rossa yang kelihatan jelita mengenakan gaun paras lutut dengan rona hijau menjerit.

Kasihan dengan nasib Krisdayanti

Rossa yang berkawan rapat dengan penghibur terkenal, Krisdayanti turut meluahkan perasaan sedih dan dukacita terhadap nasib yang menimpa wanita yang digelarnya sebagai 'Mimi' baru-baru ini.

"Saya sering menemui Mimi. Bahkan selepas kisahnya didedahkan dengan meluas oleh pihak media sebelum ini tidak membuatkan hubungan kami renggang. Sudah menjadi prinsip saya agar tidak menjauhi teman yang hidup dalam kesulitan.

"Baru beberapa hari lalu saya berjumpa dengan Mimi dalam acara sambutan hari jadi keluarga. Kami memang rapat dan tidak mampu dipisahkan sejak dulu lagi.

"Sudah pastilah saya sedih apabila Mimi mengalami hal yang tidak baik dalam hidupnya. Tetapi saya harap agar dia terus tabah kerana ini merupakan asam garam kepada lanjutan hidup sampai kita sebagai manusia akhirnya menutup mata," ujarnya sedikit beremosi.

Pada waktu yang sama, Rossa turut mengulas lebih lanjut tentang gosipnya dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha. Rasanya sudah kali ke berapa wanita itu membuat pengakuan kepada peminat di negara ini bahawa dia tidak menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki kacak itu.

"Gosip dengan Pasha bohong belaka. Barangkali sebab saya dekat dan rapat sangat dengan dia ketika di pentas membuat persembahan lantas orang ramai membuat andaian kami berpacaran.

"Lagipun dia bukanlah cita rasa saya," tutur Rossa sambil tergelak mengekeh apabila bercakap tentang Pasha yang dikatakan kini menjadi buah hatinya.

Sambil duduk di kerusi menyilangkan kakinya, Rossa sempat bercerita tentang perkembangan terbarunya sebagai anak seni. Wajahnya jelas ceria dengan menghambur tawa yang tidak lekang sepanjang bibir nipisnya itu menuturkan kata.

"Saya sedang buat promosi lagu Hati Yang Kau Sakiti menerusi album terbaru saya yang berjudul Rossa. Bahkan konsert jelajah di lapan buah kota di Indonesia juga sudah habis baru-baru ini.

"Sekarang saya memang menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti yang melibatkan Enjoy Jakarta dengan mengadakan persembahan untuk pihak media dan mengelilingi Indonesia untuk beri lebih banyak publisiti tentang kempen ini.

"Selain itu, saya sedang mengadakan perbincangan untuk mengadakan konsert berskala besar di Malaysia pada pertengahan tahun depan dengan mendapat kerjasama Enjoy Jakarta.

"Lokasi untuk mengadakan konsert ini belum diketahui lagi. Tetapi saya cukup menantikan peluang untuk mengadakan konsert di Istana Budaya. Insya-Allah, kalau umur panjang saya mahu bertemu dengan peminat di negara ini," jelas Rossa bersungguh-sungguh.

Terpilih duta Enjoy Jakarta

Nampaknya rezeki Rossa selepas mengalami perpisahan terus melimpah ruah. Tiada siapa yang mampu menolak kenyataan itu waima Rossa sendiri.

Ibaratnya terus dirahmati oleh Allah, wanita yang sarat sikap peramah itu kini dilantik pula sebagai jurucakap Enjoy Jakarta di bawah kendalian Government Tourism & Culture Office (GTCO), Indonesia.

Tidak dinafikan, tugas yang dikepalai oleh Rossa itu bukan calang-calang seperti yang terlihat secara luarannya. Dia sebaliknya harus mengetahui selok-belok Jakarta yang mencakupi pelbagai aspek termasuk pelancongan, ekonomi dan politik.

Sebelum ini Krisdayanti dilantik menjadi wajah GTCO pada tahun 2005 hingga 2006 untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta bagi mempromosikan Jakarta menerusi kempen Enjoy Jakarta di Malaysia.


KALA di pentas, riak duka serta kecewa cuba disembunyikan dan Rossa cukup menghiburkan dalam persembahan selama satu jam.


Kali ini, Rossa pula yang disambar oleh GTCO apabila dilantik sebagai jurucakap. Lantaran itu, ada suara-suara nakal yang mengaitkan pemilihan Rossa dilihat seperti menutup laluan kepada Krisdayanti.

Dalam nada berhemah, Rossa menjawab, tidak sepatutnya timbul tanggapan seperti itu kerana dia sekadar menggalas tanggungjawab demi ingin membalas bakti Jakarta yang banyak membantu mencapai cita-citanya selama ini.

"Bagi saya, pemilihan sebagai duta sambil memberikan publisiti kepada Enjoy Jakarta merupakan satu kepercayaan besar yang diberikan oleh GTCO kepada saya.

"Perkara ini tidak melibatkan soal bayaran langsung. Tetapi lebih kepada apa yang mampu saya lakukan untuk membantu industri pelancongan di Jakarta. Saya berasal dari luar Jakarta namun hampir semua cita-cita saya tercapai dengan jayanya di Jakarta.

"Inilah masa terbaik untuk saya membalas jasa dengan menjadi duta Enjoy Jakarta. Memang program ini memerlukan komitmen yang tinggi. Tetapi ia menjadi bukti cinta saya kepada Jakarta," katanya dalam nada ceria.

Usai sidang media Enjoy Jakarta itu diadakan, Rossa kemudiannya melakukan persembahan tertutup selama satu jam di pentas Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh pihak media dan agensi-agensi pelancongan Malaysia.

Dalam persembahan yang penuh energetik dan memukau itu, Rossa mendendangkan kira-kira tujuh buah lagu antaranya Hey Ladies, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti, Takdir Cinta, Sakura dan Ayat-Ayat Cinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: