Monday, December 29, 2008

Pengertian Hijrah Artis

AWAL Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah bukanlah sesuatu yang asing di kalangan umat Islam sejagat termasuklah golongan artis.

Mengambil sempena sejarah agung peristiwa perpindahan rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW serta para pengikutnya dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, peristiwa tersebut masih lagi diraikan sehingga ke hari ini.

Dalam kita bergembira menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, pastinya ada sahaja azam yang berlegar benak fikiran dalam memastikan sahsiah diri di masa akan datang lebih baik dari tahun yang sebelumnya.

Ikuti pelbagai pendapat tentang pengertian Awal Muharam yang diterapkan dalam kehidupan beberapa artis terkenal tanah air.

Wan Nor Azlin (Pelakon)

“Bagi saya sendiri, sudah tentu mengharapkan sinar yang terbaik pada tahun baru ini nanti. Apa pun yang berlaku tahun lalu saya tidak boleh lemah, saya anggap ia sebagai ujian dari Tuhan dan saya perlu teruskan juga demi anak-anak.

“Penghijrahan dalam diri saya bukan sekadar menutup aurat dan memakai tudung sahaja. Bagi saya, hijrah perlu perubahan daripada segala aspek termasuklah hati, pemikiran dan kehidupan.

“Bagi saya, tiada gunanya bertudung jika hati kotor dan tidak bersih. Begitulah juga dengan pemikiran dan kehidupan.


Wan Nor Azlin


“Azam saya pada tahun baru Hijrah ini, saya nak ubah segala-galanya. Bukan sahaja zahir tetapi juga batin.

“Kita bukan sentiasa muda, suatu hari nanti kita akan pergi juga menemui Tuhan. Semakin bertambah usia maka diharap semakin matanglah kehidupan kita.

“Harap-harap tahun hadapan ada lebih banyak lagi peluang untuk saya bergiat aktif dalam lakonan. Apa yang berlaku pada masa lalu saya tidak mahu kenang lagi dan saya betul-betul minta maaf pada semua.

“Terima kasih kepada semua yang sudi menyokong saya baik media massa, keluarga terutama ayah dan adik-beradik, peminat serta rakan-rakan artis yang telah banyak membantu saya”.

Ina Naim (Penyanyi)

“Hijrah mengambil sempena peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dalam usaha menyebarkan ajaran Islam yang begitu mendapat tentangan ketika itu.

“Hijrah juga bermaksud perubahan dalam diri seseorang daripada kurang baik kepada yang lebih baik.

“Begitu juga dengan diri saya sendiri, saya mahu berhijrah daripada segi kerohanian dan peribadi dalam menjaga kerukunan rumah tangga bersama suami dan anak saya dengan baik.

“Insya-Allah, saya mahu tingkatkan juga amalan saya seperti beribadah dan kesempurnaan dalam solat.

“Daripada segi penghayatan, memanglah sekarang kita tengok Awal Muharam kurang mendapat perhatian di kalangan umat Islam terutamanya golongan muda.

“Bagi saya, penghayatan Maal Hijrah itu sendiri perlulah sampai ke jiwa. Malah, mengingati kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW serta melakukan pelbagai amalan adalah lebih baik jika ia dihayati dengan penuh keinsafan.”

Isman (Anggota Hijjaz)

“Awal Muharam yang juga dikenali sebagai Maal Hijrah disambut oleh seluruh umat Islam pada setiap 1 Muharam dalam kalender Islam.

“Ia diraikan bagi memperingati peristiwa hijrah oleh Rasullullah SAW dari Mekah ke Madinah di mana ketika itu pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi oleh baginda dalam menyebarkan ajaran Islam.

“Penghijrahan bukan sahaja dari segi tempat, malah boleh juga daripada segi perangai atau sikap dan juga kehidupan.

“Dalam konteks kehidupan, ia menterjemahkan perubahan yang perlu dilakukan daripada yang tidak baik kearah yang baik. Dan jika kehidupan sudah baik, maka perubahan perlulah kepada yang lebih baik.

“Sekarang ini kalau kita tengok di negara kita sambutan tahun baru lebih banyak tertumpu kepada tahun baru Masihi. Sedangkan sebagai sebuah negara Islam, penumpuan kepada tahun baru Hijrah perlu diberi keutamaan.

“Harap-harap pada tahun akan datang sambutan untuk tahun baru Hijrah akan diberi keutamaan berbanding sambutan tahun baru Masihi”.

Sempena Maal Hijrah, warga kerja Hijjaz meraikan tahun baru pada 31 Disember ini bermula pukul 8 malam bertempat di Teratak Hijjaz Country Resort, Bukit Dugang Desa Putra, Sg. Merab, Bangi.

Erma Fatima (Pengarah dan pelakon)

“Kalau diikutkan Awal Muharam adalah sambutan tahun baru bagi masyarakat Islam yang disambut setiap 1 Muharam dalam kalender Islam pada setiap tahun. Seperti sambutan tahun baru, kebanyakan umat Islam membuat pelbagai azam dan perancangan.

“Umum tentu sudah tahu bahawa Awal Muharam disambut sempena mengingati peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW. dari Mekah ke Madinah.

“Untuk itu, kita juga perlu lakukan perkara yang sama. Maksud saya bukanlah perpindahan tetapi dalam konteks memperbaiki diri.

“Seperti saya sendiri, sedari kecil lagi ibu saya sudah ingatkan supaya sentiasa memperbaiki diri. Jadi saya sudah terbiasa dan selalu mencuba tingkatkan amalan saya dalam kehidupan mahupun kerohanian.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: