Wednesday, November 4, 2009
Shahz Jaszle ‘caras’ pelakon senior
Sejak membintangi drama bersiri ‘Tari Tirana’, bakat bintang muda, Shahz Jaszle semakin menyerlah dan kini diberi kepercayaan untuk menerajui watak utama dalam drama bersiri terbaru, yang akan disiarkan di TV3 ‘Dari Mata Ke Hati’. Meskipun masih ‘hijau’ dalam lakonan, namun aktor yang berusia 21 tahun ini berjaya menandingi pelakon yang lebih senior dan berpengalaman seperti Ashraf Muslim untuk menerajui watak utama dalam drama bersiri terbitan Ambang Fokus Sdn. Bhd dan Radius One Production itu.
Bagaimanapun, bagi Shahz, kehadirannya dalam industri seni ini bukanlah untuk menyaingi sesiapa, tetapi sekadar untuk mencuba nasib. Sebagai pendatang baru, dia bersyukur kerana bakatnya tidak dipandang sepi.
“Dari Mata Kehati’ adalah drama kedua saya sebagai ‘watak utama’ selepas Tari Tirana. Saya tahu, ramai lagi pelakon yang lebih hebat dari saya, tapi inilah yang dikatakan rezeki dan saya bersyukur sangat kerana masih mendapat kepercayaan pengarah.
“Saya sangat berterima kasih kepada pengarah Abang Ezad (Shahrul Ezad Mohameddin) kerana percaya pada bakat saya. Mungkin kerana dia berpuas hati dengan lakonan saya dalam Tari Tirana, maka dia mengambil saya untuk berlakon dramanya lagi,” kata Shahz yang pernah memegang watak sampingan dalam drama Bio Nik dan Bila Mama Pakai Celana.
Selain Shahz dan Ashraf, drama romantik komedi tajaan InnerShine Pati Berry ini turut dibintangi Intan Ladyana, Sari Yanti dan Sharnaz Ahmad. Drama romantik komedi ini akan mula dikeudara sebanyak 5 episod mulai 7 November, setiap Sabtu, jam 4.45 petang dan kompilasi kesemua episod selama satu jam pada 12 Disember 2009.
Dari Mat Ke Hati mengisahkan Farid (Shahz), seorang pengarah yang juga menjadi kegilaan para wanita krana wajahnya yang tampan dan berjaya dalam usia yang muda. Dia yang baru sahaja tamat penggambaran filem, perlu mencari sebuah skrip untuk projek filem seterusnya, lalu mengiklankan pencarian skrip di dalam blognyayang dinamakan ‘Dari Mata Ke Hati’. Ketika inilah dia ternampak sepasang mata yang telah menawan hatinya dan cuba sedaya upaya untuk mencari pemilik mata itu.
Bercerita pengalamannya membintangi drama tersebut, kata Shahz, meskipun jalan cerita tersebut dilihat agak ringan namun ia masih ada cabarannya kerana sebagai ‘Farid’ dia harus mendalami jiwa seorang pengarah.
“Ini kali pertama saya bawa watak sebagai pengarah. Walaupun hanya lakonan, tapi saya kena tahu juga tugas sebagai pengarah dan Alhamdullilah banyak yang saya dapat belajar. Insya-Allah dengan ilmu dan pengalaman yang saya dapat sepanjang menjadi pengarah dalam drama ini, dapatlah saya realisasikan suatu hari nanti kerana saya juga ada menyimpan hasrat untuk jadi pengarah,” katanya yang masih terlibat dengan penggambaran drama Bio-Nik untuk musim kedua.
Sanggup berhenti belajar
Mengimbau kembali penglibatannya dalam bidang seni, Shaz memberitahu, dia pada mulanya hanya suka-suka untuk menjalani satu sesi ujibakat program Naratif Remaja terbitan RTM pada April 2007 yang lalu. Tanpa diduga, dia telah terpilih untuk mengendalikan program tersebut dan dari situlah karier seninya bermula.
“Ketika itu saya masih menuntut di Kolej Komuniti Selayang sebagai Chef. Bila dapat tawaran untuk mengendalikan program Naratif Remaja itu, saya terus berhenti belajar sebab saya sebenarnya memang tak minat dengan khusus Chef itu. Lagipun inilah peluang untuk saya cuba dalam bidang seni dan saya percaya boleh berjaya dalam bidang ini.
“Tapi dalam masa yang sama saya juga bercadang ingin menyambung pelaran semula, bukan dalam bidang Chef tapi dalam bidang peguam. Insya-Allah dalam tahun hadapan saya akan buat pengajian ini di Gold Coast, Australia. Apa pun, ia masih dalam perancangan dan bergantung pada rezeki,” kata.
Melihat kejayaan pelakon-pelakon yang memiliki nama besar seperti Rozyam Nor dan Farid Kamil, maka tidak hairanlah anak jati Kuala Lumpur ini juga turut memasang impian untuk berjaya seperti mereka. Kata Shahz, jika diberi peluang, dia ingin melebarkan sayapnya ke layar perak. Dengan bakat serta kesungguhan yang ada, Shahz, percaya suatu hari nanti dia akan mengecapi kejayaan di persada seni tanah air.
Tidak minat gadis Melayu
Meskipun masih baru dalam industri seni, namun kisah peribadinya sudah berjaya dihidu media. Tanpa berselindung, Shahz mengaku, dia pernah bercinta dengan gadis ‘mat salleh’ yang merupakan model dari UK. Bagaimanapun, hubungan selama enam bulan itu tidak mampu bertahan lama, kerana kekasihnya itu terpaksa meninggalkannya demi meneruskan kariernya sebagai model.
“Sebelum dia tinggalkan Malaysia, dia dah pesan pada saya supaya cari ‘girlfriend’ baru sebab mustahil kami dapat teruskan hubungan jarak jauh. Tapi bukan mudah untuk saya carikan pengganti. Kalau ada jodoh, adalah,” katanya yang agak keberatan untuk memilih calon di kalangan gadis Melayu.
Menurut Shaz, sebelum ini dia pernah bercinta dengan gadis Melayu namun sikapnya yang agak mengongkong serta cemburu buta membuatkannya ‘patah hati’ untuk meneruskan hubungan dengan mana-mana gadis Melayu. Bagaimanapun, jika sudah ditentukan Tuhan, dia sedia menerima siapa saja jodohnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: