BAITULMAQDIS -Komando-komando tentera laut Israel memintas sebuah kapal yang dipercayai membawa senjata dari Iran untuk pejuang-pejuang Hezbollah di Lebanon, kata beberapa pegawai semalam.
"Semasa satu serbuan pada waktu malam, satu pasukan khas marin memintas sebuah kapal yang dipercayai membawa kargo kira-kira 100 batu nautika dari daratan kami," kata seorang jurucakap tentera.
Gambar-gambar yang dirakamkan menunjukkan kapal itu diperiksa di Pelabuhan Ashdod, Israel.
Kapal itu menggunakan nama Francop dan mengibarkan bendera Antigua.
"Kami mengesyaki ia membawa senjata dan apabila pemeriksaan dibuat, dakwaan kami itu didapati benar," tambah jurucakap itu.
Pihak tentera enggan menyatakan jenis senjata yang dibawa atau destinasi kapal itu.
Namun, Presiden Israel, Shimon Peres menyatakan kapal itu dipercayai membawa senjata dari Iran ke Lebanon.
"Pasukan Pertahanan Israel berjaya merampas sebuah kapal yang dipercayai datang dari Iran dan sedang menuju ke Syria dan Hezbollah," kata Peres.
Media-media tempatan melaporkan kapal itu membawa satu penghantaran beberapa tan peluru berpandu antikereta kebal dan antipesawat.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Israel, Matan Vilnai, roket Katyusha merupakan antara senjata yang dibawa oleh kapal berkenaan.
Vilnai berkata, anak kapal itu tidak mengetahui senjata itu.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak memuji operasi itu dengan menyatakan ia merupakan kejayaan terbaru Israel menentang penyeludupan senjata api itu yang mengancam keselamatan negara tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: