Friday, December 26, 2008

Kos Pahlawan Mat Kilau cecah RM10 juta


PUTERI Gunung Ledang merupakan filem tempatan yang dikatakan paling mahal dengan menelan kos hampir RM20 juta.


FILEM genre epik, sejarah dan pertarungan biasanya menelan kos pembikinan yang agak tinggi kerana ia menggunakan ramai pelakon tambahan, kostum serta penggambarannya juga dikatakan mengambil masa agak lama serta rumit.

Pahlawan Mat Kilau misalnya, merupakan sebuah lagi filem tempatan dalam genre tersebut yang dijangka akan menelan kos pembikinan yang agak tinggi iaitu berjumlah hampir RM10 juta.

Produk pertama syarikat Lagenda Studios Sdn. Bhd. itu dikatakan kedua termahal selepas filem Puteri Gunung Ledang terbitan Infiniti Production Sdn. Bhd. yang menelan kos hampir RM20 juta.

Menurut Pengarah Pahlawan Mat Kilau, Rodzee A. Razak, filem itu agak tinggi kosnya kerana ia melibatkan ramai pelakon tambahan, penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) dan penggunaan banyak set latar belakang filem.

"Sebagai contohnya, ada dalam adegan pertarungan filem ini yang akan menggunakan sekitar 400 orang pelakon tambahan. Selain itu, kami juga terpaksa membina set latar filem seperti kapal, rumah dan sebagainya.

"Kami menjangkakan penggambaran filem ini akan mengambil masa tiga bulan bermula Mac depan di sekitar negeri Perak dan Pahang. Sebab itu, kos pembikinan filem ini akan mencecah hingga RM10 juta," katanya.

Selain memerlukan kos yang tinggi, Rodzee turut berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan barisan pelakon, terutamanya pelakon yang akan melakonkan watak Mat Kilau iaitu watak utama dalam filem tersebut.

Jelas Rodzee, beliau cukup selektif bagi mendapatkan pelakon yang sesuai untuk melakonkan watak Mat Kilau di mana kalau boleh katanya, biarlah ia dilakonkan oleh pelakon baru.

"Kalau boleh, saya mahu pelakon baru yang tidak dikenali peminat dan tidak pernah berlakon filem sebelum ini. Pelakon itu pula mestilah ada karekter, memiliki susuk tubuh yang sasa dan sesuai untuk melakonkan watak tokoh tersebut.

"Rasanya watak itu kurang sesuai kalau ia dilakonkan oleh pelakon yang sudah popular kerana para penonton tentunya sudah dapat menjangka bagaimana gaya lakonannya kelak.

"Kalau pelakon baru ia tentu lebih mencetuskan keghairahan penonton untuk menghayati lakonan watak itu kelak. Bagaimanapun, untuk melakonkan watak-watak sampingan, kami akan tampilkan para pelakon yang sudah popular," ujarnya.

Sebagai permulaan suatu uji bakat telah diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi mencari barisan pelakon yang sesuai untuk menjayakan filem yang sarat dengan unsur nasionalisme itu.

Katanya, sebanyak 65 watak sudah pun disediakan menerusi skrip hasil tulisan Sudirman Ahmad itu termasuklah watak yang akan dilakonkan oleh 15 pelakon berbangsa Inggeris.

Tambah Rodzee yang sebelum ini pernah mengarahkan filem berjudul Ops Belantara pada tahun 1991, kos pembikinan yang tinggi bukan menjadi persoalan utama baginya.

Sebaliknya, ia merupakan antara sumbangan dan tanggungjawab sosial yang harus dilaksanakan oleh Lagenda Studios Sdn. Bhd. bagi menambah bilangan filem-filem dalam genre sebegitu dalam persada perfileman tanah air.

"Kami anggap ini sebagai suatu pulangan yang harus kami berikan semula kepada masyarakat atas kejayaan perniagaan kami sebelumnya. Kami juga tidak mensasarkan keuntungan yang besar, tetapi memadailah kalau ia balik modal.

"Semoga dengan cara itu, kami akan dapat menerbitkan lagi filem-filem sejarah dan budaya bangsa untuk tontonan masyarakat agar ia tidak luput ditelan zaman," katanya lagi.

Filem Pahlawan Mat Kilau mengisahkan tentang perjuangan pahlawan Melayu berasal dari Pahang itu dalam usahanya menentang penjajahan British dan mendapatkan kemerdekaan daripada bangsa kulit putih tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: