Tuesday, December 30, 2008

Dengarnya... Leeya Sudah Berbadan Dua



Sharifah Aleya

SEDANG Cik Normah bermalas-malasan di rumah, tiba-tiba telefon bimbit Cik Normah berdering. Mulanya ingat nak buat tak tahu saja, iyalah Cik Normah juga perlukan ruang untuk berehat.

Lagipun bukan selalu dapat bercuti panjang. Menjelang akhir tahun ini, Cik Normah asyik terkejar sana sini. Ada saja jemputan, tak dipenuhi bimbang nanti ada yang terasa hati pula.

Mahu atau tidak Cik Normah usahakan juga untuk memenuhi permintaan mereka. Dalam rancak berbual itu, teman Cik Normah yang memanggil tadi pun dengan becoknya tiba-tiba memberitahu pelakon dan penyampai radio yang cukup hangat di stesen Hot FM, Sharifah Aleya atau Leya sedang menikmati detik awal bergelar ibu.


Katanya, semua bermula pada satu sesi fotografi apabila orang kuat stesen itu, Seelan Paul bergurau melihat tubuh anak buahnya masing-masing sedang membesar. Biasalah bila ditegur gemuk, ada yang sensitif. Mulalah memasang impian untuk berdiet, entah menjadi entahkan tidak.

Tapi Leeya tanpa berselindung memberitahu dia punya alasan untuk tidak menguruskan badan kerana sedang bawa budak. Khabarnya kandungan Leya sudah mencecah sebulan setengah.

Mendengar berita itu, apa lagi bersorak riang semua yang ada di situ. Cuma satu yang Cik Normah harapkan, mereka dapat perhatikan juga Leeya tu. Maklum dia tu lasak, bimbang akan memberi kesan kepada kandungan yang masih di peringkat awal itu. Buat Leya dan suami, tahniah kerana bakal bergelar ibu dan bapa pertengahan tahun depan.

Cik Normah juga nak ucapkan tahniah kepada kak Fatimah Abu Bakar yang akan menimang cucu pertama dan tak sangka bergelar nenek pula yer...

Berita Cerai Gemparkan Peminat


MELIHAT senario artis bercerai sepanjang 2008 cukup menakutkan. Dihitung secara keseluruhan hampir 18 artis tidak kira pelakon, penyanyi mahupun pengacara televisyen disahkan berpisah dengan pasangan masing-masing atau permohonan mereka masih dibicarakan di mahkamah syariah.

Lebih menyedihkan perkahwinan pasangan artis ini ada antaranya tidak sampai setahun pun usianya. Hal ini menimbulkan persoalan apakah benar hidup bersama orang popular tidak akan menjanjikan kebahagiaan atau perceraian mereka ini menjadi gambaran kepada masalah semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat tempatan sekarang?

Untuk menyenaraikan satu persatu perceraian artis yang berlaku dalam ruangan ini sepanjang 2008 mungkin tidak mencukupi kerana jumlah mereka terbabit terlalu ramai.

Untuk itu Rap menyenaraikan 10 perceraian artis mengikut susunan berdasarkan peristiwa yang dianggap mampu memberikan pengajaran kepada semua. Malah ada kes perceraian membabitkan artis ini agak pelik dan tidak kurang kontroversinya, terutama membabitkan punca ia berlaku.

Pastinya sepanjang 2008, perceraian antara dua pelakon popular Mohamed Norhakim Zaidon, 32, atau

Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan, 30, atau Abby Abadi paling menjadi perhatian kerana ia berlaku penuh drama dan puncanya pula agak mengaibkan.

Segalanya bermula apabila Norman ditangkap basah bersama pelakon muda, Memey Suhaiza, 20, yang juga anak saudara dramatis Darling Ngasri.

Bagaimanapun, kes itu belum dibicarakan di mahkamah.

Dalam diam masalah rumah tangga Norman dan Abby sebenarnya sudah berlanjutan sebelum ini apabila pelakon utama filem dan drama Pasrah itu dilaporkan tidak pulang ke rumah hampir lapan bulan. Malah sewaktu Abby melahirkan anak ketiga mereka, Norman tiada di sisi.

Norman turut dikatakan sudah lama menjalinkan hubungan dengan Memey tanpa pengetahuan Abby dan beberapa hari selepas mereka ditangkap basah, Abby mohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Ia disahkan 18 Disember lalu selepas Norman melafazkan cerai terhadap Abby di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammed.

Mazlin Tak Kisah Status Fareez


PERKAHWINAN yang dibina bukan sekadar menyatukan dua insan yang bergelar suami dan isteri saja, sebaliknya membabitkan hubungan keluarga kedua-dua belah pihak.

Bagi penyanyi era 80-an, Fareez, 45, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Tajuddin yang baru saja mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Mazlin Abdul Samad, statusnya sebagai duda membuatkannya begitu teliti dalam memilih pasangan hidup.

Kata Fareez yang juga bekas suami kepada penyanyi lagu etnik kreatif terkenal, Noraniza Idris, dia mula berkenalan dengan isteri barunya itu kira-kira setahun lalu di KLCC dan ia bukanlah dirancang kerana mereka sebenarnya mempunyai rakan yang sama untuk berbincang suatu perkara.

Mengimbas detik indah perkenalan itu, Fareez berkata, bukan mudah untuk dia mendekati Mazlin. Menurutnya, Mazlin juga enggan memberikan nombor telefonnya sehingga dia nekad mencarinya sendiri.

"Apabila sudah dapat, saya hubungi dia dan Mazlin memang terkejut. Saya terus menyatakan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih rapat dan andai ada jodoh ingin menyuntingnya sebagai isteri. Justeru, dia meminta saya memberitahu bapa mengenai hasrat saya itu.

"Kali pertama bertandang ke rumahnya, saya berjumpa dengan ibu bapanya serta menyatakan hasrat murni itu dan saya bersyukur kerana mereka menerima saya dengan baik," katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran sebelah pengantin lelaki di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kata Fareez, 45, tempoh itu sudah cukup untuknya mengenali Mazlin dan menyunting gadis itu sebagai suri hidupnya. Akuinya lagi, apa yang menyebabkan dia terpikat dengan Mazlin sukar dijelaskan tetapi dia tahu si gadis mempunyai ciri-ciri gadis idamannya.

"Sebaik mendapat persetujuan daripada Mazlin, saya membawanya berjumpa dengan kedua-dua anak saya Mohamad Aliff Haiqal, 19, dan Mohd Alfeeq Haikal, 15. Mereka juga memberi 'lampu hijau' untuk berkahwin dengan Mazlin. Bahkan, mereka (anak) menerimanya dengan baik termasuk restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

"Sejak awal perkenalan lagi, saya beritahu Mazlin mengenai status saya ini dan dia menerimanya dengan baik. Memang hanya saya dan dia yang berkahwin sebagai suami isteri. Bagaimanapun, dengan status saya sekarang, dia juga perlu menerima dua anak saya dan nampaknya mereka saling menerima antara satu sama lain," katanya.

Menyingkap perkahwinan mereka, Fareez dan Mazlin berkahwin di Masjid Al-Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu dengan mas kahwin RM80 dan hantaran RM12,000 dengan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki serta berbalas 11 dulang daripada pihak perempuan.





Majlis persandingan sebelah pihak perempuan diadakan Sabtu lalu di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dan bagi pihak lelaki pula diadakan di rumah keluarganya di Bandar Tun Razak, Cheras pada Ahad lalu.


Beberapa rakan artis seperti Nash, Den Wahab, Kairel Khamis dan Ayati Tasrip turut hadir meraikan Fareez di majlis kesyukuran sebelah lelaki. Walaupun tidak bersanding dan hanya beramah-mesra dengan tetamu, Fareez dan Mazlin tetap ceria melayan keluarga dan rakan dengan mengenakan pakaian sedondon serba putih.

Ketika ditanya, sama ada dia mengundang bekas isterinya ke majlis perkahwinan itu, Fareez berkata, dia mengambil pepatah orang lama, barang yang lepas, jangan dikenang.

Sementara itu, Mazlin berkata, sejak awal berkenalan dengan Farezz dia memang tahu status dan cerita Fareez. Katanya, sebaik disunting sebagai suri hidup Fareez, dia mendapatkan pandangan dan persetujuan keluarga kedua-dua pihak.

"Ternyata keluarga kami bersetuju dan menyerahkan hal jodoh pada kami. Malah kedua-dua anak suami pun dapat menerima saya dengan baik dan mereka memanggil saya Umi.

"Fareez juga ikhlas ingin berkawan dengan saya. Sebab itulah kali pertama datang ke rumah, dia terus berjumpa ibu bapa saya menyatakan hasratnya. Dari situ, nampak kesungguhannya sehinggakan dia sanggup berusaha mencari nombor telefon saya," katanya yang berkerja di firma guaman.

Mengenai destinasi bulan madu, Mazlin berkata, mereka belum merancang untuk bercuti ke mana-mana destinasi setakat ini. Sebaliknya menganggap setiap hari yang dilalui mereka kini adalah saat indah seperti bulan madu.

Diana Tidak Berpaling


WAJAHNYA memendam rasa terkilan amat sangat. Barangkali masih dibeban seribu persoalan mengapa insan yang cukup disayangi dan dipuja sanggup mengasarinya hingga mendesak dia membuat aduan.

Tidak sayangkah sang kekasih pada persahabatan yang terjalin sejak tiga tahun lalu? Setiap kali memikirkan hal itu, Diana Danielle Danny Beeson (Danielle), 17, menjadi sebak.

Lalu, ditekadkan hati untuk melempar jauh segala kenangan suka dan duka pernah dilayari bersama bekas kekasihnya, Syamsul Yusof.

Tidak pula menyimpan dendam, malah Danielle sudah pun memaafkan buah hatinya itu namun untuk kembali bersama terserah pada Yang Maha Esa menentukan. Padanya, apa yang berlaku sukar untuknya kembali berpaling.

"Selama ini Syamsul begitu baik dengan saya bahkan keluarganya juga dan disebabkan itulah saya tidak mahu berdendam dengan mereka. Terus terang saya sudah lama memaafkan Syamsul cuma untuk kembali ke pangkuannya saya perlu berfikir semasak-masaknya.

"Mungkin benar, gadis remaja seperti saya belum layak memikirkan soal cinta justeru saya putuskan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier terlebih dahulu," katanya.

Pada 26 November lalu, selepas pulang dari makan malam bersama Syamsul berlaku pertengkaran antara mereka berdua sehingga Syamsul bertindak mengasarinya sebelum ibu kepada artis jelita itu meleraikan pergaduhan. Dua hari selepas kejadian Danielle membuat laporan polis.

Enggan mengungkit lagi kisah duka itu, Danielle berhasrat menutup segala cerita berkaitan hal berkenaan. Dalam fikirannya sekarang ini adalah untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembikinan album sulungnya.

Demi menjayakan impiannya, Diana dan ibunya berhasrat berpindah dan menetap di Jakarta, Indonesia tahun depan jika segala perancangan berjalan lancar.

"Penghijrahan ini tiada kaitan dengan kisah peribadi saya. Sebaliknya keputusan dibuat demi kebaikan karier seni kerana saya melihat perlu ada peningkatan dalam sesuatu kerjaya.





"Lagipun peluang sudah terbentang luas depan mata jadi mengapa tidak saya memanfaatkannya sedangkan ramai di luar sana mengharapkan peluang seperti saya peroleh.


"Berpindah ke Jakarta ia menuntut banyak pengorbanan namun, saya percaya setiap pengorbanan pasti ada hikmahnya. Mana tahu di sana bakat saya lebih menyerlah sebagai penyanyi," katanya.

Menolak dia mempertaruhkan rupa semata-mata, Danielle menegaskan minat menyanyi sudah lama bercambah dalam dirinya sedari kecil.

Selain menyanyi, dia juga berkebolehan bermain muzik seperti piano dan biola, bahkan pernah terbabit dalam pembikinan album

amal berbahasa Inggeris sempena Projek Alaf Baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dua tahun lalu.

Bercerita mengenai pembikinan album sulungnya itu, Diana yang baru selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan khidmat komposer berbakat seperti Tompi, Glen Fredly dan Pasha (Ungu).

Hujung November lalu, Diana dan ibunya sempat bertemu komposer popular di Jakarta iaitu Octave yang sudah menyatakan persetujuan untuk menyuntingnya menjadi artis rakaman di negara itu.

"Sudah lama saya mahu jadi penyanyi dan apabila ada komposer dari negara itu sendiri menawarkan peluang sekali gus berjanji memperkenalkan nama saya di Indonesia, saya melihat peluang ini tidak harus dipersiakan.

"Ketika menjalani proses rakaman di sebuah studio terkenal di Jakarta, saya gementar kalau-kalau nyanyian saya tidak mencapai kehendaknya. Mujurlah dia berpuas hati dengan pencapaian suara saya," katanya.

Adik Selebriti Bercium Sakan

TAK SABAR rasanya bila menanti 2009. Maklumlah, jika dah sampai tahun baru, macam-macamlah azam yang Marilyn inginkan.

Dan mana-mana impian tahun ini yang tidak sempat dicapai, Marilyn tolaklah ke tahun seterusnya.

Sebenarnya, Marilyn bukanlah nak mengomel berjela-jela perihal pembukaan tirai 2009, sebaliknya Marilyn sekadar nak meluahkan rasa terkejut badak apabila menerima e-mel daripada teman baik Marilyn yang sedang belajar di luar negara.

Mati-mati ingatkan dia hantar gosip-gosip selebriti yang ada di negara yang sedang dia belajar, rupa-rupanya dia menghantar

satu gambar yang boleh membuatkan Marilyn terkesima seketika.

Marilyn diberi foto seorang gadis Melayu yang bercium mulut dengan teman lelakinya. Tertanya-tanyalah juga siapa empunya diri itu.

Belek punya belek, rupa-rupanya gadis itu merupakan adik kepada selebriti popular yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan.

Aduh, macam mana boleh jadi begini adik oi. Dah tahu kakak awak tu dikenali ramai, maka janganlah hendak buat perkara yang boleh memalukan diri dan keluarga.

Jangan ingat awak tu berada nun jauh di negara orang, awak boleh buat sesuka hati tanpa mempedulikan batasan sebagai muslim dan melupakan nilai-nilai ketimuran.

Hmm.. Tapi tak sangka juga teman Marilyn di luar negara turut mengikuti perkembangan gosip-gosip terkini artis tempatan.




Marilyn: Terasa mahu membuat sedikit perubahan diri sempena tahun baru.

Nak Jadi Orang Baru




KISAH hangat tentang selebriti tinggi lampai Linda Onn nampaknya masih lagi belum reda. Ada sahaja kisah mengenai dirinya yang tercalit di dada-dada akhbar, tidak kira cerita manis mahupun pahit.

Baru sahaja bernafas di 'rumah' baru pada 15 Disember lalu di Sinar FM, datang pula ura-ura yang mengatakan Linda Onn mungkin akan 'terbang' ke stesen radio pesaing Hot FM.

Benar, tidak mustahil jika suatu hari nanti deejay ini mahu beralih arah memandangkan jiwanya lebih pada muzik-muzik terkini.

Apalagi bila menceritakan tentang deejay yang sering bertukar-tukar arah, ia mungkin suatu perkara yang normal.

Bertanyakan hal ini kepada Linda, dia tidak mengiya atau menafikan. Dia lantas mengakui telah menerima tawaran daripada beberapa stesen radio.

"Benar, Hot FM pernah melamar saya. Tapi itu dahulu. Bukan Hot FM saja, ada lagi beberapa stesen radio yang juga menawarkan saya menjadi deejay mereka.

"Semua tawaran itu saya tolak kerana begitu sayangkan Era. Maklumlah, dah 10 tahun saya bersama Era. Jatuh dan bangun Era, saya ada di situ.

"Tapi buat masa ini, tiada sebarang tawaran yang saya terima," tuturnya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009 baru-baru ini.

Bagaimanapun, jika kali ini peluangnya lebih kepada stesen radio lain, Linda mungkin tidak akan menolak. Baginya, rezeki berada di mana-mana dan untuk mendapat rezeki yang lebih, tidak salah jika wanita ini cuba untuk beralih arah sekali lagi.

"Rezeki ada di mana-mana. Jika peluang saya lebih besar di stesen-stesen radio yang melamar saya, kenapa tidak? Insya-Allah, kalau rezeki saya di situ, di situlah ia," ujar wanita yang berusia 31 tahun ini.

Sedih tinggalkan Era

Memang benar, Linda berasa agak sedih bila meninggalkan radio Era dalam sekelip mata. Manakan tidak, mahu mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar Era pun tidak kesampaian.




Namun, itu tidak bermakna Linda membenci Sinar FM. Secalit pun tidak. Cuma dia gusar, andai dirinya tidak mampu untuk menarik perhatian pendengar Sinar FM.

"Saya tak menidakkan kewibawaan Sinar FM, cuma saya bimbang diri saya tidak berwibawa untuk menaikkan Sinar FM. Apa yang saya harapkan sekarang ini agar peminat-peminat Sinar FM dapat menerima kehadiran saya.

"Berkenaan dengan kesedihan saya meninggalkan Era, siapa tidak sedih kalau sejak tahun 1997 saya sudah bersama dengan radio itu?

"Bila mana-mana deejay yang akan meninggalkan Era, mereka pasti akan diberikan slot untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar-pendengar setia mereka.

"Tapi, saya langsung tidak berkesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal pada peminat-peminat," jelasnya.

Agak mengejutkan, ketika Linda mula beralih ke Sinar FM, dia tidak menyangka sama sekali ada segelintir peminatnya juga beralih arah dengan mendengar Sinar FM pula.

"Berita itu sangat menggembirakan saya. Pada masa yang sama, saya terharu kerana peminat sanggup berubah mendengar stesen radio lain semata-mata mahu mendengar saya berceloteh. Itu satu penghargaan buat diri saya.

"Sekarang saya ambil perkara ini sebagai satu benda yang positif. Saya masih jadi diri saya ketika di konti. Bila saya sedang bersiaran dan bercakap dengan pendengar, saya lupa seketika di mana saya berada," katanya yang mengelolakan slot Sinar Petang dari pukul dua hingga enam petang.


"LINDA tidak sangka ada lagi dugaan yang lebih besar selepas insiden enggan muncul di karpet merah Anugerah Academy di Hollywood. "


Selain itu, dengan tekad mahu menimba ilmu tentang lagu-lagu retro, menurut Linda, ibunya sendiri kini bertindak sebagai 'guru' muzik retro buat dirinya. Malah, rakan-rakannya yang gemar lagu-lagu retro juga membantu Linda dalam menambahkan ilmu pengetahuannya mengenai genre muzik berkenaan.

Justeru, adakah Linda sebenarnya sudah sedia berhijrah dari segi fizikal dan mental ketika mula-mula bersiaran di Sinar FM?

"Hari pertama, tidak. Saya kabur. Sampai tersasul-sasul saya bercakap. Hari kedua, pendengar mula menelefon saya, sedikit sebanyak mereka menaikkan semangat saya untuk bekerja. Hari ketiga, saya dah mula selesa sedikit.

"Biasalah, bila beralih secara drastik, rasa kejutan tu ada. Saya jadi diri sendiri dan macam biasa kita kena profesional. Saya rasa, sebulan dua nanti, saya boleh sesuaikan diri.

"Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jadi saya sedang berusaha untuk mengenali Sinar FM untuk mencintai radio ini. Cuma saya masih tak pasti lagi hala tuju saya," akuinya.

Buang keruh 2008

Tahun 2008, bagi Linda, memberikan pelbagai cabaran dan dugaan besar kepadanya. Seolah-olah ada sahaja yang tidak kena dengannya.

Apalagi bila kontroversi tentang putusnya hubungan cinta antaranya dengan aktor Fahrin Ahmad. Sejak putus cinta, semua pihak mencarinya untuk mendapat kesahihan berita ditambah pula sebelum ini Linda hanya mengaku mereka sekadar 'teman tapi mesra'.


"HUBUNGAN 'putus cinta' antaranya dengan Fahrin kecoh diperkatakan pada 2008. "


Selepas putus cinta, mereka dipertemukan dalam program realiti TV Sehati Berdansa dan timbul pula isu bila hampir semua orang di studio rakaman menyaksikan 'drama' Fahrin menengking Linda.

Paling menyedihkan wanita ini apabila tanpa sebarang perancangan, dirinya terus ditukarkan dari radio kesayangannya, Era, dan dimasukkan pula ke Sinar FM.

"Terus terang saya bagi tahu, saya tak kuat untuk mengharungi semua ini. Saya sering menangis bersendirian dan kadangkala rasa bagai nak gila.

"Sampaikan pada satu tahap saya tak tahu nak buat apa-apa. Saya runsing. Cuma satu saja, mak dan ayah serta teman-teman rapat saya yang menjadi pakar psikologi saya.

"Merekalah yang memberi nasihat. Kadang-kadang saya juga minta nasihat daripada Profesor Datuk Dr. Fadzilah Kamsah," ujarnya.

Tambah Linda, dirinya seolah-olah tahu masalah demi masalah akan berlaku kepadanya sejak isu enggan muncul pada acara karpet merah Anugerah Academy di Hollywood pada 26 Februari tahun lalu disebabkan tidak mahu memakai pakaian rekaan Radzwan Radziwil atas alasan ia agak terdedah.

"Waktu itu, memang saya rasa isu ini adalah satu dugaan paling besar yang pernah saya hadapi. Tapi sebenarnya tidak.

"Saya tak sangka ada lagi yang lebih besar menanti saya. Tahun 2009, saya harapkan sinar baru dari segala sudut, sama ada peribadi mahupun kerjaya.

"Apa yang sakit pada tahun 2008, saya tak mahu pandang. kalau ada media yang tanya perkara-perkara yang pernah berlaku pada tahun ini, saya tidak akan jawab lagi. Cukuplah. Saya nak jadi orang baru dan mahukan hidup baru," katanya.

Monday, December 29, 2008

Kontroversi Meletup

Bak bahang di Gurun Sahara! Begitulah yang boleh diibaratkan perjalanan dunia hiburan sepanjang tahun 2008 ini. Panas, gelora, suka dan duka bergerak seiring. Tahun 2008 menyaksikan macam- macam kes yang tidak diduga berlaku.

Kalau pada tahun lalu mulut celupar Rosnah Mat Aris yang memberi kenyataan sensitif mengenai Rasulullah dianggap paling kontroversi, tetapi tahun ini peristiwa tangkap khalwat Norman Hakim dengan Memey Suhaiza antara peristiwa begitu menggemparkan.

Ia termasuk juga kejadian tuntutan cerai Erema keatas Seri Bayu serta 'drama' apabila Syamsul Yusof didakwa menumbuk kekasihnya Diana Danielle.

l Norman ditangkap khalwat

Pada pagi 30 Oktober lalu, Norman atau namanya Mohamad Norhakim Zaidon, 32, ditangkap berkhalwat dengan pelakon baru Memey Suhaiza Suhaimi, 20.

Mereka ditangkap di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor.

Gara-gara kes itu, Abby Abadi, 31, membuat tuntutan fasakh keatas Norman pada 3 November tetapi permohonan tidak dapat diproses kerana Abby tidak mengemukakan dokumen lengkap.

Kerana naik angin dengan perbuatan Norman itu, Abby telah menyerangnya ketika penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. "Serangan" itu turut disertai wartawan hiburan tempatan.

Suami isteri itu akhirnya berpisah apabila Norman menceraikan Abby dengan talak satu pada 19 Disember lalu. Ini merupakan talak kedua kerana sebelum ini mereka pernah bercerai pada 5 Mei 2006 tetapi rujuk semula pada 11 Mei tahun yang sama.

Bagaimanapun ketika kes mereka masih panas, Abby dikatakan berkawan dengan Zulkifli Ariffin seorang pelakon baru tetapi Abby menafikan lelaki itu kekasihnya.

l Beego - Intan hanya bahagia empat bulan

Perkahwinan pelakon Beego atau Mohamad Aszerul Nizam, 28, dengan Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, menimbulkan kontroversi apabila pelakon itu memfailkan tuntutan nusyuz (derhaka) terhadap isterinya pada 22 Februari lalu.

Mereka berkahwin pada 28 Disember tahun lalu tapi hanya bahagia selama empat bulan sahaja.

Intan ketika memberi keterangan di mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mendakwa terpaksa membuat pinjaman bank RM30,000 sebagai wang hantaran dirinya selain membiayai perbelanjaan pihak lelaki.

l Nora Danish bercerai ketika mengandung

Agak sedih apabila rumah tangga pelakon Nora Danish, 26, yang dikatakan goyang akibat gangguan pihak ketiga tidak dapat diselamatkan. Nora terpaksa membuat keputusan untuk berpisah dengan Rizal Ashram Ramli, anak bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib. Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menerima lafaz cerai Rizal yang dibuatnya melalui SMS kepada Nora berbunyi "I ceraikan you." Mereka bernikah pada 20 Jun 2006.

l Bahana Faizal buka baju

Tahun 2008 dibuka dengan insiden memalukan apabila Faizal Tahir tergamak membuka baju ketika membuat persembahan pada 13 Januari semasa konsert ulang tahun keempat stesen 8TV. Gara- gara bahana insiden itu, 8TV tidak dibenarkan membuat siaran langsung berbentuk hiburan selama tiga bulan. Faizal pula dihukum dengan melakukan kerja-kerja amal

l Jodoh Noraniza tak panjang

Penyanyi Noraniza Idris yang bercerai dengan Fareez pada Mei 2006 mengesahkan berkahwin dengan seorang usahawan dari utara pada Februari lalu dalam satu majlis tertutup.

Tapi sayang tup-tup Noraniza mengesahkan jodohnya dengan lelaki tersebut tidak panjang apabila mereka terpaksa berpisah pada September lalu. Fareez pula selamat mendirikan rumah tangga dengan Mazlin Abdul Samad,24, Jumaat lalu.

l Aziz Satar merajuk

Pelakon Datuk Aziz Sattar meletakkan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran di dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Freddie Fernandez yang dianggap gagal menerajui persatuan tersebut.

Perletakan jawatan itu dikatakan kerana Pak Aziz kecil hati apabila Karyawan didakwa mengungkit menaja majlis kahwin pelakon veteran tersebut dengan Hashimah Delan. Pak Aziz turut membuat laporan polis kononnya Karyawan telah menyeleweng dana persatuan sebanyak RM200,000.

Dalam masa sama Pak Aziz turut terkilan apabila penyanyi Azizul Khamis dikatakan mengeluarkan perkataan nyanyuk kepadanya. Rupanya ia sekadar salah faham dan mereka sudah bermaafmaafan selepas insiden itu.

l Rita Rudiani nikah di Thailand

Kecoh apabila pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 32, disahkan bernikah dengan pemain pertahanan skud kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak, 21, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu. Mereka bernikah sorok-sorok iaitu tanpa pengetahuan keluarga.

Pengesahan itu dibuat oleh bapa Aidil, Abdul Radzak Salleh,59, yang terkejut dengan berita tersebut. Rita yang sedang mengandung hampir dua bulan akhirnya membuat kenyataan semalam mengapa mereka menyembunyikan perkahwinan itu.

l Rosnah nikah orang muda

Pelakon sensasi, Rosnah Mat Aris, 53, membuat satu lagi berita gempar apabila bernikah dengan Tajul Efendie Isa, 27, pada 13 November lalu.

Yang menjadi kecoh kes ini apabila Rosnah pada mulanya tidak mengaku berkahwin tetapi membuat kenyataan sebaliknya didalam sebuah akhbar tabloid tidak lama kemudian

Mereka bernikah di Masjid Seri Gombak, Kuala Lumpur.

l Tiada cinta Erema - Seri Bayu

Penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau Erema, 25, sudah tidak mampu lagi untuk menjaga suaminya penulis lirik, Seri Bayu atau Jamaluddin Sulik, 43, yang menghidap penyakit saraf. Erema memohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 1 Disember lalu tetapi kes terpaksa disebut semula pada 12 Januari depan bagi membolehkan kedua mereka melantik peguam.

Seri Bayu mendakwa dia yang tidak boleh bergerak itu sering dipukul Erema sebaliknya wanita tersebut menafikan melakukan perbuatan sedemikian. Mereka bernikah pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur.

l Syamsul didakwa tumbuk Diana

Cinta yang tidak kesampaian selepas tiga tahun berkawan. Pengarah Syamsul Yusof, 24, dan Diana Danielle Danny Beeson, 17, putus cinta juga akhirnya.

Puncanya mereka dikatakan bergaduh pada malam 26 November lalu akibat cemburu. Kerana tidak tahan sabar, Syamsul didakwa menolak kekasihnya itu sehingga jatuh di muka pintu. Diana mendakwa dia ditumbuk Syamsul sebanyak lima kali mengakibatkan bengkak sebelah kiri kepalanya.

l Fahrin tengking Linda

Kalau sebelum ini Linda mencipta kontroversi kerana menarik diri menjadi pengacara acara karpet merah Academy Award di Los Angeles tetapi tahun ini lain pula kesnya apabila Fahrin dikatakan menengking Linda.

Kejadian berlaku pada November lalu semasa raptai rancangan Sehati Berdansa. Linda didakwa mengeluarkan perkataan yang tidak digemari Fahrin menyebabkan pelakon lelaki itu terpaksa meninggi suara terhadapnya.

Akibat banyak sangat kisah sensasi Linda, penyampai radio Era itu dikatakan terpaksa ditukar ke stesen Sinar FM pada 15 Disember lalu.

l Shah Rukh Khan dapat Datuk

Walau apa juga kritikan, kerajaan Melaka tetap dengan pendirian untuk mengurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan. Pingat itu disampaikan pada 6 Disember lalu.

Pengurniaan darjah itu menimbulkan tidak puas hati beberapa persatuan artis yang menyifatkan pelakon itu tidak layak mendapat gelaran sedemikian.

l TV3 kena halau

Kecoh kes pernikahan Mawi dan Ekin yang bernikah pada 20 Disember lalu apabila krew TV3 tidak dibenarkan membuat liputan majlis itu yang diadakan di masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Ia disebabkan Astro sudah mendapat hak eksklusif majlis tersebut. Bagaimanapun media cetak tidak dihalang daripada membuat liputan majlis berkenaan.

l Muallaf kena gam

Filem Muallaf arahan Yasmin Ahmad tidak diluluskan tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana unsur agama yang terdapat dalamnya.

Bagaimanapun fielm itu mendapat sambutan ketika tayangannya di Singapura pada 29 November lalu. Filem tersebut dikatakan menyinggung perasaan umat Islam apabila Yasmin dikatakan mahu menyamaratakan semua agama demi kelangsungan hidup.

Zul Panggil Abby Sayang?


Abby Abadi dan Zulkifli Ariffin.

PERCERAIAN yang diharapkan Abby Abadi selepas kes tangkap khalwat bekas suaminya, Norman Hakim bersama Memey Suhaiza pada 30 Oktober, akhirnya menjadi kenyataan pada 18 Disember lalu apabila pasangan berkenaan sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Turut bersama Abby, 31, pada hari perceraian itu ialah peguamnya, Ahmad Nasib Johari; sahabat baik yang juga bekas anggota kumpulan Elite, Shasha Saidin bersama suami, Salyo dan pelakon baru siri Gerak Khas yang juga rakan baik Abby, Zulkifli Arifin, 22.

Zulkifli dan Abby kini dilabel ‘teman tapi mesra’ gara-gara terkena tempias gosip apabila gambar mereka berdua disiarkan di muka depan Harian Metro, baru-baru ini.

“Saya ke mahkamah untuk memberi sokongan terhadap apa yang dilalui Abby. Ini dugaan paling besar dalam hidupnya. Walaupun gosip panas mula melanda persahabatan kami, ingin saya tegaskan yang kami hanya kawan dan rakan sekerja. Abby kawan yang baik dan banyak membantu saya dalam lakonan. Saya amat memahami rentak dunia seni dan sanggup menghadapi apa jua risiko," kata Zulkifli atau Zul kepada wartawan yang bertanyakan tujuan kehadirannya bersama Abby pada hari itu.

Pun begitu, ketika Zubir masih menikmati percutian di satu lokasi mendamaikan di sebuah pulau, Zubir menerima panggilan telefon daripada seorang rakan artis yang menceritakan perihal terbaru mengenai ‘kisah cinta’ Abby dan Zul! Pasangan berkenaan saling mengenali ketika sama-sama membintangi drama Apa Itu Cinta? Sejak itu mereka sering berlakon dalam drama sama termasuklah Gerak Khas mulai tahun depan.

Selain drama berkenaan, Abby dan Zul juga berlakon drama bersiri, Kisah Yusof untuk slot Samarinda TV3 yang baru-baru ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka. Berdasarkan maklumat rakan artis itu, Zubir diberitahu, Zul sering dilihat memandu Honda Stream warna putih milik Abby ke lokasi drama ‘teman tapi mesranya’ itu, selain sanggup menunggu Abby selesai penggambaran termasuklah ketika di Melaka tempoh hari.

Lebih menggemparkan, tambah teman artis itu, seorang rakan artis yang sama-sama membintangi Kisah Yusof secara tidak sengaja terdengar Zul tersasul memanggil Abby dengan kata “sayang”. Bagi Zubir, kalau dah macam itu, Abby dan Zul bukan sekadar teman baik seperti yang sering didakwa mereka, sebaliknya pasangan kekasih, ooopsss!

“Aku dengar cerita, baru-baru ini ketika berbual dengan krew produksi, Abby meminta krew berkenaan tidak memanggil namanya sebagai Abby, tapi Gegel, kelas gitu, kan?,” cerita rakan artis itu lagi.

Zubir sebenarnya tumpang gembira mendengar perkhabaran terbaru ini. Baguslah selepas bergelar ibu tunggal, Abby tidak lagi kesunyian dan cepat pula dia dapat pengganti. Kalau benar Abby dan Zul sedang mula ‘di alam percintaan’, selepas selesai edah nanti, cepat-cepatlah kahwin untuk mengelak fitnah.

Norman pun khabarnya semakin hampir melamar Memey sebagai isterinya tak lama lagi. Cuma, satu yang Zubir harapkan daripada Abby mahupun Norman, jangan kahwin lari kwang, kwang, kwang!

Kecoh Isu Putus Cinta Darling, Adam



Darling dan Adam ketika saat bahagia.

KISAH putus cinta antara pelakon Nasreen Ngasri atau Darling dengan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh memang menarik perhatian Kak Pora. Bukan sebab Adam adalah teman lama Kak Pora ketika di Harian Metro dulu, sebaliknya apa yang nak disentuh mengenai senario yang berlaku pada perhubungan yang sudah berkecai. Darling pun sejak jadi artis pernah juga beberapa kali Kak Pora menemubualnya.

Memang Kak Pora tak tahu bila masanya Darling dan Adam bercinta, adalah terdengar ura-ura Adam dan Darling rapat, tetapi sejauh mana hubungan mereka, Kak Pora tak pasti. Kedua-duanya pandai menyimpan rahsia. Kak Pora pun sudah agak lama tak bertemu Adam walaupun sepejabat.

Waktu bercinta semuanya indah dan manis belaka, bila sudah berderai, Kak Pora perhatikan ada senario tidak sihat yang berlaku antara mereka. Kak Pora membaca luahan Adam dalam Harian Metro pada Rabu, 24 Disember lalu. Rasanya tak salah Adam buat kenyataan balas selepas dihentam dan dikutuk dalam laman portal serta khidmat pesanan ringkas (SMS). Paling pedih, apabila ada yang menganggap Adam tergila-gilakan Darling. Lagipun, kenyataan Darling mengenai cinta mereka yang terputus itu juga disiarkan dalam Harian Metro lebih seminggu lagu.

Siapa yang tergila-gilakan siapa? Masa bercinta memang masing-masing saling suka menyukai dan tergila-gilakan satu sama lain. Selama ini, Adam hanya mendiamkan diri walaupun jauh di sudut hatinya mungkin hanya Tuhan yang tahu apa yang tersurat dan tersirat. Sebagai manusia biasa, tahap kesabaran seseorang tentu ada hadnya, jika dituduh dan dihina macam-macam, panas hati juga dibuatnya.



Kak Pora pelik kenapa pihak keluarga dan saudara mara Darling yang lebih sudu daripada kuah hingga sanggup mengutuk dan menghina Adam macam-macam dalam SMS, tuan punya badan yang merana (Darling) pun masih berlapik bercakap dengan wartawan dalam kenyataan yang dikeluarkan. Kak Pora tak faham betul kenapa perlu mereka mengaitkan perkahwinan terdahulu Adam bersama Datin Ilyka Yassin yang tidak dikurniakan cahaya mata, semua itu adalah kuasa dan kehendak Tuhan.

Itu yang Kak Pora baca dalam Harian Metro dan internet. Mungkin ada lagi yang Adam rahsiakan, siapa tahu. Bagi Kak Pora, Darling dan Adam tersepit dengan permasalahan keluarga Darling dan situasi bertambah keruh apabila keluarga Darling dikatakan campur tangan dan buruk sangka pada Adam.

Kak Pora tak boleh terima langsung, takkan pasal Adam menasihatkan kakak ipar Darling, Shasha mengenai tindakan abang Darling, Bell yang melayangkan SMS cerai menjadi salah faham besar. Kalau tak dengar nasihat Adam, tentu sampai sekarang Shasha dan Bell masih tinggal sebumbung dan melakukan hubungan suami isteri, sedangkan tindakan Bell itu sudah jatuh talak ke atas isterinya. Sepatutnya keluarga Darling berterima kasih pada Adam.

Nasib baiklah Adam dan Darling tak berkahwin, kalau sudah berkahwin apa agaknya akan terjadi pada rumah tangga mereka apabila berhadapan keluarga yang suka masuk campur. Kak Pora tengok Darling juga semakin berubah selepas putus cinta, kerap pakai baju tak cukup kain.

Ramai yang geleng kepala melihat fesyen berkemban Darling ketika menghadiri majlis Anugerah Skrin bulan lalu. Sepatutnya selepas balik mengerjakan umrah, Darling tampil dengan imej sopan kerana penampilan mencerminkan keperibadian diri. Jangan sebab kekasih tak senang dengan gaya seksi, jadi nak ambil hati terpaksalah menurut, tapi bila putus cinta, terus dedah sana sini. Lakukanlah sesuatu dengan hati, bukan kerana terpaksa.

Apapun, Kak Pora berharap Adam banyak bersabar, begitu juga Darling, tabahkan hati. Dah putus cinta memang berasa perit tetapi lama-lama nanti sembuhlah. Kalau ada rezeki akan dapat cinta baru. Saudara mara dan keluarga Darling juga kalau boleh hentikanlah SMS memperli Adam sebab dunia hiburan kita tak besar mana, esok lusa akan bertembung juga. Jangan sampai ada yang tersipu malu sendiri.

Kak Pora cuma berikan pandangan saja. Maaflah kalau tulisan Kak Pora membuatkan Darling dan keluarganya marah. Kak Pora ikhlas tau. Selamat menyambut Maal Hijrah.

Selamat Pengantin Baru Lin





RAMAI betul artis dan personaliti yang mendirikan rumah tangga tahun ini. Mungkin masing-masing sudah terima jodoh.

Seorang daripadanya ialah personaliti yang juga pembaca berita Buletin Utama TV3, Nor Azlina Redzuan dengan Datuk Yusof Annuar Yaacob. Nor Azlina yang lebih mesra di kalangan rakan-rakan media dengan panggilan Lin bernikah semalam dan persandingan pula dibuat hari ini.

Terima kasih kepada Lin yang ditemani Azizah Ariffin datang sendiri ke pejabat Kak Pora, kira-kira seminggu lalu untuk menghulurkan kad jemputan majlis persandingannya. Ikutkan hati, memang hendak datang, tapi sudah terikat dengan janji kawan-kawan sepejabat untuk bercuti di Jakarta pula.

Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet pun sekarang sudah bergelar suami. Begitu juga pelakon siri sitkom Dunia Anita di TV3, Noor Zazleen Zulkifli yang dikatakan membuat sesuatu yang istimewa di Hutan Lipur Kuala Sedim, Kuala Kedah hari ini. Kak Pora harap semua yang mendirikan rumah tangga itu mengecapi kebahagiaan yang berkekalan sepanjang hayat. Tapi, ingat-ingat sikit, tak lama lagi Ramadan menjelang. Jangan romantis sangat pada siang hari, takut nanti terlajak pula.

2008 Jadi Musim Artis Bercerai Berai


MINGGU ini adalah minggu yang cukup mengejutkan Kak Pora apabila bukan satu tetapi dua pasangan membabitkan selebriti popular melalui episod rumah tangga yang traumatik sehingga menggegarkan industri seni tanah air. Ramai peminat tersentak dan ada yang berasa tidak menyangka. Ramai juga yang geleng kepala.

Apa lagi yang dapat Kak Pora katakan, agama tidak mungkin akan menghalalkan perceraian jika tidak kerana keperluan umatnya. Yang pasti kahwin cerai bukan perkara main-main. Kalau tidak takkan pengarah filem popular, Aziz M Osman sampai jadi fobia hendak berkahwin apabila berasa dirinya tertipu selepas isterinya, Nor Radhiah dikatakan masih dalam edah ketika beliau mengahwini wanita itu pada Ogos lalu.

Belum reda trauma Kak Pora habis dengan kes Aziz, meletup pula kes tangkap khalwat aktor Norman Hakim dengan pelakon Suhaiza Suhaimi atau Memey. Tidak mengapa Abby, Kak Pora faham perasaan dan luka seorang isteri diperlakukan begini. Kak Pora sendiri pernah melalui episod hitam itu. Percayalah ia amat menyakitkan. Biarpun bergelar janda macam Kak Pora tetapi kita akan dapat semula kekuatan selagi kita berserah pada Allah.

Cerita cerai artis pada tahun ini memang mengundang perhatian mesyuarat malah bukan saja peminat mereka tetapi orang politik, mak cik jual nasi lemak hingga kepada ahli korporat juga masih ada masa untuk bercakap soal kes cerai artis.

Bagi Kak Pora tahun ini macam jadi musim artis bercerai berai pula. Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini banyak pula kisah cerai artis menjadi bahan media massa dan menjadi bualan masyarakat. Kalau lihat semula sejak Januari lalu hingga bulan ini, ada lebih 10 kes cerai artis. Mana tidaknya, entah bila nikah tiba-tiba buat pengumuman sudah diceraikan talak satu. Demikian babak perceraian penyanyi bersuara lantang, Azharina, 23, dengan bekas suaminya Datuk Sukri, 50, pada Februari lalu.

Peminat dunia hiburan terus dikejutkan dengan beberapa siri kisah perceraian yang cukup menyedihkan. Kisah perpisahan secara damai antara Farah Asyikin dan suaminya juga tidak ketinggalan menjadi berita hangat kerana mereka cuma setahun saja bergelar suami isteri. Versi yang tidak berapa damai antara Beego dan isterinya, Intan Shahira serta pergolakan rumah tangga Datin Norish Karman dan Datuk Hashimuddin juga menjadi cerita panas pada tahun ini.

Berita penyanyi era 1980-an, Siti Fairuz yang menuntut cerai taklik pada Julai lalu juga mengejutkan peminatnya. Penyanyi, Anis Suraya pula dilaporkan bercerai secara sah pada Oktober lalu.

Turut mendapat perhatian, perceraian pelakon cantik Nora Danish dengan suaminya, Rizal Ashram Tan Sri Ramli, di mana talak dilepaskan ketika Nora sedang hamil anak hasil perkongsian hidup mereka yang singkat. Kak Pora faham soal perkahwinan dan perceraian manusia hanya boleh rancang tetapi takdir menentukan tetapi ingatlah apabila berlaku perceraian tentunya ada sebab musabab yang berpunca daripada diri kita sendiri.

Pendek kata, sebelum 2008 berakhir, bersedia saja kerana ada beberapa lagi kes perceraian yang belum selesai dibicarakan iaitu antaranya Beego dan Intan Shahira serta pelakon, Emma Akma Yunus. Khabarnya, penyanyi Atilia juga sedang menghadapi masalah rumah tangga.

Julia & Yusry Kami Sama-Sama Ego


Julia sedia terima Yusry, namun aktor kacak itu hanya membisu.

'Kami cuma kawan rapat'



SELEPAS mencapai kutipan memberangsangkan RM6.7 juta menerusi Cicakman pada 2006, KRU Studios pastinya mensasarkan jumlah yang lebih tinggi menerusi sekuel Cicakman2: Planet Hitam yang bakal 'merayap' di pawagam mulai 11 Disember ini. Sebagai pengarah, Yusry sekali lagi pasti menampilkan hasil kerja yang lebih hebat.

Namun, apabila berbicara mengenai 'pemuda terhangat' di pasaran ini, peminat tidak mampu melupakan peristiwa pahit yang pernah melanda hidupnya apabila secara sah bercerai dengan aktres terkenal, Erra Fazira pada 10 Julai 2006. Bekas isterinya itu sudah pun menemui kebahagiaan bersama Engku Emran. Tapi, hingga hari ini Yusry masih sendiri belum menemui calon isteri yang sesuai.

Ego di hati Julia dan Yusry belum terlerai.

Antara faktor yang melengahkan pencarian teman hidup itu apabila dia dikatakan seorang yang workaholic, sekali gus gagal mempertahankan hubungannya dengan beberapa wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

"Kerja saya bermusim, kalau tengah sibuk, memang sibuk. Tapi, kalau tak ada kerja, pasti ada masa. Sebab itu kalau nak kata saya seorang workaholic, saya tak berapa setuju. Bukan saya tidak ada niat untuk berumah tangga sekali lagi, tapi saya tak mahu beriya-iya, kalau ada jodoh, tiba waktu yang sesuai, pasti saya akan bertemu calon isteri yang benar-benar memahami diri saya seadanya, insya-Allah," kata Yusry penuh keyakinan.

Pun begitu, Yusry tidak menolak ketika diajukan soalan yang agak panas berhubung kemelut yang pernah melanda rumah tangganya sebelum ini. Gara-gara perceraiannya dengan Erra, Yusry dikatakan bersikap dingin dengan seorang selebriti popular. Sejauh mana kesahihan khabar angin itu?

"Apabila berlakunya sesuatu yang serius, lazimnya ia membabitkan lebih daripada satu sebab. Dalam hal saya dan Erra, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Tapi, apabila menjawab soalan itu, terus terang saya katakan, antara saya dan selebriti popular itu, kami sememangnya sudah terputus hubungan, kalau jumpa tak bertegur sapa. Saya tak mahu hipokrit mengatakan kami masih berkawan," katanya tanpa berselindung.

Kini, bagaimana kesudahan perhubungannya dengan Julia apabila desas-desus mengatakan mereka berkawan rapat, tapi apa statusnya hari ini hanya empunya diri ada jawapan. Melihat kepada kemesraan yang terjalin ketika menjayakan sesi fotografi, tidak dinafikan antara Yusry dan Julia, dari pandangan mata kasar seperti ada sesuatu yang belum mampu dizahirkan kedua-duanya.

"Julia kawan baik saya, antara saya dan dia, kami sentiasa bersikap terbuka, tak pernah nak 'control'. Dalam perhubungan, jangan ada sikap hipokrit. Kami selesa bersama. Tapi, untuk menjalin hubungan lebih serius, saya belum sedia. Tengok sajalah kerja-kerja saya. Saya takut tak boleh fokus pada perhubungan itu, nanti elok-elok jadi kawan, apabila saya tak mampu beri masa, nanti jadi musuh," jelasnya lagi.

Sekali lagi Yusry dijolok dengan soalan sensitif, namun dia sedia memberikan kerjasama asal saja tidak keterlaluan. Dalam sibuk Yusry mengukuhkan namanya dalam empayar perfileman global, dia tidak terlepas dengan gosip liar apabila dikatakan menjalin hubungan 'terlarang' dengan artis di bawah naungan KRU Music Group (KMG), sekali gus menguatkan dakwaan dia tidak berminat dengan wanita.

Tidakkah kelelakiannya tercabar apabila dia dituduh gay?

Terguris hati dituduh gay

"Memang saya rasa terguris dan tercabar! Masyarakat di luar sana, apabila membaca dakwaan itu, mereka yang tak kenal saya, akan mempercayainya. Kawan-kawan tahu, saya 'straight'! Lurus macam pembaris! Naluri saya 100 peratus terhadap wanita, tidak ada sekelumit pada lelaki! Tengok gaya pun tahulah, lelaki tetap lelaki.

"Orang nak mereka cerita sensasi di internet, tapi wartawan tidak begitu. Sekalipun saya rasa tercabar, tapi saya masih mampu mengawal diri kerana ada orang lain, kena fitnah lebih teruk! Sekali lagi saya nak tegaskan di sini, saya lurus selurus-lurusnya! Namun, saya tidak bermaksud menghina lelaki gay, cuma saya bukan salah seorang daripada mereka. Everyone got gay�s friend!," tegasnya.

Sementara itu, Julia mempunyai perspektif berbeza terhadap Yusry.

"Saya memang menyukai Yusry, dia memiliki ciri-ciri lelaki yang saya minat, boleh memberi kebahagiaan dalam hidup. Tapi, untuk berkawan lebih serius, saya takut. Saya tak pasti adakah ini masa yang sesuai. Nak lafaz kata sayang atau cinta tu memang susah sebab kami jarang bertemu. Tapi, takkanlah perigi cari timba, Yusry sendiri tak pernah cakap apa-apa dengan saya, cuma selama ini kami selesa berkawan baik, itu saya tak nafikan.

Julia akui dirinya ego

"Yusry tak pernah cakap nak serius dengan saya, mungkin dia ego. Tapi, saya sendiri pun sama, sebenarnya kami sama-sama ego! Mungkin belum tiba masa yang sesuai, tak perlu terburu-buru. Orang kata, easy come easy go, jadi lebih baik beri kami masa. Buat masa ini, kami sekadar berkawan rapat, tapi kalau jumpa memang satu kepala," jelas Julia merungkai sedikit persoalan.

Andai ditakdirkan suatu hari tiba-tiba Yusry melafazkan kata-kata ini: "Julia, I love you! Ada jodoh kita kahwin." Apa reaksi Julia?

"Pastinya apabila Yusry cakap macam tu, sememangnya kami sudah benar-benar bersedia untuk komitmen. Saya pasti akan membalas, Yusry, I love you too, I'm starting to love you. Aduh malunya! Beginilah, Yusry adalah pantulan diri saya, dia umpama bayang-bayang. Kami sama-sama workaholic, tak hipokrit dan boleh berkongsi banyak perkara. Tapi, masalahnya sekarang, Yusry tak pernah cakap apa-apapun!," kata Julia akhirnya berterus-terang sekalipun masih samar-samar.

Dakwaan Yusry seorang playboy, bagaimana penerimaan Julia?

"Macam-macam orang cakap pasal Yusry, tapi saya yakin dia tidak begitu. Samalah halnya apabila orang bercakap mengenai diri saya. Masing-masing pernah melakukan kesilapan, jadi baik saya atau Yusry, terimalah diri ini seadanya," kata Julia yang memegang watak cikgu tadika menjayakan satu babak dalam Cicakman2: Planet Hitam.

INFO: Julia

  • NAMA PENUH: Julia Bob Fauzi Ziegler
  • UMUR: 24 tahun
  • FILEM: Kayangan, Cuci, Cicakman 2: Planet Hitam, Jangan Tegur dan Bego (usaha sama Malaysia-Indonesia)
  • DRAMA: Kasih Iftitah, Ampang Medikal, Qasidah Buat Laila, Nun Di Sana Cintaku dan Bicara Aur Dengan Tebing 2


INFO: Yusry
  • NAMA PENUH: Yusry Abdul Halim
  • UMUR: 35 tahun
  • FILEM (CGI): Cicakman 2: Planet Hitam, Deadline (usaha sama Malaysia-Amerika Syarikat), Jin Notti, My Spy dan Magika
  • DRAMA (CGI): Bionik


INFO: Cicakman2-Planet Hitam
  • TARIKH TAYANGAN: 11 Disember 2008
  • BAJET: RM2.5 juta
  • SASARAN PENONTON: 1 juta
  • JUMLAH SKRIN: 70
  • NEGARA LAIN YANG TURUT TAYANG: Brunei, Singapura dan Indonesia
  • PELAKON: Saiful Apek sebagai Cicakman/Hairi, Aznil Nawawi (Profesor Klon) AC Mizal (Ginger Ghost 1), Adlin Aman Ramli (Ginger Ghost 2), Sharifah Amani (Iman) dan Louisa Chong (Miss Cheef)
  • PENAMPILAN KHAS: Tamara Blaszenky (Rrama), Julia Ziegler, Linda Onn, Datuk Jalaluddin Hassan, Julie Dahlan dan Harry Boy
  • LAGU RUNUT BUNYI: Planet Hitam (Tyco), Dibius Cinta (duet Melly Goeslow dan Yusry KRU) dan Mau Yang Besar (Pianka)
  • ARAHAN: Yusry
  • TERBITAN: KRU Studios dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn Bhd
  • PENCAPAIAN: Menyertai tayangan perdana dunia kategori Superhero di Asia pada Festival Filem Antarabangsa Pusan, Korea Selatan
  • PENAJA: Celcom, 1901 Hotdog, Nationwide Express dan Naza Bike

Fazura: 'Masyarakat Sudah Maafkan Saya'


Nur Fazura

Aktres popular nafi bercinta dengan tentera, sebaliknya pernah intim dengan kerabat Pahang

KALI terakhir Pelakon Nur Fazura Sharifudin atau Fazura dipilih sebagai gadis muka depan Bintang Popular pada 4 Disember 2005. Kini, selepas dua setengah tahun, barulah dia berpeluang muncul sebagai penghias muka depan sisipan ini yang juga lebih dikenali sebagai B*Pop, sesuai dengan wajah baru.

Orangnya masih sama - cantik, mudah mesra, gemar bergurau dan tidak pernah menongkat dagu sekalipun namanya terus meniti di bibir peminat, lebih-lebih lagi drama bersiri lakonannya, Ezora kini menjadi bualan hangat.

Pun begitu, sepanjang lima tahun bergelar anak seni, kontroversi paling hebat pernah melanda hidupnya apabila dia terbabit dengan pergaduhan di sebuah kelab sehingga mengheret dirinya ke mahkamah. Fazura terpukul hebat dengan kontroversi itu apabila dia hilang kerjaya seninya. Hidupnya dalam kegelapan, ke mana saja dia pergi, orang asyik bercakap isu yang sama sehingga kadang kala dia rimas dan lebih gemar bersendiri.



Mendung berlalu, mentari kembali menyinar. Kehidupan Fazura menjelang 2008 mula menemui sedikit sinar di akhir terowong.

"Tahun ini peluang berlakon filem dan drama mencurah-curah. Mungkin masyarakat sudah memaafkan saya. Saya dapat rasakan, sekarang ke mana saja saya pergi, orang memberi kasih sayang. Saya bersyukur, petunjuk yang diberikan Allah. Saya dapat kembali diri yang dulu. Saya belajar daripada pengalaman hitam yang lalu untuk menjadi manusia lebih baik," kata Fazura sambil memberikan pelbagai pose istimewa dengan baju pengantinnya.

Pengalaman berdepan manusia hipokrit, bagaimana?

"Saya benci hipokrit! Musuh ketat saya manusia hipokrit. Kebanyakan rakan hilang dalam hidup saya terdiri di kalangan artis hipokrit. Namun, saya tak pernah rasa rugi, malah bersyukur di atas petunjuk yang diberikan-Nya," katanya tegas.

Fazura mempunyai episod percintaan yang menarik. Dia dikatakan pernah bercinta dengan juara pertama Asian Idol dari Singapura, Hady Mirza, apa komennya?

Akui pernah bercinta dengan Hady


"Terus-terang, saya pernah bercinta dengan Hady, namun kira-kira tujuh bulan saja. Dia cinta pandang pertama saya. Tapi, tak ada jodoh," akuinya jujur.

Sekadar mengusik dengan pertanyaan nakal, di mana kebenarannya apabila terdengar desas-desus, selepas putus cinta dengan Hady, Fazura pernah menjalin hubungan dengan seorang anggota tentera, justeru sejauh mana kesahihan khabar angin itu?

"Gosip itu sama sekali tidak benar! Sekalipun saya pernah melalui kegagalan dalam episod percintaan, namun saya tidak pernah kenal mahupun bercinta dengan mana-mana lelaki yang bertugas sebagai anggota tentera! Ternyata, ia sekadar khabar angin," jelas Fazura merungkai persoalan.

Terkini, heboh orang bercakap Fazura sudah pun menemui cinta baru. Pemuda bertuah yang dikatakan berjaya bertakhta di hati Fazura bukan insan biasa, sebaliknya kerabat raja Pahang. Menerusi ruangan Zubir Intip (Bintang Popular) terbitan 20 Januari 2008, Fazura pernah mengaku berkawan dengan Tengku Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Burn atau Tengku B, 23. Difahamkan, Tengku B masih menuntut di Melbourne, Australia.

Kenali Tengku B dua tahun lalu

Kini, sejauh mana perhubungan Fazura dengan Tengku B, adakah benar anda pasangan kekasih?

"Saya tak akan tipu peminat dan media. Namun, biarlah cerita peribadi seumpama itu hanya diketahui diri sendiri. Apa yang mampu saya katakan, antara saya dan Tengku B sudah saling mengenali selama dua tahun. Bagaimanapun, saya tetap berdoa untuk bertemu jodoh yang terbaik. Bagi saya, kalau sudah bercinta, hanya setia pada satu. Saya tak suka ganggu perhubungan cinta orang lain.

"Seperkara lagi, saya ini bukannya jenis perempuan yang gemar mengkhianati cinta. Jika niat kita tidak betul terhadap pasangan yang kita cintai, saya percaya kepada hukum karma!," kata Fazura berterus-terang.

Apa komen Fazura, sebelum bertemu Tengku B, anda dikatakan pernah bercinta dengan kerabat dari selatan tanah air? Namun, khabarnya percintaan itu tidak kesampaian apabila kerabat berkenaan, kini dilaporkan menjalin hubungan cinta dengan seorang selebriti terkenal. Difahamkan lagi, Fazura yang bertanggung jawab memperkenalkan kerabat berkenaan dengan selebriti itu. Apa kisah sebenarnya?

"Terus-terang saya katakan, saya dan kerabat itu tidak pernah bercinta, kami sekadar kenalan biasa. Benar, saya mengaku memperkenalkan kerabat itu kepada selebriti berkenaan selepas selebriti itu memberitahu dirinya tidak terikat dengan sesiapa, she�s lonely. Niat saya baik dan saya gembira apabila mendapat tahu mereka kini bahagia. Kerabat itu juga belum berpunya, tambahan pula dia seseorang yang disegani rakyat," akuinya lagi.

PROFIL: Nur Fazura

NAMA PENUH: Nur Fazura Sharifuddin

TARIKH LAHIR: 27 September 1983

ASAL: Pekan, Pahang

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Dato� Mahmud Mat, Pekan dan Kolej Stamford, Kuala Lumpur

IKLAN: Pantene dan Kalsio Sweets

PROGRAM TV: Teensworld (RTM2), MTV Jus dan MTV Pop Inc

FILEM: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta! (belum tayang), Kantoi (belum tayang) dan Pisau Cukur (mula penggambaran 15 Julai)

DRAMA: Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Mentua dan Ezora (masih disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang)

PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17)

DUTA: Olay.

Atilia Akui Rumah Tangga Dilanda Badai




LAUTAN mana tidak dilanda gelombang, bumi mana tidak ditimpa hujan dan rumah tangga mana yang tidak menghadapi masalah.

Di sebalik senda gurau dan wajah yang sentiasa ceria, siapa sangka penyanyi dan pelakon terkenal, Atilia atau nama sebenarnya, Raja Putri Atilia Raja Haron sedang berhadapan krisis rumah tangga yang tidak mampu disembunyikan lagi.

Beliau terpaksa akur mahligai bahagia yang dibina atas dasar cinta dengan ahli perniagaan, Ariff Johan Abdul Jalil sejak 10 tahun lalu kini dilanda badai.

Terdengar desas-desus pasangan muda ini sudah berpisah, dan ada pula yang mengatakan mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu selepas berakhirnya program realiti TV popular, Sehati Berdansa sebelum ini.

Ketika bersama suami dalam Program Sehati Berdansa di Astro Ria.

Keretakan rumah tangga mereka dikatakan berpunca dari kehadiran `orang ketiga'.

Benarkah mahligai rumah tangga anak perempuan Salamiah Hassan itu kini goyah hingga boleh diumpamakan bagai telur di hujung tanduk?

Begitu perlahan menyusun kata, Atilia menafikan dakwaan beliau sudah bercerai, namun mengakui rumah tangganya sedang dilanda krisis.

"Khabar angin menyatakan kami sudah bercerai tidak tepat... saya masih lagi isteri Ariff hingga ke hari ini.

Namun, apa yang boleh saya katakan, kami sedang menghadapi masalah dan sedang berusaha menyelamatkan rumah tangga kami," katanya.

Beliau turut menyatakan sudah bosan menepis pertanyaan berhubung gosip rumah tangganya, namun tidak berniat mahu menyembunyikan apa yang berlaku atau cuma berdolak dalik, cuma banyak hati yang perlu dijaga.


"Saya tidak mahu mama tahu... saya bimbang kalau dia terkejut besar nanti. Dia langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kami masih lagi tinggal sebumbung, walaupun hubungan tidak semesra dulu. Saya dan Ariff percaya perceraian bukanlah jalan penyelesaiannya.

"Justeru, kami masih memberi peluang antara satu sama lain. Cuma janganlah memperbesarkan isu rumah tangga saya, jodoh kami masih kuat. Saya juga tidak mahu tumpuan lebih diberikan kepada soal peribadi berbanding kerjaya nyanyian dan lakonan saya yang baru bersinar," katanya.

Akuinya, mahligai yang dibina bergolak bukanlah berpunca daripada kehadiran orang ketiga seperti yang didakwa. Cuma apabila kepercayaan semakin tipis, cahaya rumah tangga turut pudar.

"Tidak perlulah saya dedahkan apa yang berlaku, biarlah menjadi rahsia saya, cuma apa yang dapat saya katakan, apabila kepercayaan sudah tiada, hati juga jadi semakin pudar. Ariff berusaha memujuk saya dan rasanya tidak salah saya memberikannya peluang sekali lagi.

"Jika tidak mampu diselamatkan, saya dan Ariff mungkin akan bertemu kaunselor untuk menyelesaikan konflik dalaman yang berlaku dengan baik," katanya yang baru dilantik sebagai Duta Lancome Malaysia.

Beraksi di layar perak

DULU Atilia sanggup berhenti kerja demi pementasan P Ramlee The Musical, selain menumpukan perhatian pada album pertamanya, Sangkar yang ketika itu baru menjengah pasaran.

Ternyata, pengorbanannya tidak sia-sia dengan apa yang dikecapi hari ini. Bukan saja semakin dikenali sebagai pelakon malah dapat memenuhi impiannya bergelar penyanyi.

Kira-kira 12 tahun lalu, Atilia pernah muncul dalam album kompilasi Roslan Aziz Productions (RAP) menerusi lagu Pelangi Mimpi. Itulah titik awal pembabitan wanita berusia 34 tahun itu dalam bidang nyanyian, selain pernah berduet dengan ibunya sewaktu masih bersekolah.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila syarikat rakaman RAP milik Roslan Aziz dan bekas isterinya, Sheila Majid berdepan dengan konflik. Album Atilia terbengkalai hingga memaksanya melupakan dunia nyanyian sehinggalah tahun lalu, Roslan mengotakan janji menyiapkan rakaman album Sangkar.

"Banyak dugaan yang dilalui di awal pembabitan saya dalam dunia nyanyian.

Saya tak menyangka selepas 10 tahun berlalu, akhirnya impian saya merakamkan album dan bergelar penyanyi jadi kenyataan. Saya berterima kasih pada Roslan kerana mengotakan janjinya dan menghadiahkan album Sangkar.

"Pada masa yang sama, saya juga terhutang budi pada pementasan P Ramlee The Musical. Dari situ, orang luar menyedari bakat saya dalam bidang lakonan. Berkat keras keras saya, saya ditawarkan berlakon filem Rantan arahan Raja Mukriz yang menjalani penggambaran Oktober ini di Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya juga terpaksa menolak tawaran sebuah produksi Indonesia menawarkan saya watak utama. Saya tak yakin mampu berkomunikasi dalam bahasa Indonesia biarpun sejak dulu, Indonesia menjadi rumah kedua saya. Saya juga tidak mahu mencetuskan kontroversi kerana melakonkan watak seorang gadis pengendali talian seks," katanya yang turut menerima tawaran Adlin Aman Ramlie untuk telemovie Sumpah Orang Minyak arahan Afdlin Shauki.

Diana, Julia & Juliana Bukan Jual Wajah


DARI (kiri): Juliana, Julia dan Diana.

Tiga wajah Pan-Asian - Diana, Julia dan Juliana diramal gegar industri perfileman negara, selain sedia berkongsi cerita peribadi



Diana Danielle akui malu apabila dikatakan bakal pengganti Sofea Jane

KEMUNCULAN tiga bakat muda berwajah Pan-Asian - Diana Danielle, Julia Ziegler dan Juliana Evans mengingatkan kita kepada kehebatan serta pengaruh Sofea Jane, Deanna Yusoff dan Julia Rais dalam industri filem Malaysia sekitar era 80-an dan 90-an.



Memiliki wajah secantik Diana Danielle yang dikaitkan dengan Sofia Jane, Julia Ziegler bagaikan jelmaan semula Deanna Yusoff dan Juliana Evans pula sebagai pengganti Julia Rais, ia sekadar bonus kerana lebih penting bagi mereka adalah bakat lakonan serta keikhlasan hati, maknanya berusaha menjauhkan diri daripada sikap hipokrit dan sentiasa menjadi diri sendiri.

Realitinya, mereka tidak bersandar pada muka semata-mata kerana lebih ramai lagi insan lain yang juga kelihatan anggun, muda dan cantik tetapi tidak berpeluang menceburi kerjaya seni kerana tidak ada bakat dan kesungguhan.

Pastinya yang menjadi bualan hangat ketika ini ialah Diana selepas bakatnya dihidu penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam. Pun begitu, populariti Diana seiring gosip kisah cintanya dengan anak teruna Yusof, Syamsul.

Selepas bergandingan menerusi filem Evolusi KL Drift dan Bohsia, mereka sekali lagi dipertemukan dalam drama bersiri Farah Syakirah sebagai pasangan tunang.

"Tidak dinafikan, hubungan Diana dan Shamsul semakin hari, kami terus rapat. Tapi, nak kata sampai ke tahap bercinta tu, berilah kami sedikit masa lagi untuk membuat pengakuan yang lebih serius. Buat masa ini, tumpuan Diana 100 peratus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya tinggal kira-kira dua bulan lagi," katanya manja.

Pada masa sama, terdengar desas-desus, hubungan Diana dengan seorang aktres jelita agak dingin apabila aktres berkenaan dikatakan cuba menggoda kekasih Diana ketika mereka sama-sama berlakon filem Evolusi KL Drift, sedikit masa lalu. Apa komen Diana dalam hal ini?

"Diana tak mahu mengimbas kisah lama, selain tak mahu bermasalah dengan sesiapa dalam industri ini. Bagi Diana, apa yang sudah berlaku, biarlah berlalu dan kita ambil sebagai pengajaran. Diana serahkan pada peminat mahupun masyarakat menilai sejauh mana kesahihan cerita berkenaan," katanya berterus-terang.

Diana Danielle jelmaan Sofia Jane?

"Diana malu apabila orang cakap begitu. Namun, sebagai pendatang baru, Diana amat mengagumi lakonan Sofia terutama filem lakonannya, Cinta Kita. Apabila Sofia mampu bertahan hingga hari ini, mudah-mudahan karier Diana juga akan jadi seperti dirinya, sekalipun sudah berkeluarga, dia terus diminati," katanya lagi.

Julia tak berkasih dengan Pierre

Seperti Diana, Julia Ziegler juga sering dikaitkan dengan pasangannya di dalam filem, Pierre Andre biarpun dirinya sebelum ini pernah dikaitkan dengan Yusry KRU dan Bard R1.

"Julia akui semakin rapat dengan Pierre kerana hampir setiap hari kami bertemu, dah kenal hati budi masing-masing. Sayang pada Pierre, yes, Julia care about him, apa dia buat, dia selamat ke, tapi care dan sayang Julia pada Pierre tak lebih daripada seorang kawan baik. Cinta, terus-terang Julia belum sedia, tapi nak kata kami menjalin hubungan 'teman tapi mesra', Julia tak setuju dengan istilah itu.

"Bagi Julia, sekiranya berkawan atau bercinta, Julia tak suka hipokrit. Pintu hati Julia masih tertutup dan menunggu siapa sang pria yang lebih dulu membawa 'kuncinya'. Perasaan cemburu pun tak ada pada Pierre, sebab itu Julia katakan kami tak bercinta," katanya tanpa berselindung.

Apa komen Julia, kalau seseorang itu baru saja mengenali seseorang, terus melafazkan kata cinta?

"Baru berkawan, kemudian terus bercinta, hubungan itu tidak ikhlas, plastik. Bukan cinta sejati, sebaliknya lebih mempermainkan perasaan orang, tak baik begitu," kata Julia yang masih berada di Jakarta, Indonesia bersama Pierre sehingga 1 Ogos ini untuk menjayakan penggambaran filem Teman Selamanya terbitan 999 Pictures dan Astro Shaw.

Juliana akui sedang dilamun cinta

Sementara itu, Juliana selepas putus cinta dengan Adam Akademi Fantasia 2 (AF2), kini sudah pun mendapat pengganti, seorang pemuda biasa, bukan di kalangan artis, berusia awal 20-an dan mengusahakan perniagaan sendiri.

"Ya, kami bercinta, buat apa sorok-sorok? Juliana tak suka hipokrit dalam perhubungan. Seandainya tiada jodoh, kami break-up, itu sesuatu yang lazim. Kahwin pasangannya cerai, bercinta pasangannya putus kasih," katanya yang pernah mengacarakan rancangan E-Zone, Remaja dan Aksi Gerek (siaran TV Singapura, Suria TV).

Golongan aktres popular, terkenal, dikatakan gemar mencari pasangan di kalangan VVIP dan bangsawan, bagaimana dengan Juliana?

"Terpulang kepada diri masing-masing kerana bagi Juliana, cinta itu buta dan tak kenal darjat. Yang penting, kita jangan bercinta dengan suami orang sehingga berlakunya perceraian," katanya yang persis gaya dan secantik Julia Rais.

INFO: Diana Danielle

  • 1. NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson
  • 2. TARIKH LAHIR: 22 November 1991
  • 3. ASAL: Dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berumur dua tahun
  • 4. DARAH CAMPURAN: Amerika (ayah) dan Melayu (ibu)
  • 5. KELUARGA: Anak tunggal
  • 6. PENDIDIKAN: Masih menuntut di tingkatan lima, Sekolah Sri Inai, Kuala Lumpur
  • 7. IKLAN: lampin Merries (ketika berusia sembilan bulan), Milo, Telekon Malaysia (TM), Hazeline Snow dan Fair & Lovely
  • 8. DRAMA: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah (setiap Ahad, jam 9 malam di RTM2)
  • 9. FILEM: Idola (ketika berusia sembilan tahun), Evolusi KL Drift, Malaikat Maut (belum tayang), Bohsia (belum tayang) dan Setem (belum tayang)


INFO: Julia Ziegler

  • 1. NAMA PENUH: Julia Bob Fauzi Ziegler
  • 2. TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
  • 3. ASAL: Ampang, Selangor
  • 4. DARAH CAMPURAN: Bapa (Jerman-Amerika), ibu (Melayu-Jawa)
  • 5. KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
  • 6. PENDIDIKAN: Pengajian Asas Arkitek dari Savannah College of Art & Design, Georgia, Amerika Syarikat
  • 7. SYARIKAT MILIKNYA: Suria Design Sdn Bhd
  • 8. KOMERSIAL: Nokia, Celcom, Olay, Pantene dan Penerbangan Malaysia (MAS)
  • 9. FILEM: Kayangan, Cuci, Cicak-Man 2 (belum tayang), Jangan Tegur (belum tayang) dan masih menjalani penggambaran filem usaha sama Malaysia-Indonesia, Teman Selamanya


INFO: Juliana Evans

  • 1. NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans
  • 2. TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
  • 3. ASAL: Petaling Jaya, Selangor
  • 4. DARAH CAMPURAN: British (bapa) dan Melayu (ibu)
  • 5. KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
  • 6. PENDIDIKAN: Masih mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dari Help University, Pusat Bandar Damansara
  • 7. KOMERSIL: Canon (ketika berusia lapan bulan), Kentucky Fried Chicken (KFC), Fruitella, Nokia, Johnson&Johnson, Play Dough, Dutch Lady dan Clean & Clear
  • 8. DRAMA: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)
  • 9. FILEM: Kami The Movies dan Hooperz

'Kami Belum Berpunya'





MEREKA sama-sama pernah melalui kemelut dalam percintaan namun tiada perkataan 'serik' di hati Farid Kamil mahupun Lisa Surihani untuk bercinta lagi.

Lisa, 22, bekas graduan undang-undang, Universiti Aberystwyth, Wales baru saja putus cinta dengan seorang anak menteri kabinet sekembali pulang ke tanah air bulan lalu, manakala Farid, 27, pula masih belum bertemu si dia yang serasi selepas putus cinta dengan pelakon Irma Hasmie suatu ketika dulu.

Farid dan Lisa digandingkan bersama dalam filem I'm Not Single arahan Pierre Andre yang diterbitkan Metrowealth Movies Production (MMP). Filem bergenre komedi romantik itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 24 Julai ini. Selain Farid dan Lisa, filem berkenaan turut dibintangi Awal Ashaari, Intan Ladyana, Ahmad Idham, David Teo, Ruminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan dan Cat Farish

Dengan nada perlahan, Farid akui: "Ramai yang tak percaya bila saya kata, hati saya belum berpunya. Berkawan memanglah ramai tetapi untuk mencari kekasih yang serasi, biarlah takdir dan masa yang menentukan. Lagipun kini saya sedang sibuk dengan penggambaran filem demi filem, hingga terlupa soal peribadi.



"Bukan saya serik tetapi kalau mencari memang sukar mahu bertemu. Saya percaya kalau ada jodoh tentu tidak akan ke mana-mana, jadi tak perlulah fikirkan sangat soal jodoh. Lagipun saya mahu membina kerjaya terlebih dulu, impian saya nak mengejar kerusi pengarah suatu ketika nanti."

Lisa pula mahu bercinta dengan bidang lakonan yang diterokai. Bohonglah kalau dirinya tidak kecewa dengan perpisahan lalu, tetapi sesiapa pun pernah melalui perkara yang sama dalam hidup. Putus cinta memang menyakitkan tetapi hakikatnya, jodoh, ajal dan maut Tuhan yang menentukan.

Lisa berlakon sejak 11 tahun

Bukan mudah gadis yang diperkenalkan ke layar perak menerusi filem Goodbye Boys itu berkongsi rahsia peribadinya. Lisa lebih senang bercerita soal kerjaya lakonannya yang baru bermula biarpun dirinya sudah terdedah dengan dunia seni sejak berusia 11 tahun. Wajah comel Lisa kerap menghiasi beberapa iklan komersial TV seperti produk makanan Cadbury, Ayamas dan Double Decker.

"Sudah tiada jodoh, apa yang dapat diperkatakan lagi. Biarlah soal kerjaya lakonan saya menjadi buah mulut, bukan soal peribadi saya. Lagi pun saya tidak bersedia berkongsi soal peribadi dengan umum, cukuplah setakat orang tahu, saya sudah kembali solo.

"Perkara lalu biarlah berlalu, saya tak pernah meletakkan perkataan serik mahu bercinta lagi. Lagi pun saya masih muda lagi, usia baru mencecah 22 tahun, tentunya perjalanan hidup saya masih panjang. Jika ada yang sesuai, saya lebih suka berkawan dan mengenali hati budi dulu daripada terus menerima lamaran," katanya yang ketika dihubungi dalam perjalanan ke Wales bersama ibu bapa dan saudaranya untuk menghadiri majlis konvokesyennya.

Mereka masih malu-malu apabila diminta berposing romantis. Jelas Farid mahupun Lisa seperti kekok walaupun setahun dulu ketika penggambarannya, mereka digandingkan sebagai suami isteri dalam filem I'm Not Single. Promosi filem I'm Not Single menemukan semula Farid dan Lisa sekembalinya model iklan Johnson Pure Essentials itu ke tanah air.

Farid akui mudah serasi

Dengan nada bersahaja, Farid akui: "Segan nak berposing lebih-lebih, sudah lama tak berjumpa. Bagaimanapun, bila sudah kerap bertemu barulah hilang perasaan malu. Saya melihat Lisa seorang pelakon yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang lakonan.

"Dulu, ketika pertama kali dipertemukan, kami memang tidak mengenali antara satu sama lain, saya hanya pernah tengok Lisa di iklan televisyen tetapi kami bekerja secara profesional. Walaupun wataknya sebagai Maya, isteri saya dalam filem itu tetapi Lisa mampu melakonkan wataknya dengan baik.

"Tak susah nak cari keserasian dengan Lisa walaupun kami tak pernah rapat sebelum ini. Lisa mudah dibentuk dan boleh menerima pandangan. Tentulah susah bagi kami melakonkan watak suami isteri sedangkan kami tidak mampu memahami karakter masing-masing."

Akui Lisa, dia banyak berbincang dengan Farid untuk memastikan lakonan mereka sebagai suami isteri menjadi ketika di lokasi penggambaran. Dan Pierre pula memberi kebebasan kepada mereka untuk membentuk lakonan.

"Saya bersyukur mendapat reaksi yang baik dalam percubaan pertama saya menjayakan filem berbahasa Melayu. Saya berterima kasih kepada Pierre dan Farid yang banyak membantu bagi memastikan keberkesanan lakonan. Saya sedar sebagai bakat baru dalam industri filem, banyak kelemahan perlu diperbaiki. Saya sedia terima tunjuk ajar," katanya.

  • Profil Farid

    Nama: Farid Kamil Zahari

    Nama Komersial: Farid Kamil

    Usia: 27 tahun

    Tarikh Lahir: 5 Mei 1981

    Asal: Alor Star, Kedah

    Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

    Filem: Dayang, Chermin, Remp-It, Main-Main Cinta, Anak Mami Kembali, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Potret Mistik, Tangkai Jering, Tujuh Perhentian, Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Cinta Kolestrol, Anak Halal, Apa Kata Hati, Di Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift dan I�m Not Single

  • Profil Lisa

    Nama Penuh: Lisa Surihani Mohamed

    Nama Komersial: Lisa Surihani

    Tarikh Lahir: 23 Mac 1986

    Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang, Kolej Universiti Help

    Komersial: Johnson & Johnson Pure Essentials, KFC, Ayam Goreng McDonald's, Cadbury, Ayamas, Double Decker, Hotlink, V-Soy, Rexona, Clearasil, Maxis

    Pengacaraan: X-Fresh (Astro), Down Memory Lane (RTM), Nestle Space Challenge (ntv7), Hello 2006 (RTM), Whoa (ntv7), Anugerah Angkasapuri 2005 (RTM) dan Expresi

    Drama/Telemovie: Ayah Kami (RTM); teater: www.puterigunungledang.com.my; video muzik Milikku (Zahid); 3R; Jeff's Place dan Mystery 6

    Filem: Goodbye Boys dan I'm Not Single
  • Tolak Gelaran Artis Simbol Seks




    Ramai peminat tahu Jue digosipkan dengan Shawal AF5, kemudian dia mengaku intim dengan aktor Hans Isaac

    TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba telinga penulis 'dihujani' dengan maklumat terbaru, khabarnya pelakon seksi, Jue Aziz bermain cinta dengan Hans Isaac yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21), sekali gus menenggelamkan gosipnya bersama bintang Akademi Fantasia 5 (AF5), Mohd Shawal Ruslan.

    Sebelum ini desas-desus mengatakan dia dengan Shawal adalah pasangan bercinta kerana mereka pernah dilihat kerap keluar makan bersama.

    Agak mengejutkan apabila menerima gosip mengatakan kira-kira dua minggu lalu, Hans ke set penggambaran drama terbaru lakonan Jue, Orang Minyak Naik Minyak di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Sama ada Hans sekadar bergurau atau tanpa berselindung, dia khabarnya turut memberitahu krew yang berada di situ, Jue adalah kekasihnya! Jue dan Hans juga dikatakan kelihatan mesra sebagai pasangan kekasih.


    Bagi merungkai persoalan ini, kesempatan bertemu Jue pada satu majlis makan malam baru-baru ini digunakan dengan sebaiknya apabila dia berjaya 'diterjah' dengan gosip terbaru ini. Apakah benar Jue kini bertakhta di hati Hans?

    “Memang Hans ada bertemu saya di set penggambaran, baru-baru ini. Saya akui, berkawan rapat dengan Hans selepas putus cinta dengan Jehan (Miskin). Saya selesa berkawan dengan Hans kerana dia seorang yang caring. Namun, perhubungan kami tidak lebih daripada seorang teman baik. Terus terang saya katakan, saya belum bersedia dengan cinta, berilah saya ruang waktu lagi sebelum bertemu cinta baru.

    “Seperkara lagi, saya tidak suka mempermainkan perasaan orang. Kalau kawan saya katakan kawan, tapi kalau kekasih, saya tidak berselindung. Justeru, antara saya dan Hans sekadar kenalan rapat, kawan kekal kawan. Tidak ada hubungan istimewa antara kami. Saya harap selepas ini tidak ada lagi pihak yang salah sangka mengenai persahabatan kami,” kata Jue tanpa berselindung dan lebih senang berterus-terang.

    Akui serasi dengan Shawal

    Bagaimana pula dengan desas-desus yang turut mengaitkan Jue dengan Shawal, Ally Iskandar TV3 dan terbaru bersama aktor kacak, Fahrin Ahmad apabila ada sumber memberitahu, anda khabarnya pernah dilihat keluar bersama lelaki berprofil tinggi itu?

    “Shawal saya kenal ketika kami sama-sama menjayakan rakaman Muzikal Raya tidak lama dulu. Kami boleh ‘ngam’ kerana sekepala. Tak ada nak ‘control-control’ atau plastik. Shawal seorang yang kelakar, tapi sama seperti Hans, hubungan kami tidak lebih daripada seorang kawan. Ally pula kawan berborak, dia seorang pendengar yang setia. Tak ada apa-apa pun yang istimewa dalam persahabatan kami.

    “Fahrin, saya dah lama mengenali dirinya. Ketika saya mengenali Ako (Mustapha) dulu, dalam masa sama, saya turut mengenali dirinya. Saya akui, memang kami pernah keluar makan bersama. Tapi, tidak ada sebarang perasan yang wujud antara kami. Sehingga hari ini, antara saya dan Fahrin, kami kekal sebagai kawan baik.

    Justeru, adakah Jue ingin memberitahu, anda masih solo selepas putus cinta dengan Jehan dan bagaimana perasaan anda apabila ada suara nakal yang melabel Jue sebagai play girl?

    'Saya bukan playgirl!'

    "Tolong, saya bukan play girl! Maksud play girl, apabila bercinta dengan seseorang, dalam masa sama dia turut bermain cinta dengan lelaki lain, tapi saya bukan begitu! Pastinya selepas saya putus cinta, tidak ada sesiapa yang istimewa di hati saya.

    “Saya berani beri jaminan, semua lelaki yang pernah dikaitkan dengan saya sejak akhir-akhir ini, sekadar kawan biasa. Saya tidak mudah terima cinta sewenang-wenangnya. I learnt from bad experience,” kata Jue lagi.

    Lari daripada persoalan cinta, Jue turut dijolok soalan pedas, adakah dia bangga dengan gelaran aktres simbol seks Malaysia memandangkan susuk tubuhnya yang ‘menggiurkan’ itu dan mendapat perhatian ramai lelaki?

    “Saya tak pernah anggap diri saya sebagai artis simbol seks Malaysia. Tapi, apabila orang tengok air muka dan bentuk tubuh saya, mereka mula melemparkan pelbagai tanggapan negatif. Saya pakai baju kurung pun, orang masih melihat saya seksi. Pun begitu, saya hargai pemberian Tuhan, terpulang kepada orang ramai nak menilai saya dari sudut positif atau sebaliknya.

    “Bagi saya, fizikal luaran sekadar bonus, yang penting untuk masa depan ialah hati perlu bersih dan menggunakan akal fikiran dengan bijak supaya orang boleh menghormati kita seadanya. Saya bersyukur kerana sentiasa mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit menjayakan produk mereka, tapi saya tetap berhati-hati terima tawaran supaya mereka tidak mengeksploitasikan diri saya,” kata Jue mengakhiri perbualan.

    Info Jue Aziz

    NAMA PENUH: Zuliana Ab Aziz

    TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983

    KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik

    DARAH CAMPURAN: Mamak dan Bugis (ayah), Cina dan Belanda (ibu)

    PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahawanan dari Kolej Stamford

    PENCAPAIAN: Pemenang tempat ketiga, Malaysian Most Beautiful 2006

    FILEM: Anak Mami The Movie dan Tipah Tertipu

    DRAMA: Dua Hati, Impak Maksima The Series, Manjalara, Jangan Main Belakang, Rahsia Cinta dan Orang Minyak Naik Minyak

    PENGACARA TV: e@9 (TV9) dan Gedik Samba (TV3)

    TEATER: Naga Chini dan Impak Maksima (bakal dipentaskan)

    Jangan Gosip Kami


    Liyana Jasmay

    Biarpun tidak pernah bertentang mata sebelum ini, pertemuan pertama cukup menghiburkan. Liyana selamba dan suka mengusik, Aizat pula malu-malu namun mereka bagaikan ada keserasian

    SIAPA sangka dua anak tokoh korporat, Liyana Jasmay dan Aizat akhirnya memilih jalan getir dalam dunia seni. Apa sebenarnya yang dicari? Bergelar anak seni bukanlah semudah yang disangka, jika silap perhitungan, hanya gosip dan kontroversi menjadi peneman diri. Atau, populariti jadi kepuasan diri?

    Kalau sebut nama Liyana Jasmay, 20, tentu ramai yang masih ingat lakonannya sebagai Phim menerusi filem pertama, Castello bersama Rosyam Nor. Begitu juga Aizat, 19, beliau kini cukup popular dengan lagu Hanya Kau Yang Mampu selepas pertaruhannya dalam Akademi Fantasia 5 (AF5) gagal ke peringkat akhir.

    Buat kali pertama dalam hidup mereka, Liyana dan Aizat digandingkan dalam satu sesi fotografi untuk muka depan sama ada akhbar mahupun majalah. Biarpun tidak pernah bertentang mata sebelum ini, pertemuan pertama cukup menghiburkan. Liyana selamba dan suka mengusik, Aizat pula malu-malu namun mereka bagaikan ada keserasian.

    Aizat

    Sesi fotografi petang itu kecoh dengan gelagat dua anak tokoh korporat itu. Meskipun baru berkenal dan sudah mesra, mereka bagaikan meminta jangan selepas ini ada pihak sengaja untuk gosipkan mereka kononnya sedang bercinta.

    Sambil menjeling pada Aizat, Liyana akui: “Saya tengok Aizat ketika di AF5 dulu, saya memang minat pada suaranya. Paling saya suka apabila Aizat menyanyikan lagu Perpisahan (Anuar Zain), suaranya boleh buat bulu roma meremang. Aizat mulanya nampak pemalu, tetapi lama kelamaan, kami seolah-olah sudah seperti lama mengenali.

    “Paling penting, Aizat sudah buktikan pada masyarakat, dirinya boleh kuruskan badan tanpa mengambil apa-apa ubat diet. Bukan senang nak kuruskan badan tanpa usaha dan tekad.”

    Liyana juga akui bukan populariti dicari, bukan juga keseronokan diingini sebaliknya kerjaya sebagai anak wayang dipilih kerana minat yang mendalam.

    “Ada yang mempertikaikan kenapa saya minat sangat berlakon sedangkan dengan kedudukan yang ada, saya boleh memilih kerjaya lain yang lebih menjamin. Soalnya jika hati sudah suka, saya tidak boleh menidakkannya.

    “Keluarga juga tidak pernah menghalang minat saya, malah ibu bapa sentiasa memberi galakan walaupun hidup sebagai anak seni akan ada pasang surutnya. Dulu saya berlakon kerana minat dan ingin mencuba tetapi apabila sudah berlakon, ia mula bertukar menjadi sesuatu yang menyeronokkan.Berlakon mula memberi kepuasan dan keyakinan diri. Saya juga akan bosan jika lama tak beraksi di hadapan kamera."


    Liyana mahu jadi penerbit filem

    Liyana akui minatnya dalam bidang lakonan juga membuatkannya memilih untuk meneruskan pengajian dalam Diploma Seni Persembahan di Kolej Sunway, Selangor. Selepas ini, impiannya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara.

    “Saya nak buktikan pada keluarga dan masyarakat, anak seni juga boleh berjaya dan disegani. Saya mengimpikan mahu melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang seni. Saya memilih bidang lakonan dan penerbitan filem jika ada rezeki dapat melanjutkan pelajaran.

    “Perjalanan kerjaya saya bukan hanya sekadar menjadi pelakon, sebaliknya saya bercita-cita menjadi penerbit filem atau drama suatu ketika nanti. Dan bagi saya, bukan hanya pengalaman, pelajaran juga perlu ada untuk merealisasikan cita-cita besar saya dalam bidang seni,” katanya yang kini sedang menunggu tayangan lima filemnya.

    Selepas Castello dan Syaitan, dalam diam Liyana sudah menyiapkan lima filem lain iaitu Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom dan Duhai Si Pari Pari. Filem berkenaan sedang menunggu tarikh tayangan.

    Aizat jatuh hati pada Phim

    WALAUPUN dibuli dan sering diusik, Aizat hanya tersenyum malu. Puas hatinya kerana impian bertemu dengan Liyana akhirnya termakbul.

    "Saya memang sudah lama teringin nak jumpa Liyana, apabila diberi pilihan memilih gadis untuk digandingkan dalam fotografi, tentunya Liyana jadi pilihan. Saya suka karektor Liyana, selain selamba dan gila-gila, dia juga memiliki wawasan hidup yang tinggi.

    “Paling penting, Liyana tidak bergantung hidup pada keluarga, walaupun keluarganya di kalangan orang berada. Tapi hubungan saya dan Liyana hanya sekadar kawan sesama artis, lagi pun Liyana sudah berpunya. Liyana dengan jujur memberitahu saya, hatinya sudah dimiliki. Namun siapakah jejaka yang bertuah itu, kena tanya Liyana sendiri.

    “Jangan salah faham, saya hanya jatuh cinta dengan lakonan Liyana terutama ketika bawa watak Phim. Dan tak sangka pula apabila digandingkan bersama, kami sebenarnya mempunyai chemistry, seolah-olah berkawan lama. Liyana juga pandai menjadikan suasana kecoh dengan gelagatnya yang suka mengusik,” katanya.

    Ayah, Umi banyak membantu

    Akuinya ada beranggapan dirinya menggunakan aset keluarga untuk merealisasikan impian bergelar artis rakaman. Aizat juga dianggap bertuah memiliki produksi sendiri, Kasi Gegar Entertainment kerana dilahirkan atas `dulang emas'. Walaupun kos keseluruhan albumnya mencecah RM100,000, ada yang beranggapan jumlah itu agak kecil buat Aizat dan keluarganya.

    Aizat tidak menafikan kenyataan itu tetapi pada waktu yang sama, dia turut berusaha mengejar apa yang diimpikan.

    “Alhamdulillah, ini semua rezeki daripada Allah. Tanpa keizinanNya, apa yang saya rancang tidak mungkin menjadi kenyataan. Pada waktu sama, saya turut berusaha. Minat dan membesar dalam keluarga yang meminati muzik turut menjadi kelebihan.

    “Muzik dan keluarganya bagaikan irama dan lagu, yang tidak dapat dipisahkan. Keluarganya berkebolehan bermain instrumen muzik seperti gitar dan dram serta ada antaranya yang boleh menyanyi seperti saya. Yang menjadi pencetus segala-galanya semestinya Umi dan ayah saya, Datuk Amdan Mat Din. Ayah pun pernah ada kugiran sendiri sebelum ini.

    “Umi pula memperturunkan khazanah bakat dan ilmunya bermain gitar kepada abang sulung saya. Seterusnya ia berentetan dan menjadi warisan keluarga kami. Jadi apabila saya terkeluar dari AF5, keluargalah yang memberi galakan untuk saya menubuhkan produksi Kasi Gegar Entertainment dan album solo,” katanya.

  • Info Liyana

    Nama: Liyana Jasmay

    Asal: Kuantan, Pahang

    Umur: 20 Tahun

    Tarikh lahir: 28 Mac 1988

    Kerjaya: Pelakon & pelajar

    Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-19

    Filem: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom & Duhai Si Pari Pari

  • Info Aizat

    Nama: Muhammad Aizat Datuk Amdan

    Asal: Kuala Lumpur

    Umur: 19 Tahun

    Tarikh Lahir: 21 Januari 1989

    Kerjaya: Penyanyi & komposer

    Album: Percubaan Pertama
  • Ambil Iktibar Sejarah Silam


    DARI kiri Farawahida, Zul Huzaimy dan Raja Azura.

    Semangat perjuangan orang dulu tetap menebal dalam diri mereka. Tidak sanggup melihat tanah air dijajah oleh bangsa asing

    BULAN Kemerdekaan penuh pengertian buat tiga selebriti popular iaitu Zul Huzaimy, Raza Azura dan Farawahida. Walaupun tidak dilahirkan sebelum zaman negara ini merdeka dan melihat kesengsaraan orang dulu memperjuangkan Tanah Melayu daripada penjajahan bangsa asing, mereka akui tetap merasainya.

    Malah, semangat perjuangan tetap menebal dalam diri mereka. Tidak sesekali sanggup melihat Malaysia dijajah oleh bangsa asing lagi seperti ketika zaman nenek moyang mereka dulu. Apa yang pasti, ketulusan, keikhlasan dan kejujuran orang dulu memperjuangkan negara tidak sama dengan generasi hari ini. Umpamanya lain dulu lain sekarang.

    Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku mengakui dia pasti teringat keperitan perjuangan nenek moyangnya apabila tibanya bulan kemerdekaan.

    Zul Huzaimy teringatkan pengorbanan arwah datuk.

    "Saya berbangga dengan perjuangan nenek moyang yang mempertahankan Tanah Melayu daripada dijajah. Saya sering mendengar cerita kehebatan dan kesukaran yang dilalui mereka daripada ibu bapa dan keluarga. Keturunan saya daripada pahlawan Melayu lima bersaudara iaitu Opu Dahing Parani, Opu Dahing Menambun, Opu Dahing Merewah, Opu Dahing Cellak dan Opu Dahing Kemasi.

    "Dan sebagai anak cucu, saya bersama keluarga pernah menziarah makam mereka. Makam Opu Dahing Cellak dan Opu Dahing Merewah terletak di Pulau Penyengat tahun lalu. Walaupun tidak dilahirkan sebelum merdeka, saya berbangga kerana sering terbabit dalam teater sempena bulan kemerdekaan ketika masih bujang dulu. Saya membawa watak orang dulu-dulu yang memperjuangkan Tanah Melayu daripada penjajahan Ingggeris, Belanda dan Jepun.

    "Saya dapat berasakan perit jerih penduduk zaman silam yang mahu memerdekakan Tanah Melayu. Mereka sanggup menyerahkan harta dan barang kemas bagi membantu Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menuntut kemerdekaan di luar negara," katanya.

    Akuinya, sebagai generasi baru, kita seharusnya bersyukur segala limpahan kemewahan dan kenikmatan yang diperoleh negara atas jasa pahlawan dulu.

    "Kita sudah terlalu banyak menghirup udara kemewahan, sesekali tak salah berbalik pada sejarah lama. Ia penting supaya anak Melayu dapat menghargai warisan yang ditinggalkan. Bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak, jadi berbanggalah menjadi rakyat Malaysia dan cintailah negara kita, jangan bergaduh sesama bangsa kerana kita nanti yang rugi. Usah biarkan sejarah lama berulang� katanya yang sanggup menolak tawaran mengacarakan majlis kemuncak pada malam kemerdekaan demi mahu membawa tiga cahaya matanya menyaksikan acara percikan bunga api di Shah Alam, Selangor.

    Zul sedih datuk dilarikan tentera Jepun

    Farawahida dan Raja Azura hargai perjuangan orang terdahulu.
    BERLAINAN pula Zul Huzaimy yang mempunyai kisah sedih apabila kehilangan datuknya, Yusie yang dilarikan tentera Jepun ke selatan Thailand pada lewat tahun 1940-an. Sehingga neneknya, Normimah menghembuskan nafas terakhir pada 1997 dia tidak bertemu dengan suaminya itu.

    Zul akui datuknya yang tidak diketahui sama ada masih hidup mahupun meninggal dunia pernah bertugas dengan kolonial Inggeris sebagai 'banker' atau pengagih keperluan pada 1943. Bagaimanapun, ketika Jepun menjajah, datuknya itu terpaksa berkhidmat dengan Jepun sehingga dilarikan ke selatan Thailand pada suatu ketika.

    "Arwah nenek yang membesarkan bapa saya, Marzuki Yusie bersama dua anak angkat dengan hanya menjual nasi lemak sekitar kampung di Grik. Sehingga menghembuskan nafas terakhir, arwah nenek tidak bertemu dengan datuk. Kami memang tak tahu di mana nak mencari datuk namun selepas kematian arwah nenek, ada saudara mara yang pernah bertemu dengan datuk di Pattani.

    "Di situ saya melihat bagaimana pengorbanan arwah nenek memerdekakan hidupnya daripada kesengsaraan. Dari muda hinggalah menghembuskan nafas terakhir, dia tetap mahu menjual nasi lemak," katanya.

    Zul berkata, generasi baru seharusnya tidak mengetepikan fakta sejarah lama, sekurang-kurangnya ambil tahu untuk pengetahuan diri. Dan hobinya membaca membuatkannya seronok membaca kisah-kisah sejarah yang berlaku pada nenek moyang suatu ketika dulu.

    "Setiap kali membaca ada saja fakta sejarah mengenai kemerdekaan yang diketahui. Saya mengetahui kisah perjuangan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dan bagaimana kesusahannya mahu memerdekakan tanah air ketika membaca sebuah buku sejarah, tahun lalu. Jika tidak mengetahui sejarah silam, saya percaya tentu tak mampu menghayati erti kemerdekaan. Bila tahu apa yang berlaku, tentu kita tahu bagaimana mahu menghargainya.

    "Sekarang kita merdeka daripada penjajah tetapi ramai yang masih dijajah dengan pemikiran dan ideologi mereka. Tak kiralah kita ikut cara barat atau timur dan tak tahu sejarah pun tak apa tetapi satu saja yang kita perlu jaga, hormatilah bendera Malaysia. Saya lihat ada yang sanggup memijak, membuangnya ke dalam tong sampah dan macam-macam lagi yang menyakitkan mata dan hati.

    "Cuba lihat selepas malam menyambut merdeka, bukan sampah yang dikutip pihak berkuasa sebaliknya lambakan bendera Malaysia. Bendera itu umpama maruah Malaysia," katanya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Hati Seorang Lelaki arahan Ahmad Idham untuk siaran raya.

    Farawahida lukis bendera rai merdeka

    KEINGINAN menyambut Hari Kemerdekaan bersama teman-teman memaksa Farawahida melukis sendiri bendera Malaysia menggunakan warna air untuk mengibarkan ketika usianya lapan tahun. Maklumlah, kesempitan hidup menyebabkan Farawahida tidak mahu menyusahkan ibu bapa memenuhi permintaannya.

    "Memang sedih, saya teringin nak kibarkan bendera Malaysia bersama teman-teman sekampung. Mereka seronok dengan bendera masing-masing. Jadi saya rasa tak salah kalau saya melukis bendera menggunakan warna air, jadi saya juga boleh berseronok dengan mereka. Sekurang-kurangnya rumah saya pun ada bendera walaupun hanya bendera yang dilukis sendiri.

    "Malangnya bendera yang saya letakkan di pagar rumah dibasahi hujan, jadi kertasnya koyak dan warnanya hilang," akuinya sambil merenung jauh. Gadis kacukan Melayu, Pakistan dan Arab itu akui walaupun dari keturunan campuran, tetapi jiwa Melayu tetap menebal dalam dirinya dan keluarga.

    Farawahida berkata, dia bertuah dilahirkan sebagai anak Malaysia. Walaupun negara diuji dengan keadaan politik yang membimbangkan tetapi rakyat masih lagi dalam keadaan aman dan selamat.

    "Bayangkan jika negara kita seperti negara jiran lain. Bukan saja kedudukan ekonomi tak stabil, malah keadaan keselamatan juga terancam. Banyak jiwa terkorban gara-gara politik yang huru hara. Jadi saya cukup bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini. Apa yang kita miliki hari ini adalah hasil perjuangan orang dulu. Jadi peliharalah bangsa dan negara supaya peristiwa dulu tidak berulang kembali," katanya yang kini sibuk dengan rakaman album ketiganya. Sehingga kini, single pertamanya, Hilangkan Segalanya sudah diputarkan di corong radio.

    INFO: Raja Azura
    Nama: Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin
    Usia: 36 Tahun
    Tarikh Lahir: 18 Ogos 1972
    Asal: Pelabuhan Klang, Selangor
    Suami: Adzmin Tan Sri Osman
    Anak: Megat Muhammad Raziq, 6, Megat Luqman Haqim, 5, Puteri Mia Maizura, 2
    Kerjaya: Pelakon, penyanyi, pengacara dan penyampai radio
    Album: Dan Bunga Berguguran (1996) & Raja Azura (2008)

    INFO: Zul Huzaimy
    Nama: Zul Huzaimy Marzuki
    Usia: 30 Tahun
    Asal: Grik, Perak
    Tarikh Lahir: 4 Disember 1978
    Pencapaian: Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21
    Filem: Embun, KL Menjerit 1, Remp-It, Anak Halal, Impak Maksima, Syaitan & Cinta Yang Satu
    Drama: Mat Nor Khusairi And The Velvet Boys, Mengejar Pelangi, Miss Penang, Datin Diaries, Mentari Jingga, Hitamnya Hati & Hati Seorang Lelaki
    Pengacara: Riak Riak Remaja (RTM)

    INFO: Farawahida
    Nama: Farawahida Razali
    Usia: 23 Tahun
    Tarikh Lahir: 19 Mac 1985
    Asal: Taiping, Perak.
    Pencapaian: Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007
    Album: Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini