|
|
MINGGU kedua, Sehati Berdansa musim ketiga (SB3) yang bertemakan Disko menyaksikan pasangan pelakon Anita Baharom dan suaminya, Mohamad Ismadi Ismail atau Ismadi, tersingkir daripada meneruskan saingan seterusnya.
Mewakili badan kebajikan Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), mereka berada di tangga tercorot dengan mengumpul 41.74 peratus berbanding lapan pasangan lain.
Penyingkiran tersebut membolehkan Anita dan Ismadi yang memperlihatkan gaya tarian tersendiri dengan alunan lagu Pilihlah Aku nyanyian Latiff Ibrahim, memungut RM2,000 untuk disumbangkan kepada persatuan berkenaan.
Mendapat khidmat Masisza Ismail atau Emma selaku jurutari, Anita bagaimanapun enggan berlagu duka atau kecewa dengan keputusan penyingkiran itu dan menganggapnya sebagai adat bertanding.
Namun, jauh di sudut hatinya berasa terkilan kerana tidak mampu meneruskan langkah seterusnya bagi mengumpul seberapa banyak dana untuk disumbangkan kepada PSLEM.
Ini kerana, Anita sendiri mengakui dan membuka cerita bahawa dia sememangnya salah seorang yang menderita penyakit SLE atau Systemik Lupus Erythematosus (SLE).
SLE adalah gangguan pada sistem imunisasi atau pertahanan dalam badan manusia sehingga mewujudkan keadaan tubuh mengeluarkan antibodi berlebihan dan menyerang organnya sendiri seperti kulit, jantung atau otak.
Penyakit itu juga boleh menyerang dan merebak ke beberapa bahagian tubuh seperti sendi, buah pinggang, paru-paru dan saluran darah.
Jelas Anita, SLE yang dihidapinya sering menyerang kulit dan sendi-sendi tulang sehinggakan dia adakalanya sukar untuk bergerak atau berjalan.
"Saya disahkan menghidap SLE sejak di bangku sekolah lagi. Sebagai penghidap SLE, saya tidak boleh berasa panas atau tertekan. Kadang-kadang, ia menyerang kulit muka saya.
"Menjelang malam pula, ada waktunya saya tidak mampu untuk mengangkat bahu,'' katanya ketika ditemui media selepas pengumuman penyingkiran minggu kedua SB3 di Studio 1, Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam Ahad lalu.
Dengan penyingkiran Anita dan Ismadi di malam Debaran Sehati Berdansa yang diumumkan oleh Awal Ashaari itu, ia membolehkan lapan lagi pasangan bakal berentap di minggu ketiga yang berkonsepkan penghargaan untuk Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Mereka adalah pasangan Sazlini Shamsul Falak (Sazzy) - Nazril Mohd. Idrus (Nazril); Mirnawan Nawawi (Mirna) - Noorah Mokhsin (Norah) dan Fadzilah Mohammad Ali (Didie Alias) - Nor Isham Ismail (Sham).
Lain-lain pasangan, Syed Hussein Syed Mustafa (Sein) - Noor Diyana Muhammad (Nana); Nurul Huda Md. Nasir (Oshin) - Mohd. Firdaus Mohd. Shukor (Firdaus); Ismaliza Ismail (Isma) - Zulkefli Majid (Zul); Khaidirah Abu Zahar (Dira) - Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid (Ash) serta Alliza Abdullah (Enot) - Zainul Abidin Mat Noor (Zainul).
Dalam saingan di minggu kedua, pasangan Sazzy-Nazril mencatat peratusan tertinggi dengan memungut 53 peratus diikuti Didie-Sham (50 peratus); Dira-Ash (50 peratus); Sein-Nana (48 peratus); Isma-Zul (48 peratus); Mirna-Norah (43 peratus); Enot-Zainul (43 peratus) dan Oshin-Firdaus (42 peratus).
Selain unggul di atas takhta, pasangan Sazzy-Nazril juga menjadi satu-satunya pasangan yang memperoleh markah penuh 100 yang diberikan oleh juri jemputan, Anita Sarawak.
Juri jemputan lain ialah Peter Ong serta Joseph Gonzales bertindak selaku juri tetap SB3.
Menyambung kata-kata, Anita menjelaskan, bahawa buat masa ini, dia hanya bergantung harap kepada rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan oleh hospital.
"Bila sudah ada anak, lagi meletihkan. SLE selalu menyerang di sendi-sendi di seluruh badan menyebabkan saya sukar bergerak,'' ujarnya yang pasrah dengan takdir dan dugaan.
Ismadi ada peningkatan
Mengulas mengenai penyingkirannya, Anita berkata, semuanya ini hanyalah program realiti yang keputusannya terletak kepada juri dan penonton yang mengundi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Saya sedar pandangan orang adalah berbeza-beza. Mungkin kerana saya, ada orang yang tidak mengundi kami.
"Mungkin juga ada faktor-faktor lain. Apa pun, ini hanyalah program realiti. Saya tidak ambil kisah sangat. Tapi, kalau boleh, memang kami hendak berada lama di dalam SB3. Boleh kumpul banyak duit untuk PSLEM,'' kata Anita.
Ditanya tentang komen juri terhadap suaminya, Anita berkata, Ismadi walaupun dilihat lemah daripada segi persembahan, namun, untuk minggu kedua, suaminya itu berjaya menampakkan peningkatan.
"Dia (suami) ada peningkatan. Kalau ada peluang, sudah tentu fokus saya adalah untuk memperbaiki lagi tariannya,'' ujar Anita yang kini muncul dengan drama bersiri terbaru Kau & Aku yang bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 10 malam di saluran Ria (saluran 104, Astro).
Mengenai jangkaan pasangan manakah yang mampu bergelar juara, Anita dan Ismadi bagaimanapun menyatakan langkah SB3 masih awal dan sukar untuk mencongak siapa bakal menggenggam trofi kejuaraan.
Bagaimanapun, Ismadi menjelaskan, buat masa ini, dia dan Anita sepakat mengatakan pasangan Sazzy-Nazril punyai kekuatan tersendiri.
"Kalau hendak meramal siapa juara, buat masa ini, ia terlalu awal. Kita belum lihat tarian-tarian lain lagi. Tetapi, dengan cabaran dua minggu ini, mata saya nampak kesungguhan dan kekuatan Sazzy-Nazril,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: