Friday, December 26, 2008

Nasyid gaya rock Algebra




IMEJ rock tapi berserban. Mesti ramai yang pelik atau tidak faham apa yang cuba ditonjolkan oleh kumpulan anak muda ini.

Namun, inilah imej yang diperkenalkan kepada umum oleh kumpulan nasyid baru yang menggelarkan diri mereka sebagai Algebra.

Mengapa Algebra? Kerana mereka mahu mengangkat salah satu ilmu matematik yang dicetuskan oleh ilmuan Islam, Al-Khawarazmi.

Bangga dengan imej yang dibawa, mereka yakin imej berserban akan menjadi satu trend buat remaja.

Ahnaf Jamal, si penyanyi vokalis kumpulan ini tahu, buat orang yang pertama kali melihat cara mereka, perkataan pelik atau janggal berpakaian akan terlintas di fikiran.

Dia dan rakan-rakannya mahu serban menjadi lambang Algebra bila mereka menjadi terkenal nanti dan secara tidak langsung menjadi fesyen orang ramai.

"Kami tak segan dengan imej yang ditonjolkan. Lagipun apa yang kami mahu tunjuk ialah Algebra adalah kumpulan band yang membawakan lagu-lagu dakwah.

"Sebenarnya, serban bukan saja melambangkan salah satu pakaian orang Islam, tetapi ia lebih daripada itu.

"Tak kisahlah nak pakai pakaian macam mana. Kemeja-T ke, atau seluar jean, tak ada rasa janggal langsung untuk kami memadankan pemakaian kami dengan serban," katanya.

Bercerita tentang muziknya pula, lagu-lagu mereka cukup bersahaja. Mesej nasihat dan ketuhanan yang disampaikan juga jelas tanpa memerlukan lirik yang begitu tersirat.


INILAH vokalis Algebra. Mungkinkah wajah dan peribadi Ahnaf Jamal bakal 'digilai' oleh peminat perempuan selepas ini?


Uniknya, muzik band yang ditonjolkan oleh Algebra jelas mampu memikat hati remaja yang gemarkan muzik-muzik segar.

Bermain alatan muzik seperti gitar, drum, keyboard mahupun perkusi membuatkan lima remaja ini selesa dengan penyampaian mesej dakwah dengan cara yang tersendiri.

"Saya rasa belum pernah lagi mana-mana penyanyi berkumpulan nasyid buat imej begini. Kebetulan, peminat muzik tempatan banyak yang 'layan' band. Jadi apa yang kami mahu tonjolkan ialah membawa mesej-mesej dakwah melalui muzik sebegini.

"Lebih-lebih lagi bila melihatkan gaya persembahan kami yang sederhana, ia memang bersesuaian.

"Kebanyakan lagu kami membawakan mesej yang positif. Sebab itu kami tidak menganggap imej dan mesej yang kami bawa sebagai penghalang sewaktu beraksi di atas pentas. Sebaliknya, kami bangga dengan cara kami," ujar Afnaf.

Selain Ahnaf, Algebra turut dianggotai Nur Mohd. Alieff Ayub (dram), Raja Mohd. Farhan Raja Shaifulzaman (keyboard), Ahmad Syauqi Ahmad Shabir (gitar) dan Mohd. Hafiedz Samsuri (perkusi).

Sementara itu, dalam album Algebra, kekuatan muzik mereka begitu terserlah dengan menggunakan ilham lagu dan lirik oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. Maza).


DENGAN menggunakan pendekatan 'rock' masih ada ruang untuk Algebra menyampaikan mesej berunsur keagamaan dalam lagu-lagu mereka.


Antara lirik lagu ciptaan Dr. Maza ialah Aku Rela, Islam Di China, Aku Bukan Musuh Harta, Daerah Ini, Puisi Dunia, Suara Tajdid Kami dan Yang Benar Tetap Benar.

"Saya rasa ini seuatu penghargaan yang besar kerana kami masih baru lagi dan dengan tawaran yang diberi sukar untuk kami tolak.

"Dr. Maza bukan sahaja menyumbangkan lirik-lirik lagu dalam album kami, tetapi dia juga pendorong dan penasihat besar kami dalam mengharungi industri hiburan ini," ujarnya.

Menariknya, Algebra turut bekerjasama dengan penyanyi popular, Aishah, Kopratasa dan Dakmie (Barongan) dalam beberapa buah lagu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: