KESEMPATAN menjenguk sidang akhbar 'Natrah' tempoh hari mengingatkan Kakak Tua tentang masa silam yang cukup bermakna. Apa lagi bila dapat berjumpa dengan pengarah Erma Fatima dan adiknya Umie Aida.
Dalam ramai bintang-bintang yang hadir pada sesi sidang akhbar itu, hanya pelakon Sofia Jane saja yang berjaya menambat hati ini. Bukan saja dia bertambah anggun dan jelita tanpa melakukan sesuatu yang pelik di muka tetapi perwatakannya juga semakin menarik.
Watak yang diberi pada Sofia untuk teater muzikal 'Natrah' ialah sebuah monolog yang menuntutnya untuk beraksi paling lama 20 minit. Namun kesempatan itu tidak disia-siakannya.
Sebelum Sofia berkata 'ya' pada Erma, dia membuat kajian yang terperinci terlebih dahulu hingga terpaksa mencari penulis cerita 'Natrah' di Singapura dengan mengeluarkan duit poket sendiri.
Kata Sofia, meskipun watak yang dibawanya hanya 'Natrah Tua berusia 70 tahun' tapi impak yang akan ditinggalkan pada penonton itu yang lebih penting. Bukan setakat membuat kajian tentang Natrah, emosi wanita tua itu juga perlu diselami dengan betul dan tepat.....'barulah datang kepuasan berlakon.'
Sofia masih seperti dulu, mesra dan tidak kekok bercerita tentang anak-anaknya yang comel. Tidak ada kepura-puraan di dalam percakapan dan telus bila melahirkan isi hati.
Susahnya hendak dapat selebriti terkenal macam Sofia lagi. Pendek kata, semua yang dianugerahkan pada aktres kacukan ini sesedap mata memandang.
Memang Sofia pelakon hebat, dari dulu hingga sekarang. Bertambah hebat bila Sofia mengiringi pakej yang ada padanya dengan kesantunan dan ketelusan.
Sebab itu ada yang berkata, ada elok dan baiknya kita mengenali peribadi artis. Kalau peribadi artis itu buruk, ia akan mempengaruhi perasaan dan penilaian kita. Dan begitulah sebaliknya. Kakak Tua sendiri setelah berada begitu lama dalam industri ini mengenali begitu ramai selebriti.
Setelah ditampi, ditolak, didarab dan dicampur, yang berkenan di hati boleh dikira dengan jari. Ada yang indah khabar dari rupa. Ada yang indah rupa dari perangai sebenar dan ada juga lebih besar bakatnya dari sikapnya. Semakin lama bergaul dengan golongan selebriti, timbul rasa malas hendak melihat 'kilauan' di sebalik nama-nama yang gah itu.
Hendak ambil tahu atau rapat dengan selebriti pun dah tawar hati. Biarlah bakat mereka saja yang dikenali kerana yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.
Lagipun, bila artis muda berlagak macam dia lebih bijak dari orang tua, sakit juga hati Kakak Tua. Dan bila artis tua berlagak macam 'old teenage', mata pula yang sakit hendak memandang. Rasa-rasanya, sikap yang ada pada Sofia bukan semua pelakon yang ada. Seingat Kakak Tua, boleh dibilang dengan jari seperti Azizah Mahzan, Fauziah Nawi, Betty Banafe, Hans Isaac, Deja Moss, Yasmin Yusuff dan kini Azwan Ali (sekadar memberi contoh beberapa nama).
Mungkin sebab itu, setiap kali mereka beraksi baik menyanyi atau berlakon, kita tidak pernah jemu. Dan Kakak Tua adalah orang yang paling cepat jemu. Terutama bila melihat adegan atau sandiwara kehidupan penuh kepura-puraan yang menjengkelkan.
Hidup ini sesingkat perjalanan siang dan malam. Bahagia itu boleh dicari seperti yang sedang dikecapi pasangan Laila-Majnun Akhil Hayy dan Waheeda. Manisnya bak 'semanis kurma' bila dapat sesuatu yang berkenan di hati. Lantas Kakak Tua teringat kata-kata Ustaz Akhil, "setiap hari adalah hari kami untuk berbulan madu". Alhamdulillah. Semoga berkekalan hendaknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: