MARSHA Milan Londoh atau lebih dikenali sebagai Marsha tidak menghadapi apa-apa masalah apabila membintangi watak Zuraidah dalam filem lakonan terbarunya iaitu ‘Senario The Movie Episode 2: Beach Boys’ di bawah arahan Ahmad Idham.
Ini adalah kerana watak Zuraidah seolah-olah dicipta khas untuknya.
"Saya rasa lakonan saya sebagai Zuraidah agak baik kerana watak itu memerlukan seseorang yang boleh bercakap dalam slanga Sabah.
"Memandangkan saya berasal dari Sabah, saya tidak menghadapi apa-apa masalah semasa membintangi filem tersebut," kata gadis yang kelihatan seksi dalam tiub berwarna kelabu pada tayangan perdana filem itu di Cathay Cineplex, The Curve, Damansara, hari ini.
Filem itu bakal ditayangkan dalam semua pawagam di seluruh negara mulai 19 November ini.
Ini merupakan kali pertama aktres dan penyanyi ini berlakon dibawah arahan Ahmad Idham dalam filem yang berunsurkan komedi itu.
Apa yang membuat Marsha rasa senang berlakon di dalam filem ini kerana semua yang terlibat mempunyai personaliti yang riang.
Zuraidah adalah watak gadis Sabah yang lasak dan sentiasa bergaduh dengan pasangannya Mazlan (lakonan Mazlan Pet Pet).
"Pada mulanya saya menyangka abang Mazlan Pet Pet adalah seorang yang serius, tetapi selepas mengenalinya dengan lebih rapat, baru saya sedar yang memang senang untuk saya bekerja dengannya," ujar Marsha lagi.
Bintang rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini, kini sedang sibuk mempromosikan singlenya yang bertajuk Yang Terbaik. Liriknya ditulis oleh Edry KRU.
Sementara itu, Marsha menggambarkan pengarah Ahmad Idham sebagai seorang yang mementingkan kualiti.
"Apa yang membezakan abang Idham daripada pengarah-pengarah lain ialah dia akan mengarah sesebuah adegan dengan terperinci sehingga beliau berpuas hati dengannya, dan bukan seperti pengarah lain yang mengambil tujuh hingga lapan babak sekaligus.
"Beliau juga seorang yang mampu berkerja dengan pantas dan membuat keputusan yang bijak mengikut situasi," kata Marsha yang juga merupakan peminat setia Ahmad Idham.
Filem itu dibarisi pelakon-pelakon seperti Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Maria Farida, Nik Sayyidah, Datuk Jamali Shadat, Riezman Khuazaimi dan Munir Phyne Ballerz.
Secara ringkasnya filem terbitan Metrowealth (MIG) itu mengisahkan tiga jejaka (Azlee, Mazlan dan Wahid) yang berkerja di Zoo negara pergi bercuti ke Pulau Pangkor.
Semasa perjalanan, mereka terserempak dengan tiga orang adik-beradik iaitu (Maria, Nik, dan Marsha) dalam feri yang sama.
Ketiga-tiga pasangan itu berjumpa semula apabila mereka tiba ke tempat penginapan yang sama.
Jalan cerita 'Filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys' menjadi lebih menarik apabila mereka mendapati ketiga-tiga gadis tersebut adalah anak pemilik resort yang mereka tinggal.
Memang tidak kering gusi melihat telatah Nik Sayyidah, yang memainkan watak Hamidah, bercakap dalam slanga Kelantan dan tahu bercakap dalam bahasa Thai.
Filem itu mengambil masa 22 untuk digambarkan dan Ahmad Idham memilih Pulau Pangkor dan Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran.
Sementara itu, Marsha mulanya bimbang kerana lokasi penggambaran di Pulau Pangkor agak panas tetapi setelah berada di sana, beliau sebenarnya berseronok sepanjang penggambaran filem tersebut.
"Saya berasa gembira kerana dapat berkerjasama dengan Abang Idham dalam gambar ini dan saya juga akan turut membintang Senario The Movie Episod 3 nanti," akhiri Marsha yang mempunyai bentuk badan yang menarik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: