Saturday, November 21, 2009

Dua Lagu Nyanyian Aizat Mara Ke AJL24

Aizat berjaya ke AJL24 menerusi dua buah lagu, Kau Aku dan Pergi

SHAH ALAM: Dua buah lagu nyanyian Aizat, iaitu Kau Aku dan Pergi adalah antara 14 buah lagu yang berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

Aizat 'mendominasi' penyertaan di AJL24 apabila menjadi satu-satunya penyanyi yang mempertaruhkan lebih sebuah lagu pada acara kemuncak itu kelak.

Lagu Kau Aku merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Aizat manakala Pergi pula dicipta oleh Pete Teo dan lirik oleh Amran Omar yang juga merupakan lagu runut untuk filem Talentime, arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Selain dua buah lagu itu, turut berentap pada peringkat akhir nanti ialah Aurora nyanyian Estranged ciptaan serta lirik oleh kumpulan itu sendiri, Bengang (Akim/Amir/Sheikh Qalam), Aku Skandal (Hujan/Noh), Tak Mungkin Kerana Sayang (Alyah/Ajai/Habsah Hassan), Masih Jelas (Hafiz/Aidit Alfian/Ad Samad), Pakai Buang (Stacy/Edry) dan Cinta Adam dan Hawa (Misha Omar/Azmeer/Loloq).

Penyanyi yang berjaya membawa 'fenomena' baru di dalam industri hiburan, Yuna juga layak ke peringkat akhir AJL24 dengan lagu Dan Sebenarnya

Turut melayakkan diri ialah lagu Bencinta nyanyian Shila OIAM menggantikan penyanyi asalnya Faizal Tahir ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri, Aku Rindu Sayang Kamu (Black/Yuzai), Dan Sebenarnya (Yuna/Yuna, Paan, Efry dan Aidil), Situasi (Bunkface/Sam) dan Rindu Terhenti (Tomok/Aubrey Suwito/Tinta).

Lagu Bencinta malam tadi dipersembahkan oleh Shila OIAM menggantikan Faizal yang kini ditahan di sebuah hospital swasta setelah mengadu sakit dada beberapa hari lepas.

Lagu-lagu yang layak ke peringkat akhir itu diumumkan oleh tiga hos Muzik-Muzik, Cheryl Samad, Ezlynn dan Faizal Ismail setelah berakhirnya pusingan ketiga separuh akhir program itu, malam tadi.

Empat belas buah lagu yang terpilih itu dibuat berdasarkan 30 peratus markah persembahan pada pusingan separuh akhir yang berlangsung di dalam tiga peringkat dan dicampur dengan 70 peratus markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan.

Misha satu-satunya penyanyi 'senior' yang akan beraksi di AJL24

Barisan juri profesional yang terlibat ialah Azlan Abu Hassan, Moharis Yaakub, Ahadiah Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan yang bertindak selaku ketua juri.

AJL24 kali ini menyaksikan semua lagu bertanding tanpa kategori utama iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif.

Sebanyak 112 lagu telah dicalonkan sepanjang tahun ini iaitu mulai 4 April hingga 17 Oktober 2009 dan 30 buah lagu akhirnya terpilih untuk dipertandingkan ke peringkat separuh akhir.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan untuk separuh akhir Muzik-Muzik dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

Separuh akhir bahagian 1 (11 lagu) telah diadakan pada 6 November lalu, bahagian 2 (11 lagu) berlangsung pada 13 November lalu manakala bahagian 3 (8 lagu) diadakan pada malam tadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: