Keazaman tinggi Negeri Sembilan untuk menamatkan kemarau kejuaraan 61 tahun menjuarai Piala Malaysia bakal menjadi faktor utama apabila Sang Rusa turun berdepan Kelantan pada aksi final, Sabtu ini.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini, aksi Liga Super memihak kepada Rusa yang menang kedua-dua perlawanan tetapi terpaksa akur akan kehebatan Kijang yang menewaskan mereka di separuh akhir Piala FA menerusi kelebihan gol di tempat lawan untuk mara ke final.
Tetapi, rekod pertemuan lalu tidak boleh dijadikan ukuran kerana situasi final Piala Malaysia nanti pasti berbeza.
Dua individu kuat di dalam skuad Negeri Sembilan berkongsi misi dan matlamat yang sama iaitu membantu Rusa menjuarai Piala Malaysia musim ini.
Jurulatih Rusa, Wan Jamak Wan Hassan menaruh harapan untuk membantu Negeri Sembilan meraih kejuaraan berprestij itu buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun selepas kali terakhir mendakap piala itu pada 1948 yang dikenali sebagai Piala Malaya.
Selepas itu, Rusa turut berjaya ke final pada 2000 tetapi tewas 1-2 kepada Perak dan kalah kepada Perlis dengan keputusan sama pada 2005/2006.
“Apa yang saya harapkan adalah, Negeri Sembilan berjaya menjuarainya kali ini selepas gagal melakukannya agak lama. Malah, semangat pemain juga semakin berkobar ingin membalas dendam di atas kekalahan kepada Kelantan pada separuh akhir Piala FA musim ini.
“Saya menjangkakan pertarungan final yang sengit Sabtu ini dan berharap pemain mempamerkan aksi juang tinggi bagi memastikan piala berprestij itu ke Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara itu, kekecewaan sembilan tahun lalu masih tidak dapat dilupakan Mohd Shukor Adan yang berharap dapat memanfaatkan peluang kedua ini.
“Saya berharap dapat menggunakan peluang kedua beraksi di final bersama Negeri Sembilan Sabtu ini bagi menebus kekecewaan tewas kepada Perak pada 2000.
“Niat saya ketika menyarung jersi Negeri Sembilan adalah untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Jadi, pentas final Piala Malaysia ini adalah medan terbaik bagi saya memenuhi impian itu selepas gagal memenangi Piala Liga dan Piala FA.
“Ia bukan mudah kerana Kelantan bukan calang-calang pasukan. Namun tidak mustahil kami muncul juara jika pemain mempamerkan aksi konsisten,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: