Friday, December 26, 2008

Pesara dapat durian runtuh

PUTRAJAYA: Lebih 300,000 pesara dan penerima pencen bakal menerima durian runtuh mulai Januari depan berikutan penyelarasan dasar baru pencen dan persaraan tahun 2008 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Yeow Chin Kiong berkata penyelarasan baru itu menyaksikan segolongan besar pesara dan penerima pencen akan menikmati kadar pencen lebih tinggi.

“Ketika ini, terdapat kira-kira 590,000 pesara dan penerima pencen. Daripada jumlah itu seramai 334,783 akan menerima kenaikan kadar pencen berkuatkuasa 1 Januari depan.

“Kenaikan itu membabitkan bayaran tambahan RM1.3 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM9 bilion,” katanya pada sidang media menjelaskan mengenai Opsyen Semula Skim Pencen dan Ex-Gratia Terbitan di pejabatnya, di sini, semalam.




Yeow berkata, bayaran pencen itu akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing lebih awal iaitu pada 16 Januari 2009 berikutan sambutan Tahun Baru Cina.


“Bagaimanapun, hampir dua peratus atau kira-kira 4,000 penerima pencen dan pesara mungkin tidak menerima bayaran pada tarikh berkenaan berikutan beberapa masalah, termasuk pertukaran akaun bank atau terdapat pertikaian tempoh waktu perkhidmatan,” katanya.

Pembayaran pencen berkenaan dibuat menerusi dasar baru pencen merangkumi pemansuhan syarat pemastautin membabitkan kos RM32 juta, perkiraan pencen sehingga maksimum 360 bulan atau 30 tahun tempoh perkhidmatan (RM718 juta) dan pemansuhan penyusutan pencen terbitan kepada 70 peratus selepas tempoh 12 setengah tahun (RM316 juta).

Selain itu, pembayaran ex-gratia kepada ibu bapa anggota bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan (RM112 juta) dan peningkatan kadar pencen terendah kepada RM720 sebulan bagi pegawai yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun perkhidmatan yang boleh dikira (RM140 juta).

Abdullah ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 Mei lalu mengumumkan pencen akan dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2009 selain had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam yang dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun.

Selain itu, kerajaan bersetuju menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan juga mulai 1 Januari ini.

Sementara itu, bagi pemberian opsyen semula kepada pegawai yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Yeow berkata, lebih 66,000 penjawat awam yang sudah memilih skim itu diberi peluang kembali kepada skim pencen.

“Mereka yang ingin kembali kepada skim pencen yang kebanyakannya terdiri daripada guru wanita dan pengamal perubatan boleh berbuat demikian mulai 1 hingga 31 Januari 2009,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: