Monday, November 15, 2010

Welcome Home Community Kembalikan Harapan Pesakit HIV

Di bangunan inilah pesakit-pesakit HIV pelbagai kaum dan agama yang disisih keluarga berlindung.

SEBUAH lagi penempatan yang ditubuhkan dengan matlamat membantu memulihkan pesakit Aids/HIV ialah Welcome Community Home yang terletak di Batu Arang, Selangor.

Sama seperti Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, kedua-dua penempatan ini bukan sahaja menawarkan perlindungan, malah turut mementingkan penjagaan sempurna pesakit terutama yang hilang arah serta tiada tempat berteduh.

Gerard

Walaupun masing-masing giat memperjuangkan hak pesakit HIV, sedikit perbezaan wujud di antara Darul Ukhuwah dan Welcome Community Home.

Di Darul Ukhuwah penghuninya dibiasakan dengan gaya hidup Islamik manakala Welcome Community Home pula mengetengahkan konsep bebas dan bersifat universal.

“Kita membuka pintu untuk semua pesakit HIV tidak kira bangsa dan agama. Ini sebagai tanda kita amat menghormati sesama manusia dan tidak membeza-bezakan antara satu sama lain,” kata Pentadbir Welcome Community Home, Anthony Gomez ketika ditemuramah Mingguan mStar.

Pesakit yang pulih sepenuhnya bertanggungjawab menjaga rakan-rakan lain.

Rumah perlindungan HIV yang terbesar di Malaysia ini mula menerima pesakit HIV secara rasminya pada 1998 lantaran 10 penagih dadah yang dilindungi selama lima tahun sebelum itu tiada tempat untuk meneruskan hayat masing-masing.

“Mereka yang ketika itu berlindung di sebuah pusat perlindungan di Bukit Nenas, Kuala Lumpur dipindahkan ke sebuah rumah di Batu Arang.

“Melihat penderitaan mereka menghidap HIV, selain jumlah pesakit bernasib sama semakin bertambah, mereka dipindahkan ke bangunan ini pada 2008,” Anthony menceritakan sejarah dan latar belakang penubuhan pusat perlindungan ini.

Dua insan yang bertindak sebagai pengasas dengan memulakan aktiviti kebajikan ini ialah Anthony Rogers dan Alex Arokiam.

Seiring dengan prinsip dan ajaran Katolik yang dianuti, amat penting sekali untuk mereka mempraktikkan fahaman tersebut dengan memberi kasih-sayang kepada pesakit dan menjaga maruah sesama manusia.

Menurut Anthony, terdapat lima pendekatan yang diterapkan terhadap semua penghuni di sini iaitu mengutamakan Tuhan, kesihatan, makanan, senaman dan kepentingan mengambil berat antara satu sama lain.

Setiap penghuni digalakkan melakukan kerja-kerja ringan.

Setiap hari, penghuni bebas bergaul dan melakukan aktiviti harian selain digalakkan menunaikan ibadat mengikut agama masing-masing.

“Hari Jumaat kita akan hantar dan jemput mereka yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid,” katanya.

Namun, aspek penjagaan kesihatan dan mengambil ubat mengikut jadual paling dititik beratkan oleh pengurusan pusat perlindungan ini.

Sehingga kini, pusat perlindungan ini mempunyai 38 penghuni yang terdiri daripada kaum Cina, India, Melayu dan lain-lain.

Penghuni diberi makanan yang baik dan menyihatkan.

Cabaran tetap ada

DI bangunan dua tingkat yang terletak di tanah berkeluasan dua ekar itu, setiap penghuni perlu melakukan kerja-kerja ringan seperti menyapu dan membersihkan kediaman.

“Setiap penghuni ada tugas masing-masing walau tidak tetap. Melakukan kerja-kerja, walaupun ringan penting untuk perkembangan minda,” katanya.

Satu perkembangan positif apabila terdapat juga penghuni yang telah pulih ‘dilantik’ sebagai salah seorang sukarelawan di situ bagi membantu rakan-rakan lain.

“Kita juga buat projek khas bagi membuka peluang pekerjaan buat penghuni yang mampu bekerja. Projek seperti penternakan ayam dibuat memandangkan mereka sukar diterima bekerja oleh majikan di luar sana,” katanya.

Anthony (berdiri dua dari kiri) sedang beramah mesra dengan penghuni-penghuni.

Berdasarkan pemerhatian, Anthony tidak menafikan masyarakat hari ini masih sukar menerima pesakit-pesakit HIV walaupun mereka telah pulih dan mampu hidup normal.

Malah, timbul juga masalah dalam mencari sukarelawan dan pekerja yang sanggup berkhidmat dengan badan kebajikan itu.

“Tetapi kita amat beruntung kerana ramai juga doktor yang menganut fahaman Katolik. Mereka sudi membantu faham tentang kerja kebajikan,” katanya yang juga berkhidmat secara sukarela di situ selepas bersara.

Welcome Home Community dikendalikan oleh tiga jururawat berkelayakan, lima penjaga dan doktor serta kaunselor yang datang mengikut jadual.

Selain itu, terdapat juga pasangan suami-isteri dari Perancis, Gerard dan Beatrice yang menghulurkan khidmat secara sukarela di negara ini.

Secara purata, pusat perlindungan ini membelanjakan lebih daripada RM500 ribu setahun bagi menampung keperluan makan minum, penjagaan dan operasi.

Peruntukan diterima daripada Majlis Aids Malaysia (MAC) dan komuniti Katolik itu sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: