Tuesday, December 30, 2008

Nak Jadi Orang Baru




KISAH hangat tentang selebriti tinggi lampai Linda Onn nampaknya masih lagi belum reda. Ada sahaja kisah mengenai dirinya yang tercalit di dada-dada akhbar, tidak kira cerita manis mahupun pahit.

Baru sahaja bernafas di 'rumah' baru pada 15 Disember lalu di Sinar FM, datang pula ura-ura yang mengatakan Linda Onn mungkin akan 'terbang' ke stesen radio pesaing Hot FM.

Benar, tidak mustahil jika suatu hari nanti deejay ini mahu beralih arah memandangkan jiwanya lebih pada muzik-muzik terkini.

Apalagi bila menceritakan tentang deejay yang sering bertukar-tukar arah, ia mungkin suatu perkara yang normal.

Bertanyakan hal ini kepada Linda, dia tidak mengiya atau menafikan. Dia lantas mengakui telah menerima tawaran daripada beberapa stesen radio.

"Benar, Hot FM pernah melamar saya. Tapi itu dahulu. Bukan Hot FM saja, ada lagi beberapa stesen radio yang juga menawarkan saya menjadi deejay mereka.

"Semua tawaran itu saya tolak kerana begitu sayangkan Era. Maklumlah, dah 10 tahun saya bersama Era. Jatuh dan bangun Era, saya ada di situ.

"Tapi buat masa ini, tiada sebarang tawaran yang saya terima," tuturnya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular (ABP) 2009 baru-baru ini.

Bagaimanapun, jika kali ini peluangnya lebih kepada stesen radio lain, Linda mungkin tidak akan menolak. Baginya, rezeki berada di mana-mana dan untuk mendapat rezeki yang lebih, tidak salah jika wanita ini cuba untuk beralih arah sekali lagi.

"Rezeki ada di mana-mana. Jika peluang saya lebih besar di stesen-stesen radio yang melamar saya, kenapa tidak? Insya-Allah, kalau rezeki saya di situ, di situlah ia," ujar wanita yang berusia 31 tahun ini.

Sedih tinggalkan Era

Memang benar, Linda berasa agak sedih bila meninggalkan radio Era dalam sekelip mata. Manakan tidak, mahu mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar Era pun tidak kesampaian.




Namun, itu tidak bermakna Linda membenci Sinar FM. Secalit pun tidak. Cuma dia gusar, andai dirinya tidak mampu untuk menarik perhatian pendengar Sinar FM.

"Saya tak menidakkan kewibawaan Sinar FM, cuma saya bimbang diri saya tidak berwibawa untuk menaikkan Sinar FM. Apa yang saya harapkan sekarang ini agar peminat-peminat Sinar FM dapat menerima kehadiran saya.

"Berkenaan dengan kesedihan saya meninggalkan Era, siapa tidak sedih kalau sejak tahun 1997 saya sudah bersama dengan radio itu?

"Bila mana-mana deejay yang akan meninggalkan Era, mereka pasti akan diberikan slot untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar-pendengar setia mereka.

"Tapi, saya langsung tidak berkesempatan untuk mengucapkan selamat tinggal pada peminat-peminat," jelasnya.

Agak mengejutkan, ketika Linda mula beralih ke Sinar FM, dia tidak menyangka sama sekali ada segelintir peminatnya juga beralih arah dengan mendengar Sinar FM pula.

"Berita itu sangat menggembirakan saya. Pada masa yang sama, saya terharu kerana peminat sanggup berubah mendengar stesen radio lain semata-mata mahu mendengar saya berceloteh. Itu satu penghargaan buat diri saya.

"Sekarang saya ambil perkara ini sebagai satu benda yang positif. Saya masih jadi diri saya ketika di konti. Bila saya sedang bersiaran dan bercakap dengan pendengar, saya lupa seketika di mana saya berada," katanya yang mengelolakan slot Sinar Petang dari pukul dua hingga enam petang.


"LINDA tidak sangka ada lagi dugaan yang lebih besar selepas insiden enggan muncul di karpet merah Anugerah Academy di Hollywood. "


Selain itu, dengan tekad mahu menimba ilmu tentang lagu-lagu retro, menurut Linda, ibunya sendiri kini bertindak sebagai 'guru' muzik retro buat dirinya. Malah, rakan-rakannya yang gemar lagu-lagu retro juga membantu Linda dalam menambahkan ilmu pengetahuannya mengenai genre muzik berkenaan.

Justeru, adakah Linda sebenarnya sudah sedia berhijrah dari segi fizikal dan mental ketika mula-mula bersiaran di Sinar FM?

"Hari pertama, tidak. Saya kabur. Sampai tersasul-sasul saya bercakap. Hari kedua, pendengar mula menelefon saya, sedikit sebanyak mereka menaikkan semangat saya untuk bekerja. Hari ketiga, saya dah mula selesa sedikit.

"Biasalah, bila beralih secara drastik, rasa kejutan tu ada. Saya jadi diri sendiri dan macam biasa kita kena profesional. Saya rasa, sebulan dua nanti, saya boleh sesuaikan diri.

"Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jadi saya sedang berusaha untuk mengenali Sinar FM untuk mencintai radio ini. Cuma saya masih tak pasti lagi hala tuju saya," akuinya.

Buang keruh 2008

Tahun 2008, bagi Linda, memberikan pelbagai cabaran dan dugaan besar kepadanya. Seolah-olah ada sahaja yang tidak kena dengannya.

Apalagi bila kontroversi tentang putusnya hubungan cinta antaranya dengan aktor Fahrin Ahmad. Sejak putus cinta, semua pihak mencarinya untuk mendapat kesahihan berita ditambah pula sebelum ini Linda hanya mengaku mereka sekadar 'teman tapi mesra'.


"HUBUNGAN 'putus cinta' antaranya dengan Fahrin kecoh diperkatakan pada 2008. "


Selepas putus cinta, mereka dipertemukan dalam program realiti TV Sehati Berdansa dan timbul pula isu bila hampir semua orang di studio rakaman menyaksikan 'drama' Fahrin menengking Linda.

Paling menyedihkan wanita ini apabila tanpa sebarang perancangan, dirinya terus ditukarkan dari radio kesayangannya, Era, dan dimasukkan pula ke Sinar FM.

"Terus terang saya bagi tahu, saya tak kuat untuk mengharungi semua ini. Saya sering menangis bersendirian dan kadangkala rasa bagai nak gila.

"Sampaikan pada satu tahap saya tak tahu nak buat apa-apa. Saya runsing. Cuma satu saja, mak dan ayah serta teman-teman rapat saya yang menjadi pakar psikologi saya.

"Merekalah yang memberi nasihat. Kadang-kadang saya juga minta nasihat daripada Profesor Datuk Dr. Fadzilah Kamsah," ujarnya.

Tambah Linda, dirinya seolah-olah tahu masalah demi masalah akan berlaku kepadanya sejak isu enggan muncul pada acara karpet merah Anugerah Academy di Hollywood pada 26 Februari tahun lalu disebabkan tidak mahu memakai pakaian rekaan Radzwan Radziwil atas alasan ia agak terdedah.

"Waktu itu, memang saya rasa isu ini adalah satu dugaan paling besar yang pernah saya hadapi. Tapi sebenarnya tidak.

"Saya tak sangka ada lagi yang lebih besar menanti saya. Tahun 2009, saya harapkan sinar baru dari segala sudut, sama ada peribadi mahupun kerjaya.

"Apa yang sakit pada tahun 2008, saya tak mahu pandang. kalau ada media yang tanya perkara-perkara yang pernah berlaku pada tahun ini, saya tidak akan jawab lagi. Cukuplah. Saya nak jadi orang baru dan mahukan hidup baru," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: