Saturday, December 31, 2016

Sorotan 2016: Majlis Mewah & Eksklusif Di Hari Bahagia Selebriti



Baju Anzalna jadi bualan paling cantik pada tahun 2016.
PETALING JAYA: Tahun 2016 menyaksikan ramai selebriti menamatkan zaman masing-masing, selain ada juga yang kembali mendirikan rumah tangga selepas perkahwinan sebelum ini gagal.

Ada yang mengambil keputusan untuk berkahwin bersama selebriti, ada pula yang lebih memilih pasangan yang bukan golongan di kalangan anak seni.

2016 juga melihat beberapa artis mengadakan majlis secara gilang gemilang dan eksklusif, manakala ada juga yang memilih untuk mengadakan secara sederhana.


Akim Ahmad & Stacy

Pembukaan tahun 2016 iaitu 5 Februari lalu, pasangan kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang bercinta selama enam tahun iaitu Akim Ahmad dan Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam sah sebagai suami isteri.

Stacy yang sebelum itu memeluk agama Islam pada Ogos 2015 itu diijab kabulkan di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah dari Jabatan Agama Islam Sabah iaitu Matlin Dimin.

Stacy berwalikan abangnya iaitu Mohd Adam Hakimi Adam.



Shaheizy Sam &  Syatila Melvin
Pada bulan yang sama pelakon Shaheizy Sam dan aktres Syatila Melvin menjawab teka-teki terhadap hubungan cinta mereka apabila mengumumkan untuk berkahwin pada 8 Februari.

Sam sah menjadi suami kepada Syatilla hanya dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Majlis tersebut diadakan secara besar-besaran apabila pasangan ini turut mendapat tajaan bernilai RM25 juta.

Anzalna Nasir & Mohamad Hanif
Aktres Anzalna Nasir dan pasangannya ahli perniagaan Mohamad Hanif Zaki, 28, menjadi suami isteri pada 21 Februari lalu.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Prof madya Dr Mohd Nasir Ibrahim dalam sebuah majlis di Hotel Seri Pacific.

Perkahwinan eksklusif ini dikatakan paling mewah dan meriah. Gaun resepsi pelakon wanita ini turut hangat diperkatakan sehingga seorang wanita Arab Saudi sanggup membayar RM100,000 untuk memilikinya.


Raja Azmi & Eddie

Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 57, mengambil keputusan untuk berkahwin semula dengan bekas suaminya Mohd Eddie Ghazali, 48, selepas setahun bercerai.
Pasangan ini kembali menjadi suami isteri dengan dua kali lafaz pada 26 Februari lalu dalam sebuah majlis sederhana di surau Taman Sering Ukay, Ukay Pedana, Ampang.

Pasangan ini berkahwin kali pertama pada 13 Oktober 2013 dan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Gombak Timur.

Sebelum itu, Raja Azmi pernah berkahwin dengan bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Jailani Sidek.
Yatt Hamzah & Mohamad Zulfadli

Aktres Yatt Hamzah mengumumkan untuk berumah tangga bersama juruvideo Mohammad Zulfadhli Khairuddin, 26, pada 28 Februari.

Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam.

Yatt sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Shukor pada 29 Mac 2009 namun bercerai dengan talak satu pada 25 Ogos 2015.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib berusia lima tahun.


Shahrol Shiro & Anna Danisha


Pelawak Shahrol Shiro menamatkan zaman dudanya bersama gadis pilihan hati Nor Farhanah atau Anna Danisha pada 19 Mac.
Pasangan ini diijab kabul dalam suatu majlis di yang akan dihadiri kaum keluarga dan teman teman rapat.


Jihan Muse & Ungku Hariz

Pelawak dan pengacara Jihan Muse, 33, berkahwin dengan pelakon Ungku Hariz Faizal, 31, pada 20 Mac lalu.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Musa Abdul Aziz di sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Lmaan Kayangan, Shah Alam.

Sementara itu, majlis resepsi pasangan yang bertemakan klasik diadakan pada 27 Mac ini di Menara Naza TTDI, Shah Alam.

Hafidz Roshdi & Nurul Shuhada

Pelakon kacak Hafidz Roshdi, 22, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita pilihan hati Nurul Shuhada Mat shukri pada 30 April lalu.
Majlis yang tanpa sebarang hebahan media itu diadakan di kediaman wanita terbabit di Perlis.

Hafiz mengakui perkahwinan tersebut mengejutkan banyak pihak dan menganggap ia sebagai jodoh yang tidak dapat dielakkan.

Majlis dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.

Hafiz Suip & Nureffy Jasreel

Penyanyi Hafiz Suip, 26, menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan Nureffy Jasreel Abdullah, 23, pada 14 Mei dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan mereka berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Taman Matang Jaya, Kuching, Sarawak.

Pasangan ini diraikan pada sebuah majlis resepsi pada sebelah malam di Hotel Pullman, Kuching Sarawak.
Adi Putra & Nur Shahida Zolkifly
Adi mencetuskan kontroversi apabila foto perkahwinan keduanya tersebar di internet, dia kemudian mengaku bernikah dengan wanita bernama Nur Shahida Zolkifly pada 20 Jun lalu.

Dia berkahwin dengan seorang janda anak satu berusia 33 tahun yang merupakan pegawai beruniform sebuah agensi kerajaan.

Wanita berkenaan juga merupakan rakan kongsi perniagaan bersama Adi yang dikenali sejak setahun lalu.


Aliff Aziz & Bella Astilah

Penyanyi lagu Sayang Sayang Aliff Aziz selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Dayang Nabella, 22, pada 9 September 2016.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Awang Astillah dalam sebuah majlis pernikahan di Plaza Jelutung, Shah Alam.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 26, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM333 kepada Dayang Nabella atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah.

Majlis tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja tanpa pihak media.


Nazim Othman & Bella Dally

Pelakon Nazim Othman sah bergelar suami kepada aktres, Bella Dally hanya dengan sekali lafaz pada 10 September lalu.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan mereka di Hotel Promanade, Kota Kinabalu Sabah yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan pasangan mempelai.


Saharul Ridzwan & Qaabila Deena Emir Ahmad

Pelakon Hati Perempuan, Saharul Ridzwan selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 16 September lalu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Mohamed Akir Emir Bin Ahmad Teruki dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.

Majlis tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja tanpa pihak media.


Awie & Sharifah Ladyana

Penyanyi rock Awie selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Sharifah Ladyana Syed Samsuddin pada 7 Oktober lalu.

Pasangan ini dinikahkan di sebuah lokasi di Songkhla, Selatan Thailand.

 

Amar Baharin & Amyra Rosli 

Pasangan romantis dalam drama berjudul Encik Bunga Encik Sombong iaitu Amar Baharin, 31, dan Amyra Rosli, 25 akhirnya diijabkabulkan pada 11 November lalu.

Majlis pernikahan diadakan di Hotel Premiera dengan dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua pihak dan rakan terdekat pasangan berkenaan.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Rosli Awang disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim.

 

Lufyah Omar & Che Muhammad Hafiz

Pelakon Lufya Omar menutup perkahwinan selebriti 2016 apabila selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya yang juga seorang doktor, Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 26, dengan sekali lafaz pada 26 November lalu.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Sheikh Omar Sheikh Abdullah dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim. 

Hunny Madu Hasilkan Produk Lipstik Sendiri



Hunny Madu
PETALING JAYA:  Penyanyi dan pengacara Hunny Madu memberitahu sudah tiba waktunya untuk dia serius melibatkan diri dalam cabang perniagaan setelah sekian lama mencipta nama dalam bidang seni.

Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 32, berkata, menyedari kematangannya itu, dia kini baru sahaja mengeluarkan produk pertama atas MaduCosmetics iaitu gincu bibir.

"Menyedari usia kematangan saya di dalam bidang seni, saya kini baru terfikir nak berniaga dengan mengeluarkan produk atas jenama sendiri.

"Sebagai permulaan, saya mengeluarkan produk gincu bibir dalam pilihan tujuh warna menawan yang dipilih oleh saya sendiri dengan jenama MaduCosmetics," katanya.

Dalam pada itu kata Hunny, dia memilih gincu bibir adalah kerana keghairahannya pada produk kosmetik itu yang menyerlahkan identiti dirinya sebelum ini.


Tambahnya, produk itu berasaskan bahan semula jadi yang pastinya selamat digunakan tanpa campuran bahan kimia membahayakan.

Katanya, buat masa ini gincu tersebut hanya boleh dibeli menerusi laman sosial Instagram (IG) iaitu maducosmetics sahaja.

"Memandangkan perniagaan saya baru sahaja bermula, saya memilih untuk menjualnya di IG kerana platform itu sangat membantu selain menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit,” katanya.

Katanya sejak diperkenalkan awal Disember lalu, produk itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat kerana warna yang diketengahkan berbeza dengan gincu bibir sedia ada di pasaran.

Ditanya tidakkah dia bercadang untuk mengeluarkan produk wangian sepertimana trend sesetengah artis, Hunny ada perancangan tersendiri.

"Memang ada perancangan ke arah itu apatah lagi saya mula seronok dalam lapangan perniagaan ini tetapi biar ia berjalan satu persatu.

"Kalau boleh saya mahu keluarkan dulu bedak asas, mascara dan warna pembayang mata atas jenama MaduCosmetics dalam usaha menjenamakan lagi jenama itu di pasaran tempatan," katanya.

Cinta Haiza Masih Teguh Pada Dangdut



Haiza tetap akan mengutamakan muzik dangdut yang telah menaikkan namanya dalam bidang seni.
PETALING JAYA: Penyanyi Haiza memberitahu minatnya terhadap muzik dangdut tidak pernah pudar walaupun selepas menyertai program Gegar Vaganza 2 apabila dia dilihat lebih memberi tumpuan kepada genre lain.

Haiza atau Rohaizah Nordin, 36, berkata, dia tidak akan meninggalkan muzik itu kerana dangdut adalah punca dia masih berada dalam peta industri seni sehingga ke hari ini.

"Bermulanya saya dalam industri ini kerana muzik dangdut itu sendiri dan mana mungkin saya lupakannya begitu sahaja.

"Dangdut masih menjadi cinta pertama saya walaupun ada yang melihat saya kini lebih versetile ketika mengadakan persembahan.

"Pada saya kita kena sentiasa ingat dari mana kita datang kerana itu yang membentuk siapa diri kita hari ini," katanya.

Terbaharu Haiza adalah antara penyanyi yang menyertai program Duo Star yang memperlihatkan peserta tampil dengan peserta duet.

Haiza bergandingan dengan Aepul (vokalis Drama Band) menerusi program yang disiarkan setiap hari Ahad itu pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.
Haiza dan Aepul bergandingan dalam Duo Star.
Dalam pada itu, Haiza berkata, dia tidak berasa kecewa apabila single terbaharunya berjudul Tentang Cinta yang berkonsepkan balada kurang mendapat sambutan daripada pendengar.

Sebaliknya kata Haiza, itu adalah risiko yang perlu diambilnya sebagai artis namun gembira kerana dapat menunaikan hasrat peminat.

"Saya keluarkan modal sendiri untuk merakamkan lagu itu tetapi harus saya akui ia kurang mendapat sambutan baik dikalangan pendengar.

"Tetapi tidak mengapa kerana itu adalah percubaan saya untuk merialisasikan permintaan peminat yang ingin saya tampil dengan lagu balada," katanya.

Tambah Haiza, selepas Tentang Cinta dia merancang untuk kembali merakamkan single dangdut terbaharu tetapi dengan mengadunkan elemen semasa agar menepati citarasa pendengar.

Dalam perkembangan lain, Haiza berkata, dia menyertai Duo Star kerana ingin mencabar dirinya memandangkan program itu menampilkan konsep persembahan duet.

Katanya, Duo Star banyak memberinya pengalaman baharu dan berharap peminat akan menyukai gandingannya dengan Aepul.

"Pada awalnya gementar juga kerana tugasan duet ini bukannya mudah tetapi Alhamdulillah ini satu cabaran untuk saya dan maklum balas diterima sangat baik," katanya.

Nasi lemak anak dara antara makanan viral 2016



Makanan viral sepanjang 2016
FENEMONA viral memang tidak asing lagi dengan rakyat Malaysia hinggakan apabila satu makanan itu menjadi popular, mulalah berpusu-pusu orang datang untuk mencubanya.
Bagaimanapun, tidak semuanya bertahan lama malah ada juga yang terus hilang selepas beberapa ketika.
Sepanjang tahun 2016 ini pelbagai makanan atau kedai makan yang menjadi viral di media sosial, malahan ada sahaja yang sanggup memandu hingga ke negeri lain untuk merasai sendiri penangan makanan viral ini.
Memandangkan 2016 pun sudah hampir melabuhkan tirainya, jom kita imbau kembali makanan-makanan yang menjadi viral sepanjang tahun ini.

Churros
Sebenarnya Churros ini sudah lama berada di Malaysia dan juga turut dijual di kafe-kafe namun entah bagaimana ia mula menjadi satu trend di mana ia turut dijual di pasar malam dan juga di festival makanan. Cara makannya juga turut berbeza apabila  ia disajikan dengan aiskrim, coklat dan banyak lagi.

Pau Cendawan
Uniknya mengenai pau ini apabila ia menyerupai cendawan butang malah intinya juga merupakan krim cendawan yang sangat enak sekali dan Ia mula menjadi ‘viral’ ketika bulan Ramadan

Kuih Keria Antarabangsa
Kuih tradisional ini boleh didapati di Limbongan, Melaka punyai rasa yang sangat sedap berbanding dengan kuih keria biasa kerana ia disaluti dengan gula Melaka. Jangan tak tahu ya, orang ramai sanggup beratur panjang untuk merasai kuih ini malah ada juga yang datang dari negeri lain.

Nasi Lemak Anak Dara
Fenomena Nasi Lemak Anak Dara ini agak besar hinggakan ia turut disebut sewaktu pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang penting, rasanya sedap hinggakan ramai pelanggan sanggup beratur untuk membelinya.

Ahmad Lim Black Pancake
Sebenarnya, ia hanyalah seperti apam balik tetapi telah di’upgrade’ menjadi ‘pancake. Dengan saiznya seperti pizza bersaiz besar ditambah lagi dengan ramuan-ramuan lain diatasnya seperti nuttela, keju, mentega kacang dan lain-lain membuatkan ramai orang tertarik untuk mencubanya.

Nutella Milkshake
Kalau dahulu, minuman sebegini hanya punyai inti buah-buahan, kini ia sudah datang dengan pelbagai ramuan baru seperti oreo, chocolate, marshmellow, jelly beans dan lain-lain. Boleh didapati di kafe-kafe hispter, dan juga didatangkan dengan pelbagai saiz.

Kopi gelas besar
Entah mengapa kopi gelas besar menjadi popular di kalangan masyarakat satu ketika dahulu, mungkin kerana gelasnya yang besar serta dipenuhi dengan ais sesuai untuk mereka yang kehausan di bawah panas terik mentari. Punyai pelbagai perisa seperti kappucino, vanilla, chocolate, dan banyak lagi namun kini hanya segelintir gerai-gerai seperti ini yang wujud.

Samyang ramen
Masih ingatkah anda dengan #SpicyRamenChallenge? Ala.. yang dulu jadi ‘viral’ hinggakan para  artis dan blogger terkenal juga turut sama mencubanya? Ramen ini berasala dari Korea Selatan dan ia memang terbukti halal. Rasanya memang sangat pedas namun ada juga cara untuk mengurangkan kepedasannya dengan mencampurkan keju dan juga susu.

Biskut Dragon Breath
Kenapa ia dipanggil dragon breath? Ia kerana selepas memakannya, asap akan keluar dari mulut anda. Asap tersebut disebabkan oleh gas nitrogen yang ada di biskut tersebut. Namun begitu, baru-baru ini, makanan ini mendapat perhatian ramai apabila ada yang cedera sewaktu memakannya.

Seafood Shell Out
Pada mereka yang sangat menggemari seafood, Shell Out adalah tempat terbaik untuk anda. Menggunakan konsep tiada pinggan, pelanggan boleh memilih rangkaian makan hidupan laut terdiri daripada ikan, udang, sotong, kerang, kepah, siput, lobster dan macam-macam lagi. Harganya juga sangat berpatutan malah set bajet juga turut diperkenalkan untuk menarik pelanggan.
Apa pula makanan yang akan viral tahun depan? Jom sama-sama kita tunggu dan lihat!

Berlakon bukan untuk anugerah: Aida Khalida



Aida Khalida
Aida Khalida
WAJAHNYA sentiasa manis dengan senyuman, tuturnya lembut kala menyapa mereka di sekelilingnya.
Itulah Aida Khalida atau sebelum ini pernah dikenali sebagai Aida Radzwill dan Aida Rahim yang cukup disenangi personalitinya.
Lebih dua dekad membina kerjaya dalam bidang seni, bekas model dan pelakon cantik ini ternyata mempunyai kedudukannya tersendiri dalam industri.
Kariernya bermula dari era hujung 1980-an dan sehingga kini, namanya masih menjadi sebutan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon buat masa ini kerana minat insya-ALLAH selagi masih sihat tubuh badan serta diterima peminat, saya akan terus berlakon.
“Cuma mungkin ada sedikit perbezaan dalam gaya dan pembawaan lakonan saya sekarang berbanding dulu di mana segalanya harus diselarikan dengan imej serta penampilan terkini,” ujar Aida yang bakal tampil dalam filem terbaru, Pulang tidak lama lagi.
Mengimbas kembali perjalanan seninya sebelum ini, Aida bermula sebagai model komersial dan cukup aktif di pentas peragaan.
Namun tawaran membintangi drama Sembang Mak Alang terbitan RTM secara tiba-tiba awal tahun 1990-an mengubah haluan seninya selepas itu.
“Pada mulanya saya tidak terfikir untuk bergelar pelakon, cuma ketika itu saya memenuhi permintaan seorang sahabat yang mahukan saya menghadiri satu sesi uji bakat lakonan dan ditakdirkan saya dapat.
“Respons yang baik terhadap drama pertama lakonan saya itu menambahkan lagi minat untuk berlakon dan sehingga kini masih aktif,” katanya.
Percaturannya ternyata membuahkan hasil apabila lakonan Aida beberapa kali diiktiraf apabila turut menang dan tercalon dalam beberapa anugerah utama industri hiburan tanah air.
Antaranya, Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 1994 (drama Kerana Kau), Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Sri Angkasa 1994 (drama Meniti Garis Silam) dan Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular 1995 & 1996.
“Pengiktirafan itu antara kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan," katanya.
“Biarpun saya bekerja bukan untuk mengejar anugerah, namun pencapaian ini menjadi satu pemangkin semangat untuk menampilkan yang terbaik.
“Kalau diikutkan, pada era 1990-an dulu, kebanyakan penggiat seni begitu serius dengan kerjaya masing-masing dan selalunya ketika itu, orang akan mudah kenal seseorang pelakon itu menerusi bakat dan hasil kerjanya,” imbas pelakon bersiri Idaman ini lagi.
Cara kerja berbeza
Ditanya perbezaan cara kerja yang pernah dilaluinya dulu dan kini, kata Aida, perkara yang paling jelas dilihatnya adalah berkaitan komitmen.
“Dulu semua orang serius dengan kerja mereka dan memberikan 100 peratus komitmen  kerana kita mahu karya itu menyumbang sesuatu untuk industri.
“Jadi masing-masing tahu mengisi peranan mereka dengan baik tanpa perlu dipantau oleh sesiapa, misalnya dengan memperbaiki lakonan, menjaga disiplin dan sebagainya. Pengarah hanya bagi panduan sahaja, selebihnya kita perlu lakukan sendiri.
“Apa pun situasinya cukup berbeza sekarang baik dari segi cara kerja serta komitmen. Saya juga akui zaman berubah dan sebagai pelakon, saya ikut sahaja apa yang memudahkan untuk semua orang,” katanya lagi.
 Menurut Aida yang telah membintangi puluhan drama dan filem ini lagi, cabaran yang dilaluinya suatu ketika dahulu cukup berbeza dengan pelapis baru hari ini.
“Sekarang zaman moden, semua benda jadi mudah. Bayangkan bagaimana kami dulu bekerja tanpa telefon dan sukar nak berhubung, apatah lagi  untuk mencari rujukan atau kajian tentang kerja yang dilakukan ketika itu.
“Pelakon hari ini sangat bertuah dan seharusnya menghargai sebaiknya apa yang mereka miliki. Teknologi banyak membantu memudahkan tugasan yang dulunya sukar dilakukan.
“Mereka juga bukan sahaja dapat berhubung dengan mudah menerusi pelbagai medium media sosial, tetapi juga dapat mempromosi perkembangan terkini secara terus kepada masyarakat,” akhiri Aida.

Ayam ratu jana pendapatan



Ayam ratu jana pendapatan
Mahkama menunjukkan ayam ratu peliharaannya yang mencecah ribuan ringgit.
KUALA NERANG - Sambutan baik peminat ayam ratu di Kedah dikatakan mampu menjana pendapatan penternak sebagai hasil sampingan.
Mahkama Abd Rahim, 51, dari Kampung Belukar Luas berkata, sambutan terhadap ayam ratu mendorong dia menjadi penternak dan melahirkan baka terbaik.
Katanya, pengalaman bermain ayam ratu di Thailand mendorong dia menghasilkan baka ayam itu untuk peminat di sini.
“Saya teruja dengan keunikan ayam ratu dan sedang mengusahakan baka terbaik supaya dapat membekalkan kepada peminat ayam ratu di sini. Industri ayam ratu sudah popular di negara jiran. Selepas saya menyertai pertandingan di sana, barulah saya tahu sambutan sungguh menggalakkan.
“Permainan itu turut mendapat sambutan menggalakkan di sini. Masalahnya belum ada pembekal mampu melahirkan baka yang baik untuk pertandingan ayam ratu di tanah air kita,” katanya.
Hasil pengalamannya, Mahkama mampu membekalkan ayam ratu berkualiti terutama semasa pertandingan.
Kata Mahkama, ternakan ayam ratu itu sangat baik berbanding ayam lain kerana mempunyai daging yang sedap dan telur boleh dijual berikutan diberikan pelbagai vitamin supaya sihat.
"Kesihatan yang baik mampu menghasilkan daging yang baik, apatah lagi jika mencecah empat hingga lima kilogram seekor. Walaupun ayam laga, tetapi tidak boleh disabung kerana akan merosakkan kecantikan yang ada pada ayam.
“Kita mahu ubah pandangan masyarakat. Ayam ratu mampu memberi pulangan lumayan pada setiap pertandingan, berbanding ayam sabung yang akhirnya mati di tangan lawan. Apatah lagi pertandingan sabung ayam dilarang Islam,” katanya yang mempunyai 50 ayam ratu.
Tambah Mahkama, peminat ayam ratu juga perlu mempelajari teknik penjagaan yang betul supaya dapat melahirkan ayam yang cantik dan mendapat perhatian pengadil semasa pertandingan.
Justeru katanya, tidak hairanlah jika ada antara mereka sanggup melakukan pembedahan pada muka ayam supaya kulit nampak tegang dan cantik.
“Ayam ratu boleh ditawarkan harga tinggi sekiranya dijaga dengan baik. Saya sendiri pernah jual dengan harga RM13,000 seekor.
"Bagi anak ayam gred biasa, saya jual dengan harga RM550 hingga RM650 sepasang. Gred A pula dengan harga RM850 seekor. Kecantikan ayam ratu terletak pada baka, sebab itulah baka yang baik menjadi buruan peminat ayam ratu,” katanya.

Ratusan buah kelapa bertaburan atas lebuh raya



Ratusan buah kelapa bertaburan atas lebuh raya
Kelapa bertaburan akibat kemalangan membabitkan masing-masing sebuah treler dan lori, semalam.
ALOR GAJAH - Ratusan buah kelapa yang dibawa sebuah treler, bertaburan atas jalan raya dalam kemalangan di  Kilometer 202.3 Lebuhraya Utara - Selatan,  arah utara, berhampiran Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, treler terbabit melanggar sebuah lori yang membawa set generator menyebabkan pemandu treler cedera parah, manakala tiga lagi mangsa cedera ringan.
Lori seberat 10 tan membawa set generator dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur itu dilanggar treler terbabit dari arah sama.
Komander Operasi Balai Bomba Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK II Dzulkarnain Abd Halim berkata, tiga yang cedera adalah kelindan treler dan pemandu serta kelindan lori yang membawa set generator berkenaan.
“Pemandu treler muatan biji kelapa yang berusia lingkungan 30-an patah kaki kiri,  manakala tiga lagi cedera ringan.
“Bagaimanapun semua mangsa tidak tersepit tetapi kita mengambil masa kita-kira 20 minit untuk mengeluarkan semua mangsa," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, bagaimanapun pihak Plus membuka satu blok laluan bagi memudahkan perjalanan.
"Semua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Majlis kahwin ala Melayu lama



Majlis kahwin ala Melayu lama
Muhammad Uzzair dan isteri diarak melalui bawah busur.

KLUANG - Ahli Kelab Memanah Tok Jani (TJAC) mencipta kelainan apabila mengadakan majlis perkahwinan bertemakan warisan Melayu tradisional di Kem Massmerah, Kampung Sahari Blok 3, Sabtu lalu.
Majlis bersejarah itu dihadiri kira-kira 1,500 jemputan bagi meraikan pasangan pengantin, Muhammad Uzzair Mohd, 23, dan Yusniza Yusof, 26.
Menurut Muhammad Uzzair, majlis perkahwinan berkonsepkan warisan Melayu tradisional itu merupakan ideanya bersama bapa serta ahli kelab TJAC.
Bagaimanapun, pada awalnya dia tidak menjangkakan majlis sambut menantu itu akan menjadi meriah dan mendapat perhatian berikutan ia pertama kali diadakan di kem berkenaan.
“Tema ini dipilih kerana saya dan isteri mempunyai minat yang sama iaitu memanah, malah perkenalan kami juga bermula semasa masing-masing menyertai pertandingan memanah di Perak.
“Saya sendiri sememangnya mengimpikan perkahwinan seperti ini di mana jemputan yang hadir khususnya ahli kelab memanah di seluruh negeri memakai busana Melayu,” kata anak sulung daripada dua beradik berasal dari Simpang Renggam itu.
Muhammad Uzzair yang juga anak kepada Pengerusi TJAC Kem Massmerah berkata, ketika majlis berlangsung, dia bersama isteri diarak sepertimana pengantin lain tetapi apabila masuk ke dalam kem dia terus dibawa meluncur ‘flying fox’ sambil membuat aktiviti memanah menggunakan busur di kawasan tasik Kem Massmerah.
Manakala, isterinya dibawa menaiki perahu sementara menanti Muhammad Uzzair selesai menyempurnakan gimik memanah di tasik.
“Aktiviti tersebut merupakan kenangan terindah dalam diri saya dan isteri kerana selepas menyempurnakan aktiviti memanah saya terus ke tempat isteri untuk menyarungkan cincin.
“Majlis diteruskan dengan persembahan silat dan dibawa berarak melalui bawah busur serta memanah bersama ahli-ahli kelab. Semua yang dirancang menjadi kenyataan dan ia akan diabadikan sehingga akhir hayat,” katanya yang sudah dua tahun terlibat dalam aktiviti memanah
.

Denda RM2,000 jika guna plastik, polisterin



polisterin
polisterin
KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai 1 September 2017.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata tindakan itu susulan pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi (boleh urai) yang berkuat kuasa mulai Ahad ini.
Beliau berkata kementerian memberi tempoh selama sembilan bulan sebagai usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada warga kota sebelum melaksanakan 100 peratus penggunaan bahan tersebut.
"Dalam tempoh tersebut, kita menyasarkan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bebas plastik. Saya menggalakkan rakyat agar berhenti menggunakan beg plastik, sila bawa beg anda sendiri apabila membeli-belah," katanya pada sidang media sempena penguatkuasaan penggunaan produk biodegradasi di sini hari ini.
Katanya kementerian telah memaklumkan kepada persatuan peniaga dan pasar malam berhubung pelaksanaan itu selain mendapat kerjasama daripada pembekal produk biodegradasi yang menepati keperluan peniaga dan pengguna.
"Kebiasaannya bahan biodegradasi ini mahal...hasil daripada perbincangan bersama pembekal, mereka telah pun bersetuju untuk menawarkan harga borong yang wajar kepada peniaga-peniaga setanding dengan harga polisterin dan plastik," katanya.
Loga Bala berkata tindakan proaktif kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman polisterin dan plastik terhadap kesihatan, sekali gus menggalakkan pembangunan industri pengeluaran produk biodegradasi.
Pelancaran penggunaan bahan boleh urai itu telah disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 3 Jun lepas.
Mengulas mengenai pelaksanaan undang-undang itu, rakan kongsi Restoran Chat Masala Brickfields dan Klang, N. Palaniappan berkata restoran itu sedang menggantikan bekas polisterin kepada bekas makanan biodegradasi secara berperingkat.
"Kami faham akan keburukan bekas polisterin itu...jadi kami guna pendekatan gantikan ia dengan bekas mesra alam bagi pengguna.
"Biarpun harga bekas itu lebih mahal berbanding bekas polisterin, kami tak kisah melaksanakannya...harga makanan yang dijual akan tetap sama, margin keuntungan mungkin kurang tetapi kami tidak akan rugi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, restoran itu pernah menerima notis daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pelaksanaan penggunaan produk jenis biodegradasi.
Sementara itu, peniaga pasar malam di Pantai Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Kadir berkata larangan penggunaan plastik di pasar malam sukar dikawal memandangkan pengguna lebih 'mesra plastik'.
"Mungkin mereka perlu membawa beg kertas atau beg kain sendiri ketika ke pasar malam, implementasi sepenuhnya tetap akan mengambil masa panjang," katanya.

Jambatan tertinggi dunia dibuka kepada lalu lintas



Jambatan tertinggi dunia dibuka kepada lalu lintas
YUNNAN - CHINA. Jambatan tertinggi di dunia berketinggian 565 meter yang menghubungkan dua wilayah pergunungan di barat daya China dibuka kepada lalu lintas.
Jambatan Beipanjiang menjangkau 1.34km antara bandar Xuanwei di wilayah Yunnan dan Shuicheng daerah Guizhou itu menelan belanja 1.023b yuan, kata penyiar China Central Television.
Jambatan empat lorong itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Pembinaan tersebut dapat mengurangkan perjalanan dari daerah Xuanwei dan Shuicheng yang sebelum ini mengambil masa empat jam menjadi kira-kira sejam, lapor CCTV News.

Di manakah kakinya?



Di manakah kakinya?
Gambar ini menyebabkan ramai orang merasa pelik dan hairan kerana hanya terdapat 5 pasang kaki di dalam gambar ini.
WISCONSIN - AMERIKA SYARIKAT . Satu gambar menjadi viral apabila jumlah kaki di dalam gambar tersebut tidak mencukupi di mana sepasang kaki dilaporkan telah hilang lapor Huffington Post.
Dalam gambar yang diambil semasa perayaan Krismas lalu menyaksikan enam orang sahabat mengambil gambar di sebuah sofa, bagaimanapun setelah dikira, hanya lima pasang kaki sahaja ditemui telah menimbulkan persoalan ramai.
Pelbagai andaian wujud hingga ada yang mendakwa salah seorang wanita tersebut berpura-pura menyorokkan kakinya, ada juga yang mengatakan gambar tersebut merupakan satu permainan ilusi.
Foto tersebut nyata mencipta misteri hinggakan rancangan televisyen negara ‘Fox & Friend’ turut melakukan siasatan mereka.
Pemilik gambar tersebut, Anna Manifel  yang nyata mempunyai sepasang kaki turut merasa pelik dengan gambar tersebut dan bertanya soalan yang sama.
“Di manakah kaki saya? Ini sangat pelik. Pada dasarnya saya bersama teman-teman hanya mengambil gambar bersama,” katanya.
Keenam-enam gadis tersebut kemudiannya melakonkan semula keadaan di dalam gambar tersebut untuk mendapat jawapan.
Nyata ia hanyalah satu ilusi optikal kerana gambar tersebut diambil dari bahagian kiri sofa membuatkan ada kaki yang terlindung.
Rakan Manifel, Kelly McCarthy yang turut berada di dalam foto tersebut meluahkan kelegaan beliau apabila misteri berjaya dirungkaikan
“Jadi secara umumnya, ia adalah sangat mengelirukan melihat foto ini dari bahagian sisi sofa ini,” katanya kepada Fox.

Thursday, December 29, 2016

Usaha Noraniza Idris Masih Dipandang Rendah



Noraniza Idris kesal apabila perjuangannya memartabatkan Irama Malaysia masih dipandang rendah oleh sesetengah pihak.
PETALING JAYA: Penyanyi Noraniza Idris kesal apabila masih ada pihak yang memandang rendah terhadap perjuangannya dalam memartabatkan Irama Malaysia di negara ini.

Noraniza, 48, berkata, dia sering berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam usahanya itu selain diberi layanan tidak adil walapun perjuangan itu demi menaikkan lagi identiti budaya masyarakat.

"Apa yang saya lihat dan lalui masih ada yang pandang rendah kerana penilaian yang dibuat terhadap apa yang ingin saya perjuangkan dipandang remeh.

"Sebagai seorang anak seni yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam industri ini sudah tentu saya rasa kesal kerana terlalu banyak halangan terpaksa ditempuh.

"Pernah saya berasa seperti ingin berputus asa tetapi saya ingin buat sehabis baik sebelum mengalah," katanya.
Dalam pada itu, Noraniza berkata, dia berharap perjuangannya selama ini akan membuahkan hasil sebelum dia mengambil keputusan mengundurkan diri daripada bidang seni.

Kata Noraniza, tiada apa yang diinginkan selain melihat martabat Irama Malaysia dipandang tinggi selain terdapat platform yang selesa untuk generasi baharu meneruskan perjuangan.

"Saya tidak akan selamanya berada di sini tetapi sekiranya saya mengundurkan diri saya tetap akan menyokong perjuangan orang baharu.
Noraniza bersama Pengasas Mewangi, Ayu Azmera pada majlis pelantikannya sebagai duta produk itu baru-baru ini.
"Tetapi sebelum itu saya ingin melihat ada platform yang selesa untuk mereka berkarya dalam meneruskan menaikkan martabat identiti budaya kita di mata dunia," katanya.

Bagaimanapun kata Noraniza, kemunculan program 3 Juara yang mencari bakat-bakat baharu dalam bidang nyanyian adalah bukti irama Malaysia dapat berdiri disamping genre lain seperti rock dan balada.

"Usaha TV3 itu sangat baik dan sedikit sebanyak membuka mata masyarakat muzik tradisional itu mampu bersaing dan masih lagi mempunyai pengikut.

"Malah bakat-bakat yang ditonjolkan semua mempunyai potensi dan unik dalam cara mereka tersendiri dan Alhamdulillah 3 Juara berjaya menonjolkan mereka," ujarnya yang turut bertindak sebagai juri program itu.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Noraniza berkata, dia baharu sahaja dilantik sebagai duta produk kecantikan dan kesihatan iaitu Mewangi.

Kata penyanyi lagu Dikir Puteri ini,  dia memang menggunakan produk tersebut dan yakin dengan keberkesanannya kerana ia menggunakan bahan-bahan semula jadi.

"Saya memang gemar menjaga kecantikan dan kesihatan menerusi produk tradisional dan Mewangi tiba tepat pada masanya.

"Ini kerana ia menggunakan bahan-bahan yang diformulasikan dengan sumber semula jadi seperti garam bukit, lilin lebah, pati bunga-bungaan dan herba tempatan.

"Ia bukan sahaja untuk menjaga kecantikan wajah tetapi turut mempunyai produk untuk penjagaan seluruh badan," katanya.

Selain itu, Noraniza berkata, pada Januari depan dia juga akan melancarkan single terbaharunya yang mendapat sentuhan penyanyi dan komposer Amir Jahari dan lirik, Ahmad Fedtri Yahya.

"Menerusi lagu ini saya akan berduet dengan salah seorang peserta 3 Juara iaitu Tika dan lagu ini memperlihatkan kelainan hasil kreativiti penulis dan komposer namun masih mengekalkan Irama Malaysia," katanya.

Penyatuan 9 Jam Muzik Reggae & Ska Di Festival Skankin 2016




Persembahan Salam Musik menggamatkan Festival Skankin 2016 yang berlangsung pada Sabtu lalu.
PETALING JAYA: Penyatuan dua genre iaitu reggae dan ska di atas pentas sama pada Skankin Festival 2016 yang berlangsung pada 24 Disember lalu menyaksikan 80 buah lagu dipersembahkan secara keseluruhan daripada barisan band terbaik di Malaysia buat julung-julung kalinya.
Bertempat di KL Live Kuala Lumpur, festival berlangsung selama sembilan jam dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam itu turut menghimpunkan 14 kumpulan dari dua genre tersebut bagi menghiburkan peminat.

Persembahan pada petang itu turut disertai oleh Hadi La Familia dan Rivernation sebagai pembuka tirai sebelum diteruskan dengan nama-nama besar dalam genre berkenaan.
Gerhana Ska Cinta.
Mereka adalah Salam Musik, Gerhana Ska Cinta, Purevibracion, Republic of Brickfields, Plague of Happiness, Sharpshooter, Skudap Skudip, Wakakukz, Johny Comes Lately, Rosewood, Mbex Firdaus and The Souljah, dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Persembahan kesemua yang terlibat pada malam itu ternyata tidak mengecewakan apabila masing-masing mempersembahkan lagu-lagu hit dan saduran popular bagi menggamatkan pentas Festival Skankin 2016.

Malah suasana dalam KL Live juga turut gamat dan meriah dengan peminat-peminat muzik berkenaan dengan mempersembahkan tarian 'skanskin' iaitu gerakan pengenalan kepada reggae dan ska.

Vokalis Republic of Brickfields, Pak Aru turut diberi anugerah khas pada festival itu.
Dalam pada itu, pihak penganjur iaitu Cartel Production turut menyampaikan anugerah khas kepada vokalis kumpulan Republic of Brickfields iaitu Pak Aru sebagai mengiktiraf penglibatannya dan sumbangannya dalam pembangunan muzik reggae di negara ini.

Persembahan pada malam itu pula ditutup dengan kemunculan Plague of Happiness dengan persembahan yang cukup bertenaga.

Festival Skankin dijangka akan diteruskan dengan siri konsert jelajah di seluruh Malaysia pada 2017.

Afdlin Shauki Intai Pasaran Luar Menerusi 'Sandakan Tears'



Afdlin Shauki bakal mengarahkan filem epik bertaraf antarabangsa berjudul Sandakan Tears.
PETALING JAYA: Pengarah filem Afdlin Shauki memberitahu projek terbaharunya iaitu sebuah filem epik berjudul Sandakan Tears dilihat sebagai peluangnya untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 44, berkata, walaupun tanggungjawab sebagai pengarah nashkah itu berat namun itu adalah satu ujian dalam memastikan hasilnya mampu membanggakan bukan sahaja namanya tetapi insustri perfileman tempatan.

"Jujurnya saya gementar juga kerana sudah lama tidak mengarahkan filem tetapi ia tidak boleh jadi alasan kerana saya ada tanggungjawab besar.

"Jika semuanya berjalan lancar saya yakin filem ini mempunyai potensi besar bukan sahaja untuk pasaran antarabangsa tetapi peluang lebih besar dalam memperkenalkan industri perfileman tempatan di luar negara.

"Ini cabaran terbaharu buat saya dan sudah tentu ia turut menguji kemahiran saya sebagai pengarah," katanya.

Sandakan Tears
 bakal mengangkat kisah tentang tentera dari Britian dan Australia yang terkorban selepas dipaksa oleh tentera Jepun untuk berjalan kaki dari Sandakan ke Ranau sejauh 140 kilometer.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM67.2 juta itu dijangka menjalani penggambaran di Sabah dan Australia.

Ia juga bakal memperlihatkan Afdlin bekerjasama dengan pengarah terkenal Hollywood, Roger Christian selain bercadang untuk menampilkan pelakon Hugh Jackman sebagai bintang utama.

Dalam pada itu, Afdlin berkata, buat masa ini dia sedang draf kedua skrip Sandakan Tears sebelum di hantar ke pihak produksi di Hollywood untuk dinilai sebelum ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini dia sedang berusaha mencari pelabur terutamanya dari Australia bagi merialisasikan projek berkenaan.

"Sebelum ini draf pertama skrip ditulis oleh dua penulis skrip dari Hollywood dan ia mengambil masa setahun untuk disiapkan termasuk penyelidikan berhubung sejarah melibatkan kejadian itu.

"Alhamdulillah sekarang saya sedang menyiapkan draf kedua dan akan dihantar ke Hollywood untuk disemak sebelum sebarang penambahbaikkan dilakukan," katanya.

Tipu Anjur Konsert, Estranged Bakal Saman Seorang Wanita




Kumpulan mendakwa ditipu oleh seorang wanita yang kononnya menawarkan mereka untuk mengadakan persembahan di sebuah festival di London.
PETALING JAYA: Kumpulan Estranged bakal mengambil tindakan undang-undang selepas diperdayakan oleh seorang wanita kononnya mereka dijemput mengadakan persembahan sempena Festival Apple Music di London.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis memaklumkan, festival berkenaan bagaimanapun tidak pernah wujud seperti didakwa selepas pihaknya membuat semakan dengan pihak Apple di United Kingdom.

"Wanita berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Pengurus Publisiti Apple Inc London dan turut menyerahkan surat kononnya daripada seorang pengarah Apple Music untuk membuktikan dia tidak menipu.

"Bagaimanapun selepas pihak Estranged menghubungi Apple di United Kingdom pihak mereka mengesahkan bahawa wanita berkenaan adalah seorang penipu dan festival berkenaan langsung tidak wujud," kata kumpulan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi peguam mereka, Tetuan Thomas Philips.

Estranged dianggotai oleh Solihuddin Hormat (Din), Richael Lawrence Gimbang (Rich) dan Nor Hanafi Noor Hadi (Hanafi).

Dalam pada itu, Estranged memberitahu penipuan yang dilakukan wanita berkenaan telah menimbulkan pelbagai masalah malah mereka hampir-hampir berpecah.

"Kami amat terkesan dengan kejadian ini malah pernah mempertimbangkan untuk berpecah sebagai kumpulan dan membatalkan persembahan jelajah kami yang sepatutnya bermula di Kilang Bateri, Johor Baru.

Estranged tidak mahu ada artis lain ditipu oleh individu berkenaan. 
"Tetapi kami mengambil keputusan untuk terus menguatkan semangat demi peminat dan meneruskan perjalanan karier muzik kami dengan azam yang lebih kuat dengan sebaik mungkin," kata kumpulan itu lagi.

Sementara itu, Estranged memberitahu, pihaknya mengambil keputusan untuk mendedahkan tentang perkara itu kerana tidak mahu artis atau pemuzik lain terperdaya dengan individu sama.

Ini kerana, individu berkenaan dikatakan sedang cuba mendekati pemuzik dan artis lain dengan tawaran sama dengan niat untuk memperdayakan mereka.

"Perkara ini amat memalukan untuk kami dedahkan kerana ia mungkin menjejaskan imej kami sebagai artis dan pemuzik.

"Kami tidak boleh berdiam diri dan mengambil keputusan untuk mendedahkan perbuatannya agar tiada artis lain yang terpedaya dengan helah dan penipuan individu itu," kata kenyataan itu lagi.

Dalam perkembangan sama, Estranged memberitahu pihaknya menerusi peguam mereka telah memfailkan saman terhadap individu berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu.

Menerusi saman berkenaan pihak kumpulan itu menuntut ganti rugi sebanyak RM100,000 selain beberapa ganti rugi lain yang akan bakal ditafsirkan oleh mahkamah.

Satu sidang media bagi menjelaskan mengenai hal berkenaan secara terperinci akan diadakan pada 4 Januari 2017.

Wednesday, December 28, 2016

Nassier Wahab Jadi Perhatian Ketika Lakukan Umrah



Nassier Wahab akan menyampaikan 18 buah lagu pada persembahan istimewa yang akan diadakan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1 Januari ini. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nassier Wahab terkejut apabila menjadi perhatian peminat dari Malaysia yang ingin bergambar dengannya ketika mengerjakan ibadah Umrah di Mekah pada 6 sehingga 16 Disember lalu.
Nassier, 54, berkata, sepanjang tiga kali melakukan Umrah sebelum ini dia tidak pernah mengalami kejadian itu namun menganggap ia sebagai satu pengalaman manis ketika berada di kota suci itu.

"Ke mana sahaja saya pergi memang akan terserempak dengan rakyat Malaysia dan mereka akan meminta untuk bergambar dengan saya.

"Ada beberapa kejadian saya berada dalam masjid untuk solat sunat pun ada yang menegur dan bergambar," katanya.

Nassier ditemui pada sidang media Showcase Nassier Wahab Celebrating 30 Years di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.

Persembahan istimewa itu bakal diadakan pada 1 Januari depan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada pukul 5 petang.
Nassier bakal tampil dalam sebuah persembahan istimewa bersempena ulangtahun ke-30 penglibatannya dalam bidang seni.
Dalam pada itu, Nassier berkata, walaupun sentiasa disapa peminat namun ia langsung tidak menggangu perjalanan ibadah namun ia dipermudahkan.

"Alhamdulillah perjalanan Umrah saya kali ini lancar dan dipermudahkan mungkin kerana salah satunya saya gembirakan orang-orang yang saya temui di sana.

"Mungkin menyapa dan mengambil gambar adalah kecil tetapi pada mereka besar ertinya.

"Saya juga sentiasa berdoa kepada Allah agar dipermudahkan dan Alhamdulillah ia termakbul," ujarnya.

Sementara itu, Nassier berkata, ketika berada di Masjidil Haram dia tidak menyangka dipertemukan dengan seorang peminat setianya yang sebelum ini hanya berhubung melalui WhatsApp.

"Sebelum ini peminat saya itu setiap hari akan menghantar kata-kata motivasi dan doa di WhatsApp saya tetapi kami tidak pernah bertemu.
Nassier baharu sahaja pulang daripada mengerjakan Umrah.
"Bagaimanapun kuasa dan izin Allah kami bertemu dalam Masjidil Haram dan individu berkenaan cukup terkejut melihat saya dan menyifatkan doanya untuk bertemu saya dimakbulkan," katanya.

Bercakap lanjut mengenai persembahan bersempena 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni, Nassier berkata, dia memilih untuk mengadakan showcase berbanding konsert berskala besar kerana ingin meraikan peminat dalam suasana eksklusif.

Kata Nassier, Hard Rock Cafe dilihat sebagai lokasi sesuai kerana ia tidak terlalu besar mahupun kecil dan sesuai untuk tujuan itu.

"Sebagai permulaan biarlah saya buat secara kecil sahaja dahulu tambahan pula saya mahu berada dekat dengan peminat, rakan-rakan dan keluarga pada petang itu nanti.

"Insya-Allah kami ada juga perancangan adakan persembahan berskala besar dan menjelajah ke seluruh Malaysia.

"Bagi menyambut 30 tahun saya dalam industri, saya fikir Hard Rock Cafe sudah cukup sesuai dan paling penting peminat yang datang terhibur," jelasnya.
Tambah Nassier lagi, dia terharu apabila peminat dari Singapura dan Brunei turut menyatakan keterujaan untuk hadir dan ia menambahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik pada 1 Januari nanti.

"Showcase ini santai-santai sahaja kerana saya melihat ia sebagai acara pertemuan semula saya dengan peminat dari dalam negara termasuk Singapura, Brunei, rakan-rakan artis dan keluarga.

"Insya-Allah saya akan sampaikan 18 buah lagu terbaik saya menerusi tiga segmen pada persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.

"Malah saya akan luangkan masa bersama sesi bertemu peminat selepas persembahan selesai nanti," katanya.