Thursday, November 26, 2009

Tumpang populariti?


KEHADIRAN Ekin dalam program Langkah Mawi World adalah dengan kehendak Mawi sendiri.

Mawi bela Ekin yang dikatakan sekadar penyeri program travelogue, Langkah Mawi World

SEJAK mendirikan rumah tangga, tidak dinafikan pasangan ini bagaikan belangkas. Ke mana saja Mawi pergi, pasti akan ditemani isterinya yang tercinta, Ekin. Malah, Ekin juga kelihatan turut menemani untuk apa saja acara yang membabitkan belahan jiwanya. Namun apabila Ekin juga muncul dalam program bercorak travelogue berjudul, Langkah Mawi World, yang menjalani penggambaran di tiga lokasi menarik iaitu Melbourne, Sri Lanka dan Hong Kong, ramai yang tertanya-tanya apakah fungsinya Ekin dalam program itu.

Sewaktu melihat trailer program yang bakal disiarkan di Astro Ria 25 November ini, peranan Ekin dilihat tidak lebih sekadar penyeri semata-mata. Malah terselit juga babak romantis membabitkan pasangan suami isteri itu. Tentunya pemandangan ini memberikan perasaan yang kurang senang di kalangan penonton dan menganggap Ekin sengaja hendak tumpang sekaki memandangkan produksi yang menerbitkan program itu adalah milik suaminya sendiri.


Pun begitu, ketika diajukan soalan itu, Mawi menjelaskan kemunculan Ekin dalam program itu adalah dengan kehendak dirinya sendiri.

“Memandangkan semua orang sudah tahu yang kami sudah berkahwin jadi biarlah Ekin turut serta dalam program ini. Kalau dulu saya solo, kini dia menjadi tulang belakang yang menyokong kerjaya saya. Lagipun, Ekin tidak tampil dalam program ini secara keseluruhan. Dia cuma muncul untuk segmen tertentu saja.

“Lagipun melalui program ini sengaja kami mahu mewujudkan suasana bulan madu memandangkan sewaktu penggambaran diadakan, kami baru berkahwin. Jadi kemunculan Ekin juga perlu untuk mewujudkan elemen drama. Selain itu, Ekin juga banyak memainkan peranan khususnya untuk adegan drama, bahkan dia akan menjadi penyelamat keadaan jika saya terlupa maklumat mengenai sesuatu,” kata Mawi ketika ditemui pada majlis pelancaran syarikatnya MW Entertainment Sdn Bhd dan program Langkah Mawi World di Palace of the Golden Horses, baru-baru ini. Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

KETIKA menjalani penggambaran di Melbourne.

Alang-alang bergelar penerbit, Mawi turut ditanya tidak dia teringin menghasilkan sebuah program yang akan menampilkan Ekin sebagai pengacara.

“Kalau Ekin benar-benar bersedia untuk menggalas tanggungjawab itu, saya tak ada masalah untuk melakukannya. Mungkin saya akan menerbitkan sebuah program berbentuk majalah fesyen kerana sebelum ini pun dia mempunyai pengalaman mengacarakan sebuah program busana muslimah di saluran Oasis,” ujar Mawi sambil mengukir senyuman.

Selain menerbitkan Langkah Mawi World, penyanyi berusia 28 tahun itu turut mengorak langkah dengan percubaan sulungnya sebagai penerbit menerusi drama istimewa sempena Aidilfitri lalu iaitu Bini Baru, Rumah Baru, Baru Raya yang juga menampilkan Ekin sebagai salah seorang pelakonnya di samping kembarnya, Aenn.

Sentiasa beringat era pasang, surut


SESUATU yang harus diakui apabila menjalani kehidupan sebagai anak seni adalah hidup sentiasa ada pasang dan surutnya. Tak semua yang di atas itu akan kekal dan begitulah sebaliknya.Justeru, bagi meneruskan langkahnya dalam bidang yang diceburi sejak empat tahun ini, Mawi membuat pilihan untuk meluaskan empayar perniagaannya dengan menubuhkan MW Entertainment Sdn Bhd.Untuk syarikatnya itu, Mawi memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan.

Puas bergelar penyanyi dan kini semakin membina nama dalam bidang lakonan, Mawi mencuba nasib menjadi usahawan meneruskan syarikat yang sudah pun beroperasi sejak dua tahun lalu. Mengulas tanggungjawab barunya itu, jejaka dari Felda Taib Andak Johor ini menjelaskan apa yang dilakukannya itu adalah sebagai satu jaminan masa depan.

“Kawan-kawan saya sendiri sentiasa menasihatkan saya supaya membuat pelaburan yang boleh menjamin masa depan. Sentiasa beringat bahawa kehidupan sebagai anak seni ini tak selalunya indah sentiasa. Macam saya sendiri, tidak dinafikan tawaran membuat persembahan memang tidak sekencang dulu. Jadi saya rasa inilah masanya untuk kita ceburi perniagaan lain yang boleh dijadikan mata pencarian,” kata Mawi lagi sambil memberitahu syarikatnya itu turut menjalankan perniagaan pengurusan acara, perhubungan awam dan pengurusan artis.

Ditanya bagaimanakah perasaannya selepas bergelar penerbit, Mawi berkata banyak perkara baru yang dapat dipelajarinya.

“Jika sebelum ini untuk program Langkah Mawi musim pertama semuanya diuruskan Maestro selaku penerbit, kali ini memang berbeza sedikit kerana semuanya saya perlu ambil tahu iaitu dari peringkat pre produksi sehinggalah pos produksi. Saya juga yang menguruskan soal penajaan lokasi, skrip dan sebagainya. Memang penat tetapi seronok dan puas hati kerana dapat melihat hasil usaha kita sendiri,” cerita Mawi dalam nada teruja.

Sambil meletakkan sasaran lima tahun untuk produksinya itu menerbitkan filem cereka, Mawi berkata dia kini sedang merangka sebuah telefilem berjudul Jiwa Kacau arahan Rahila Ali dan sebuah drama bersiri 13 episod mengenai pasangan adik beradik kembar.

“Saya dan Ekin akan ke Korea bulan depan untuk meninjau lokasi menarik di sana untuk projek drama berdiri ini dan alang-alang berada di sana, kami juga akan berbulan madu sekali lagi di sana. Buat masa ini tajuk drama itu masih belum diputuskan lagu tapi saya mungkin akan buat penampilan istimewa dalam drama itu,” cerita Mawi lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: