Thursday, November 5, 2009

Terjaminkah masa depan selebriti?




Bila nama seseorang artis berada di puncak, maka bergoleklah tawaran yang datang kepada mereka. Ini kerana apa jua produk yang menampilkan wajah artis popular pasti laris bak pisang goreng panas.

Ada sesetengah artis popular yang lebih senang bergerak bebas dan menerima tawaran daripada ramai penerbit mahupun stesen televisyen tetapi ada sesetengah pula sanggup diikat dan terikat dengan hanya sebuah stesen televisyen sahaja. Lebih pelik, apabila selebriti yang bersetuju berbuat demikian adalah mereka yang layak bergelar hero dan heroin Malaya.

Bagaimanapun kalau difikirkan kembali pastinya nilai ikatan yang diterima oleh artis itu bukanlah secara percuma. Ia datang dengan pakej mengikut kontrak atas persetujuan bersama termasuk bayaran wang yang dikatakan agak lumayan.

Astro merupakan satu-satunya stesen televisyen yang memperkenalkan wajah eksklusif Astro iaitu Erra Fazira, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Farid Kamil menerusi kempen Astro Megadrama pada tahun 2008.

Ini bermakna wajah keempat-empat selebriti terkenal ini hanya boleh dilihat di Astro jika ia melibatkan lakonan dalam drama.

Tidak ketinggalan pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi dan penghibur terkenal, Anita Sarawak yang turut diikat bersama Astro.

Satu nilai penting yang tidak dapat disangkal sementelah selebriti yang dipilih menjadi wajah eksklusif adalah selebriti ini mempunyai peminat yang ramai dan mempunyai nama besar.

Bagaimanapun jika diteliti dengan lebih mendalam, nilai eksklusif ini tidak hanya membawa kebaikan, kerana kesan jangka masa panjang mungkin boleh memakan diri artis sendiri.


ASTRO mengatur drama untuk Erra, Lisa dan Farid agar mereka sentiasa muncul dalam drama atau program yang disiarkan stesen itu.


Bayangkan jika kontrak wajah eksklusif mereka itu tidak diperbaharuhi persoalannya, adakah stesen televisyen lain akan membenarkan wajah artis tersebut terpampang di stesen mereka sedangkan selama ini wajah artis tersebut cukup sinonim dengan Astro?

Memang ada benarnya, nilai eksklusif boleh membunuh bukan sahaja kerjaya artis pada kemudian hari bahkan juga industri penerbitan drama itu sendiri.

Rugikan artis

Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff Rosli, apabila seseorang artis itu bersetuju untuk diikat dengan sebuah stesen televisyen, maka stesen televisyen lain tidak boleh menggunakan khidmat artis tersebut. Ia sudah dikira seperti memonopoli serta mengambil kesempatan di atas populariti mereka.

"Saya memang tidak berapa setuju dalam apa jua urusan apabila membabitkan isu monopoli kerana saya tidak nampak kebaikan daripadanya.

"Jika boleh diberi peluang kepada semua penerbit untuk menggunakan khidmat artis popular yang diikat ia akan memberi manfaat kepada industri," ujarnya.

Tambahnya lagi, artis yang tidak diikat mendapat banyak faedah kerana mereka berpeluang berlakon dalam pelbagai genre drama dan ini bagus sebagai saingan yang sihat untuk stesen televisyen.

"Apabila hak eksklusif diwujudkan, ada pihak yang kecewa bukan sahaja penerbit bahkan stesen televisyen yang lain kerana tidak boleh menggunakan khidmat seseorang artis.

"Setahu saya, wajah eksklusif Astro, mereka dibenarkan berlakon filem cuma jika membabitkan drama mereka terikat di Astro. Sebenarnya stesen televisyen tidak rugi.

"Bagi saya yang ruginya adalah artis itu sendiri kerana jika kontrak tidak disambung ia mungkin menyukarkan perjalanan seni mereka selepas itu," terangnya.

Bagaimanapun Jurey tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memberikan idea hak eksklusif ini kerana ia bukan salah artis atau pihak Astro.

"Artis menggunakan peluang yang ada ketika mereka popular dan Astro gunakan sumber kewangan yang ada untuk menaikkan rating, Astro bijak menggunakan strategi. Soalnya lepas kontrak habis macam mana nasib artis yang diikat itu?" luahnya.

Ulas Jurey lagi, hak eksklusif bukan sahaja dibuat di Astro tetapi juga stesen lain. Bezanya pihak Astro mempunyai kontrak dengan artis eksklusif mereka tetapi tidak bagi stesen televisyen yang lain.

"Dalam keadaan sekarang penerbit berada dalam dilema kerana pilihan pelakon untuk sesebuah drama telah dikawal oleh pihak stesen TV.

"Mereka akan menyenaraikan pelakon mana yang perlu berlakon dalam drama atau pun program siaran mereka dan kami sebagai penerbit hanya terpaksa akur.


Anita muncul dalam pelbagai program terbitan Astro seperti Kwek Mambo.


"Kalau kita tidak akur nanti tidak ada projek pula. Kami terpaksa ikut prosedur meskipun kadangkala nama yang dicadangkan oleh pihak stesen tidak sesuai dalam drama itu," katanya sedikit kecewa.

Pendapatan terjamin

Meskipun terdapat pelbagai faktor negatif dek kewujudan wajah artis eksklusif ini, masih ada pihak yang memandang ia satu perkara positif.

Mengulas lebih lanjut tentang hak eksklusif di Astro, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah berkata, pelantikan wajah eksklusif bukan sahaja dinilai dari sudut komersial tetapi juga sebagai sumbangan komuniti kepada masyarakat.

Ini kerana, setiap artis yang dipilih itu amat dekat dengan khalayak ramai, malah menjadi idola dan ikutan selain mereka juga menjadi duta kepada produk-produk yang ada di Astro.

Bukan mudah sebenarnya untuk memenuhi segala kriteria yang dicari oleh pihak Astro sebelum seseorang selebriti layak menjadi wajah eksklusif. Ini kerana Astro telah menjalan kajian secara terperinci sebelum membuat tawaran kepada selebriti.

"Pemilihan wajah eksklusif berdasarkan faktor-faktor seperti bakat, pesona dan karisma yang gemilang, populariti, pengalaman, pencapaian serta sumbangan mereka kepada seni tanah air.

"Peribadi yang bersih juga dititikberatkan dan paling penting, diterima khalayak audiens atau pasaran. Prosedur biasa yang kami lakukan adalah meneliti senarai artis, menyenaraipendekkan nama artis ini kepada mereka yang benar-benar memenuhi kriteria dan berbincang bersama-sama tenaga kerja Astro.

"Kami juga menentukan, berapa jam atau episod yang diperlukan daripada mereka, di saluran manakah artis ini paling sesuai muncul dan adakah peribadi mereka sepadan dengan sasaran penonton sesuatu saluran itu. Kesimpulannya, pengambilan artis eksklusif ini adalah bersandarkan perancangan dan strategi," terangnya.

Tambah Zainir lagi, pelantikan artis seperti pelakon menjadi wajah eksklusif Astro turut memberi pulangan dan kelebihan kepada mereka sendiri bukan sahaja pada pihak stesen.

"Pendapatan mereka terjamin dan peluang berlakon tersusun dan berjadual mengikut tempoh kontrak, jadi mereka tidak perlu bimbang tentang pendapatan bulanan mereka," ujarnya.

Sungguhpun begitu, pihak Astro sedar jika menggunakan wajah yang sama terlalu kerap akan membuatkan penonton berasa bosan.

Disebabkan itu, setiap program dan drama yang membabitkan artis eksklusif akan disusun dengan baik supaya tiada program yang menyiarkan wajah mereka bertindan antara satu sama lain.

Zainir menambah, meskipun Astro telah memiliki barisan selebriti eksklusif itu tidak bermakna mereka mengetepikan pelakon yang lain.

Bagi artis popular Aznil Nawawi yang sudah bersama Astro sejak tahun 2003 ketika menjadi pengacara program realiti popular Akademi Fantasia dan secara rasminya menandatangani kontrak bersama Astro pada tahun 2004, tiada yang lebih baik apabila mempunyai pendapatan yang tetap.

Kontrak sampai 2017

Dek kepercayaan dan kewibawaan yang dimiliki Aznil, pihak Astro telah menyambung kontraknya sehingga tahun 2017, maknanya selama 15 tahun Aznil cukup setia menabur bakti bersama Astro setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang pengacaraan.

Kini, Aznil bukan sahaja bergelar pengacara untuk program kanak-kanak popular, Tom Tom Bak, tetapi juga program hiburan Jangan Lupa Lirik serta penyampai radio di stesen radio ERA.

"Saya tidak lihat eksklusif ini dari sisi negatif kerana bukan sahaja stesen televisyen yang mendapat faedah daripadanya tetapi juga kita sebagai artis," katanya.


AZNIL ditawarkan kontrak bernilai jutaan ringgit agar terus kekal dan setia menyumbang kreativiti bersama Astro.


Beritahu Aznil, selain tawaran yang bagus faktor usia menjadi penyebab utama mengapa dia sanggup menjadi artis eksklusif Astro.

"Umur saya makin lama, makin tua. Dulu muda-muda bolehlah kejar sana, kejar sini. Minta tawaran dari satu stesen ke stesen yang lain tetapi rezeki yang diperoleh tidak tentu dan tetap.

"Saya perlukan jaminan kerja yang tetap bila semakin berusia, jadi bila menjadi eksklusif di Astro tidak secara langsung saya juga seperti kakitangan Astro yang lain.

"Apabila kerja yang dilakukan tetap, saya menjadi yakin dan setia pada Astro. Jika dulu kerja hanya untuk sebuah program tetapi kini saya turut terlibat dan mempunyai matlamat untuk menaikkan program yang diterbitkan oleh Astro," terangnya.

Tegas Aznil, nilai eksklusif tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja tetapi kedua-dua pihak yang terlibat. Apabila bercakap tentang hak eksklusif, pastinya ia membabitkan wang yang lumayan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

"Berbanding dulu jika tidak diikat, jumlah wang yang diterima bergantung kepada budi bicara pihak produksi sahaja, kalau banyak baguslah, kalau sikit pun terima sebab kalau saya tolak mereka dengan senang boleh cari orang lain untuk ganti," kata Aznil jujur.

Selain itu bagi Aznil, apabila diikat secara eksklusif, ia sebenarnya satu penghormatan kerana bukan mudah untuk sebuah stesen televisyen mengambil seseorang artis itu wajah stesen mereka.

"Apabila ditawarkan menjadi wajah eksklusif, secara automatik saya tahu tahap saya berada di peringkat mana. Bukan saya sahaja melihat kelebihan yang ada pada kontrak tetapi pihak stesen juga akan nilai kita sama ada sesuai atau tidak," katanya yang juga bergelar perunding kreatif Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: