Monday, December 22, 2008

Kes Nurin: Syarikat swasta tawar kepakaran

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Siasatan kes pembunuhan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, menemui harapan baru apabila sebuah syarikat tempatan berasaskan siasatan jenayah di tempat kejadian (CSI) dan forensik menawarkan kepakaran untuk membantu pasukan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, syarikat itu menawarkan khidmat forensik dengan tumpuan untuk mengenal pasti nombor plat motosikal dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes tersebut.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan nama syarikat tersebut kerana ia masih di peringkat rundingan.

"Kita dimaklumkan ada pihak yang ingin mencuba melalui kaedah forensik untuk mendapatkan gambar lebih terang bagi mengetahui nombor plat motosikal berkenaan.

"Sebelum ini kita sudah hantar rakaman CCTV di kawasan berhampiran mayat Nurin ditemui kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), namun masih gagal membantu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayatnya ditemui pada 17 September tahun sama iaitu 27 hari kemudian di dalam sebuah beg yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.

Sehingga kini lelaki bermotosikal yang dirakamkan CCTV membawa beg sukan mengandungi mayat kanak-kanak itu dan meletakkannya di premis di Taman Petaling Utama, sehari sebelum ditemui, gagal dikenal pasti.

Difahamkan, satu pertemuan akan diadakan dalam masa terdekat membabitkan wakil syarikat tersebut dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memutuskan mengenai cadangan penggunaan kepakaran yang ditawarkan.

biar benar, FBI Amerika tolong pun tak dapat cari.. ini kan pula...entah2 sapa2 nak bantu pula!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: