Monday, November 15, 2010

MIFW 2010: BDA Dedah Potensi Terbaik Tanah Air

Amir Luqman (depan) mengetuai catwalk memperagakan koleksi anggunnya pada BDA: Fashion Obsession.

MINGGU Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2010 melabuhkan tirainya minggu lalu, setelah berlangsung selama lima hari bermula 2 November.

Disulami glamor dan kehalusan buatan tempatan, para pereka handalan tanah air berjaya membuktikan kesungguhan masing-masing dengan gaya tersendiri menerusi fiesta fesyen terbesar negara pada tahun ini.

Presiden BDA, Mahani Awang.

Para penonton dihiburkan dengan kepelbagaian koleksi rekaan dari fesyen avant-garde dan himpunan unik haute couture sehinggalah rangkaian busana sedia dipakai yang moden, praktikal dan selesa untuk fashionista masa kini.

Salah satu acara yang mendapat sambutan hangat sepanjang berlangsungnya MIFW adalah slot Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) yang menampilkan jenama tersohor Amir Luqman, Sasha Rowena, Bella ‘LaBelle, Rico Rinaldi, Wan Huzairil, Wanpa dan ramai lagi.

Cosmic oleh Wanpa rekaan Ridzuan Ismail dan Rashid Omar dengan suntikan interpretasi moden.

Menurut Presiden BDA, Mahani Awang, sehingga kini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mewakili lebih 200 pereka fesyen bagi membantu golongan itu meningkatkan lagi potensi rekaan sehingga menubuhkan label sendiri apabila kukuh kelak.

“Namun tidak semua mempunyai butik sendiri, ramai juga yang hilang begitu sahaja apabila gagal memenuhi perubahan trend dan inovasi fesyen. Hari ini mereka bernasib baik apabila diberi peluang muncul di MIFW dan acara seumpamanya seperti Stailo,” katanya.

Mahani juga mengakui bahawa peningkatan portfolio para pereka muda hari ini mampu berkembang dengan lebih pantas apabila diberi peluang mendedahkan hasil rekaan masing-masing bagi membuktikan saingan di negara serantau dan seterusnya peringkat antarabangsa.

Bagi Naib Presidennya, Bon Zainal, harapan terhadap bakat tempatan semakin memuncak bukan sahaja dalam menampilkan idea dan trend baru malah dalam menghasilkan rekaan berkualiti tinggi agar mampu bersaing di pentas dunia.

“Yang penting jangan lupa ‘have fun’ (bergembira) kerana ‘fashion is fun’ (fesyen menyeronokkan), apabila kita gembira maka idea itu akan membayangi rekaan dengan kemasan menarik, rona-rona ceria yang menambat perhatian dan banyak lagi!” kata beliau yang mementingkan struktur pada koleksi sut lelakinya.

Bon Zainal

Seramai 30 pereka bumiputra menghangatkan pentas MIFW dengan koleksi hebat antaranya previu sut wanita oleh Bon Zainal (turut menampilkan Amir Luqman sebagai model) dengan kemeja kasual seksi untuk lelaki sebenar selain keanggunan koleksi avant-garde dari 5Stars iaitu sahabat baik - Zery Zamry, Hatta Dolmat, Hazwani Osman, Rizman Ruzaini dan Nik Erwan Roseli.

Sebelum itu, Bella ‘LaBelle mempesonakan penonton dengan persembahan busana anggun, sofistikated dengan siluet ringkas tanpa mengabaikan glamor pada koleksi praktikal untuk wanita moden bekerjaya selain Amir Luqman sendiri, dibawah jenama yang sama tidak mengecewakan dengan busana ala French chic termasuk kemasan renda Perancis melengkapinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: