Saturday, November 21, 2009

'Tak Adil Bandingkan Saya Dengan Faizal' - Shila

Shila akui membawakan lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu sememangnya cukup mencabar buat dirinya

KETIKA menerima tawaran untuk menggantikan penyanyi asalnya, Faizal Tahir bagi membuat persembahan di separuh akhir Muzik-Muzik malam tadi, Shila sudah bersedia untuk menerima pelbagai kritikan daripada peminat-peminat penyanyi itu.

Membawakan lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu sememangnya cukup mencabar buat dirinya apatah lagi lagu tersebut popular di 'tangan' Faizal.

Namun, misi Shila pada malam itu adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh Audi dan Faizal sebaik mungkin serta berharap peminat-peminat penyanyi itu tidak membandingkan dirinya dan Faizal.

Ternyata, walaupun hanya mempunyai masa latihan yang singkat, Shila akui dia sudah melakukan yang terbaik dan tumpang berbangga apabila lagu itu berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) bersama 13 buah lagu lain yang akan berlangsung pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

"Audi dan Faizal hubungi saya sendiri dan minta saya ganti menyanyikan lagu ini. Saya memang terkejut pada mulanya kenapa saya yang diberi peluang ini.

"Tetapi saya tidak kisah untuk lakukannya kerana mereka adalah kawan saya. Mereka juga pesan supaya tidak perlu rasa tertekan. Apapun, saya sudah buat yang terbaik. Kalau ada yang tidak suka persembahan saya tadi, saya tidak boleh cakap apa.

Faizal tetap mempunyai peluang untuk kembali beraksi di AJL24, bergantung kepada keadaan kesihatannya

"Cuma bagi saya, tidak adil bandingkan saya dengan Faizal kerana saya suara perempuan, dia suara lelaki," kata Shila pada sidang media setelah berakhirnya program itu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Shila dipilih menggantikan Faizal pada saat-saat akhir setelah penyanyi itu dimasukkan ke hospital beberapa hari lepas sebaik mengadu sakit dada. Faizal kini masih ditahan di hospital untuk rawatan lanjut selepas mendapati muntahnya turut mengandungi darah.

Pemeriksaan awal mendapati penyanyi itu mungkin terkena jangkitan kuman pada paru-parunya.

Dalam pada itu, ditanya andai kata dia masih diberikan peluang untuk beraksi di malam kemuncak AJL24 nanti, Shila yang merupakan naib juara One In A Million musim kedua ini berkata:

"Jika diberi peluang untuk menyanyi di peringkat akhir nanti, saya akan terus memberikan yang terbaik untuk lagu tersebut dan pastinya saya mempunyai masa untuk membuat persiapan."

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria berkata, Faizal masih berpeluang untuk mengambil semula 'tempatnya' pada AJL24 nanti jika sudah sembuh dan boleh melakukan persembahan.

"Kalau boleh, memang kita mahukan Faizal sendiri yang beraksi pada malam ini, tetapi nak buat macam mana kerana pada saat akhir, dia mengalami masalah kesihatan dan tempatnya terpaksa digantikan dengan orang lain.

"Tetapi untuk peringkat akhir nanti, jika dia sudah sembuh, kita akan beri peluang kepadanya untuk beraksi semula. Andai kata ketika itu dia masih belum sembuh, ia terpulang kepada pihak syarikat rakaman naungannya, Monkey Bone untuk membuat keputusan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: