Bak bahang di Gurun Sahara! Begitulah yang boleh diibaratkan perjalanan dunia hiburan sepanjang tahun 2008 ini. Panas, gelora, suka dan duka bergerak seiring. Tahun 2008 menyaksikan macam- macam kes yang tidak diduga berlaku.
Kalau pada tahun lalu mulut celupar Rosnah Mat Aris yang memberi kenyataan sensitif mengenai Rasulullah dianggap paling kontroversi, tetapi tahun ini peristiwa tangkap khalwat Norman Hakim dengan Memey Suhaiza antara peristiwa begitu menggemparkan.
Ia termasuk juga kejadian tuntutan cerai Erema keatas Seri Bayu serta 'drama' apabila Syamsul Yusof didakwa menumbuk kekasihnya Diana Danielle.
l Norman ditangkap khalwat
Pada pagi 30 Oktober lalu, Norman atau namanya Mohamad Norhakim Zaidon, 32, ditangkap berkhalwat dengan pelakon baru Memey Suhaiza Suhaimi, 20.
Mereka ditangkap di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor.
Gara-gara kes itu, Abby Abadi, 31, membuat tuntutan fasakh keatas Norman pada 3 November tetapi permohonan tidak dapat diproses kerana Abby tidak mengemukakan dokumen lengkap.
Kerana naik angin dengan perbuatan Norman itu, Abby telah menyerangnya ketika penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. "Serangan" itu turut disertai wartawan hiburan tempatan.
Suami isteri itu akhirnya berpisah apabila Norman menceraikan Abby dengan talak satu pada 19 Disember lalu. Ini merupakan talak kedua kerana sebelum ini mereka pernah bercerai pada 5 Mei 2006 tetapi rujuk semula pada 11 Mei tahun yang sama.
Bagaimanapun ketika kes mereka masih panas, Abby dikatakan berkawan dengan Zulkifli Ariffin seorang pelakon baru tetapi Abby menafikan lelaki itu kekasihnya.
l Beego - Intan hanya bahagia empat bulan
Perkahwinan pelakon Beego atau Mohamad Aszerul Nizam, 28, dengan Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, menimbulkan kontroversi apabila pelakon itu memfailkan tuntutan nusyuz (derhaka) terhadap isterinya pada 22 Februari lalu.
Mereka berkahwin pada 28 Disember tahun lalu tapi hanya bahagia selama empat bulan sahaja.
Intan ketika memberi keterangan di mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mendakwa terpaksa membuat pinjaman bank RM30,000 sebagai wang hantaran dirinya selain membiayai perbelanjaan pihak lelaki.
l Nora Danish bercerai ketika mengandung
Agak sedih apabila rumah tangga pelakon Nora Danish, 26, yang dikatakan goyang akibat gangguan pihak ketiga tidak dapat diselamatkan. Nora terpaksa membuat keputusan untuk berpisah dengan Rizal Ashram Ramli, anak bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib. Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menerima lafaz cerai Rizal yang dibuatnya melalui SMS kepada Nora berbunyi "I ceraikan you." Mereka bernikah pada 20 Jun 2006.
l Bahana Faizal buka baju
Tahun 2008 dibuka dengan insiden memalukan apabila Faizal Tahir tergamak membuka baju ketika membuat persembahan pada 13 Januari semasa konsert ulang tahun keempat stesen 8TV. Gara- gara bahana insiden itu, 8TV tidak dibenarkan membuat siaran langsung berbentuk hiburan selama tiga bulan. Faizal pula dihukum dengan melakukan kerja-kerja amal
l Jodoh Noraniza tak panjang
Penyanyi Noraniza Idris yang bercerai dengan Fareez pada Mei 2006 mengesahkan berkahwin dengan seorang usahawan dari utara pada Februari lalu dalam satu majlis tertutup.
Tapi sayang tup-tup Noraniza mengesahkan jodohnya dengan lelaki tersebut tidak panjang apabila mereka terpaksa berpisah pada September lalu. Fareez pula selamat mendirikan rumah tangga dengan Mazlin Abdul Samad,24, Jumaat lalu.
l Aziz Satar merajuk
Pelakon Datuk Aziz Sattar meletakkan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran di dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Freddie Fernandez yang dianggap gagal menerajui persatuan tersebut.
Perletakan jawatan itu dikatakan kerana Pak Aziz kecil hati apabila Karyawan didakwa mengungkit menaja majlis kahwin pelakon veteran tersebut dengan Hashimah Delan. Pak Aziz turut membuat laporan polis kononnya Karyawan telah menyeleweng dana persatuan sebanyak RM200,000.
Dalam masa sama Pak Aziz turut terkilan apabila penyanyi Azizul Khamis dikatakan mengeluarkan perkataan nyanyuk kepadanya. Rupanya ia sekadar salah faham dan mereka sudah bermaafmaafan selepas insiden itu.
l Rita Rudiani nikah di Thailand
Kecoh apabila pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 32, disahkan bernikah dengan pemain pertahanan skud kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak, 21, di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu. Mereka bernikah sorok-sorok iaitu tanpa pengetahuan keluarga.
Pengesahan itu dibuat oleh bapa Aidil, Abdul Radzak Salleh,59, yang terkejut dengan berita tersebut. Rita yang sedang mengandung hampir dua bulan akhirnya membuat kenyataan semalam mengapa mereka menyembunyikan perkahwinan itu.
l Rosnah nikah orang muda
Pelakon sensasi, Rosnah Mat Aris, 53, membuat satu lagi berita gempar apabila bernikah dengan Tajul Efendie Isa, 27, pada 13 November lalu.
Yang menjadi kecoh kes ini apabila Rosnah pada mulanya tidak mengaku berkahwin tetapi membuat kenyataan sebaliknya didalam sebuah akhbar tabloid tidak lama kemudian
Mereka bernikah di Masjid Seri Gombak, Kuala Lumpur.
l Tiada cinta Erema - Seri Bayu
Penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad atau Erema, 25, sudah tidak mampu lagi untuk menjaga suaminya penulis lirik, Seri Bayu atau Jamaluddin Sulik, 43, yang menghidap penyakit saraf. Erema memohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 1 Disember lalu tetapi kes terpaksa disebut semula pada 12 Januari depan bagi membolehkan kedua mereka melantik peguam.
Seri Bayu mendakwa dia yang tidak boleh bergerak itu sering dipukul Erema sebaliknya wanita tersebut menafikan melakukan perbuatan sedemikian. Mereka bernikah pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur.
l Syamsul didakwa tumbuk Diana
Cinta yang tidak kesampaian selepas tiga tahun berkawan. Pengarah Syamsul Yusof, 24, dan Diana Danielle Danny Beeson, 17, putus cinta juga akhirnya.
Puncanya mereka dikatakan bergaduh pada malam 26 November lalu akibat cemburu. Kerana tidak tahan sabar, Syamsul didakwa menolak kekasihnya itu sehingga jatuh di muka pintu. Diana mendakwa dia ditumbuk Syamsul sebanyak lima kali mengakibatkan bengkak sebelah kiri kepalanya.
l Fahrin tengking Linda
Kalau sebelum ini Linda mencipta kontroversi kerana menarik diri menjadi pengacara acara karpet merah Academy Award di Los Angeles tetapi tahun ini lain pula kesnya apabila Fahrin dikatakan menengking Linda.
Kejadian berlaku pada November lalu semasa raptai rancangan Sehati Berdansa. Linda didakwa mengeluarkan perkataan yang tidak digemari Fahrin menyebabkan pelakon lelaki itu terpaksa meninggi suara terhadapnya.
Akibat banyak sangat kisah sensasi Linda, penyampai radio Era itu dikatakan terpaksa ditukar ke stesen Sinar FM pada 15 Disember lalu.
l Shah Rukh Khan dapat Datuk
Walau apa juga kritikan, kerajaan Melaka tetap dengan pendirian untuk mengurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan. Pingat itu disampaikan pada 6 Disember lalu.
Pengurniaan darjah itu menimbulkan tidak puas hati beberapa persatuan artis yang menyifatkan pelakon itu tidak layak mendapat gelaran sedemikian.
l TV3 kena halau
Kecoh kes pernikahan Mawi dan Ekin yang bernikah pada 20 Disember lalu apabila krew TV3 tidak dibenarkan membuat liputan majlis itu yang diadakan di masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Ia disebabkan Astro sudah mendapat hak eksklusif majlis tersebut. Bagaimanapun media cetak tidak dihalang daripada membuat liputan majlis berkenaan.
l Muallaf kena gam
Filem Muallaf arahan Yasmin Ahmad tidak diluluskan tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana unsur agama yang terdapat dalamnya.
Bagaimanapun fielm itu mendapat sambutan ketika tayangannya di Singapura pada 29 November lalu. Filem tersebut dikatakan menyinggung perasaan umat Islam apabila Yasmin dikatakan mahu menyamaratakan semua agama demi kelangsungan hidup.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: