Monday, December 29, 2008

Heliza Masih mencari cinta


HELIZA ingin berjaya dalam bidang seni dan pelajaran


TIDAK dinafikan sesiapa sahaja yang memandang gadis jelita bertudung ini pastinya akan jatuh hati. Berperwatakan lembut, ceria dalam diam dan sedikit nakal, pastinya membuatkan si pria di luar sana akan mudah jatuh ke dalam sarang cinta gadis ini.

Tidak seperti selebriti yang lain, yang lebih gemar menyembunyikan kisah cinta mereka atau enggan berbicara mengenainya, gadis kurus tinggi lampai ini pula agak berbeza.

Lebih suka berterus terang serta bersikap terbuka, Heliza dalam pertemuan lewat petang di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, menjelaskan sehingga kini hatinya masih belum dimiliki.

Mendengarkan luahannya itu membuatkan penulis tertanya-tanya betulkah gadis secantik ini masih belum ketemu cinta?

Mungkinkah sikapnya yang terlalu memilih atau merasakan tiada yang sepadan membuatkan situasi tersebut menjerut ruang kehidupannya.

Terdiam dan terus ketawa besar Heliza apabila saya mempertikaikan kenyataannya itu.

Jelas Heliza: “Saya tak tipu memang saya masih belum ada kekasih hati. Jangan ingat semua orang yang cantik itu ada kekasih tau. Walaupun masih solo, saya tak rasa itu satu masalah kerana saya lebih suka berkawan daripada berkasih. Itu lebih menyeronokkan.”

Seakan tidak percaya dakwaannya, penulis terus mendapatkan kepastikan apakah tiada sesiapa di luar sana cuba untuk memancing cinta gadis yang popular selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia ini.

Setidak-tidaknya, pasti akan ada jejaka di kampus pengajian Heliza iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau jejaka di luar yang tercuit hati memandang gadis berusia 22 tahun ini.

Luah Heliza: “Percaya tak, tak ada yang mengurat saya. Itu yang saya pelik, mungkin juga kalau di universiti itu ramai yang seakan-akan lebih menghormati saya.

“Usik pun tak, kalau jumpa pun sekadar tegur biasa saja. Nampaklah mereka macam segan sedikit.”

Meskipun gadis-gadis lain seusianya lebih sibuk mengejar cinta, namun bagi peminat figura, Datuk Siti Nurhaliza ini, semua itu tidak penting kerana dia ingin memastikan segulung ijazah dalam genggamannya.

“Cinta boleh datang dan pergi dengan senang saja tapi pelajaran itu yang penting. Saya sekarang pun semakin risau kerana kerja sambil belajar membuatkan saya hilang fokus.

“Tapi saya cuba juga memastikan saya akan dapat menamatkan pengajian saya dengan keputusan yang baik,” kata gadis yang dicungkil bakatnya dari program realiti televisyen popular Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5).

Tambah Heliza, cinta juga pasti mampu dimilikinya suatu hari nanti jika dia sabar menanti dan sehubungan itu dia tidak perlu tergesa-gesa mengejarnya

AJL 23 tanpa Mawi

Satu perkara yang amat menggembirakan hati gadis yang mempunyai hobi gemar menangkap gambar ini ialah lagu duetnya bersama pengantin baru, Mawi, Doa Dalam Lagu berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-23 yang akan diadakan pada 18 Januari depan.

Dalam kegembiraan pertama kali merasai nikmat tersebut, terang Heliza dia baru sahaja mendapat perkhabaran bahawa rakan duetnya itu tidak dapat turut serta bersamanya.

Kata Heliza, Mawi tidak dapat berkongsi pentas bersama kerana masih lagi bercuti selepas melangsungkan perkahwinannya baru-baru ini. Mengakui sedikit terkilan namun dia memahami situasi Mawi.

“Memang saya sangat gembira sebab terpilih ke AJL 23 serta mengharapkan agar dapat mendendangkan lagu itu bersama Mawi. Tapi dia masih lagi dalam tempoh bercuti, jadi saya menghormati keputusannya. Saya tak kisah siapa penggantinya tapi saya harap biarlah orang yang saya kenal dan rapat agar dapat mencari keserasian kelak,” katanya lagi.

Akui Heliza, sedaya upaya dia akan cuba memberikan sebuah persembahan yang terbaik di AJL 23, agar persembahan itu akan nanti akan menjadi memori indah dalam diari kehidupannya kelak.

Seronok berlakon

Gadis berbintang Aquarius ini juga kini semakin jatuh cinta dengan sayap baru seni yang mula dicubanya.

Semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila dia ditawarkan membintangi filem arahan Ahmad Idham iaitu Syurga Cinta.

Membawakan watak Ustazah Syuhadah, kata pemenang tempat keempat AF5 ini, tidaklah sesukar mana. Cuma sewaktu mahu membawakan adegan bercinta bersama pasangannya, pelakon Awal Ashaari itu agak sukar.

“Saya tak pernah bercinta jadi apabila nak buat adegan itu agak sukarlah. Saya tak reti bab-bab romantik ini sehinggakan saya kena marah dengan pengarah. Romantik-romantik ini memang susah saya nak buat tapi kalau yang ganas-ganas okey saja,” katanya sambil menguntum senyuman.

Sambutan Maal Hijrah

Berbicara tentang sambutan kalendar baru Islam, Maal Hijrah pula kata Heliza, “Dulu masa sekolah seronok, bila sambutan Maal Hijrah. Saya akan terlibat dengan perarakan, nasyid dan pelbagai lagi. Pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Pasti kita akan menanti sambutan itu untuk beramai-ramai menyambutnya dengan rakan-rakan.”

Ditanya kepadanya tentang azam tahun baru ini, jelas pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Sains, dia mengharapkan agar tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

“Saya berharap agar tahun ini saya dapat seimbangkan antara pelajaran dan kerjaya seni saya. Serta dapat menjadi anak dan masyarakat yang berguna,” katanya mengakhiri perbualan kami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: