MINGGU ini adalah minggu yang cukup mengejutkan Kak Pora apabila bukan satu tetapi dua pasangan membabitkan selebriti popular melalui episod rumah tangga yang traumatik sehingga menggegarkan industri seni tanah air. Ramai peminat tersentak dan ada yang berasa tidak menyangka. Ramai juga yang geleng kepala.
Apa lagi yang dapat Kak Pora katakan, agama tidak mungkin akan menghalalkan perceraian jika tidak kerana keperluan umatnya. Yang pasti kahwin cerai bukan perkara main-main. Kalau tidak takkan pengarah filem popular, Aziz M Osman sampai jadi fobia hendak berkahwin apabila berasa dirinya tertipu selepas isterinya, Nor Radhiah dikatakan masih dalam edah ketika beliau mengahwini wanita itu pada Ogos lalu.
Belum reda trauma Kak Pora habis dengan kes Aziz, meletup pula kes tangkap khalwat aktor Norman Hakim dengan pelakon Suhaiza Suhaimi atau Memey. Tidak mengapa Abby, Kak Pora faham perasaan dan luka seorang isteri diperlakukan begini. Kak Pora sendiri pernah melalui episod hitam itu. Percayalah ia amat menyakitkan. Biarpun bergelar janda macam Kak Pora tetapi kita akan dapat semula kekuatan selagi kita berserah pada Allah.
Cerita cerai artis pada tahun ini memang mengundang perhatian mesyuarat malah bukan saja peminat mereka tetapi orang politik, mak cik jual nasi lemak hingga kepada ahli korporat juga masih ada masa untuk bercakap soal kes cerai artis.
Bagi Kak Pora tahun ini macam jadi musim artis bercerai berai pula. Lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini banyak pula kisah cerai artis menjadi bahan media massa dan menjadi bualan masyarakat. Kalau lihat semula sejak Januari lalu hingga bulan ini, ada lebih 10 kes cerai artis. Mana tidaknya, entah bila nikah tiba-tiba buat pengumuman sudah diceraikan talak satu. Demikian babak perceraian penyanyi bersuara lantang, Azharina, 23, dengan bekas suaminya Datuk Sukri, 50, pada Februari lalu.Peminat dunia hiburan terus dikejutkan dengan beberapa siri kisah perceraian yang cukup menyedihkan. Kisah perpisahan secara damai antara Farah Asyikin dan suaminya juga tidak ketinggalan menjadi berita hangat kerana mereka cuma setahun saja bergelar suami isteri. Versi yang tidak berapa damai antara Beego dan isterinya, Intan Shahira serta pergolakan rumah tangga Datin Norish Karman dan Datuk Hashimuddin juga menjadi cerita panas pada tahun ini.
Berita penyanyi era 1980-an, Siti Fairuz yang menuntut cerai taklik pada Julai lalu juga mengejutkan peminatnya. Penyanyi, Anis Suraya pula dilaporkan bercerai secara sah pada Oktober lalu.
Turut mendapat perhatian, perceraian pelakon cantik Nora Danish dengan suaminya, Rizal Ashram Tan Sri Ramli, di mana talak dilepaskan ketika Nora sedang hamil anak hasil perkongsian hidup mereka yang singkat. Kak Pora faham soal perkahwinan dan perceraian manusia hanya boleh rancang tetapi takdir menentukan tetapi ingatlah apabila berlaku perceraian tentunya ada sebab musabab yang berpunca daripada diri kita sendiri.
Pendek kata, sebelum 2008 berakhir, bersedia saja kerana ada beberapa lagi kes perceraian yang belum selesai dibicarakan iaitu antaranya Beego dan Intan Shahira serta pelakon, Emma Akma Yunus. Khabarnya, penyanyi Atilia juga sedang menghadapi masalah rumah tangga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: