Wednesday, November 4, 2009

Buku 'Selamat Tinggal Dunia Pondan' singkap sejarah hidup Azwan?

Suasana rumah terbuka Hari Raya Azwan Ali.

APA yang menyebabkan selebriti terkenal Azwan Ali tiba-tiba ingin menulis buku tentang kisah pondan? Dan apa agaknya yang begitu menarik tentang pondan yang mencuit hati Azwan sehingga terpanggil untuk menulis catatan tentang kaum ini.

Bagi Azwan, tidak timbul samada kisah pondan adalah kisahnya. Ini adalah kerana semua itu hanya akan terjawab bila buku itu dibaca nanti.

"Kebetulan sebelum saya pergi umrah tempoh hari pihak Karangkraf ada berbincang tentang hasrat mereka untuk menerbitkan buku saya. Jadi saya terfikir tentu menarik kalau kandungan buku saya itu menyingkap kisah hidup pondan," jelas Azwan yang selalu dilanda kontroversi disebabkan kelantangannya menyuarakan sesuatu pandangan.

Menurut Azwan, dia sengaja memilih judul yang sensasi begitu untuk menarik perhatian orang membaca.

"Terpulanglah...kalau orang nak kata saya propa atau sengaja mencari sensasi. Yang penting buku itu akan memuatkan kisah hidup seorang pondan. Saya begitu teruja untuk menyiapkan buku ini kerana subjeknya very interesting walaupun intipatinya saya tidak mahu dedahkan.

"Ianya kisah sebenar, ada unsur sindiran dan juga sensasi. Dan tentu sekali kontroversial. Sekali imbas tajuknya saja sudah cukup membuat pembaca tertanya-tanya apa agaknya kandungan buku ini," kata Azwan yang mendapat idea menulis buku ini dari pengamatan kisah hidup kawan-kawan dan pembacaan.

Yang menguatkan Azwan untuk berkarya ialah kerana dia semakin seronok dalam bidang penulisan ini. Tambahan bila laman webnya (silaserazwanali.blogspot.com) mendapat sambutan yang hangat sejak akhir-akhir ini.

"Saya cukup teruja menulis kerana banyak bahan-bahan di keliling saya. Ada saja ilham yang datang. Salah satu ialah bahan untuk dimuatkan di dalam buku itu.

"Biarlah pembaca sendiri yang menilai hasil tulisan saya. Yang pasti isi kandungannya sesuatu yang dinanti-nantikan. Saya sendiri dapat rasa yang kehidupan saya semakin indah sejak saya berubah. Keindahan itu hanya saya dan orang-orang yang rapat dengan saya dapat rasakan," kata adik kepada ahli politik Azmin Ali ini.

Azwan Ali semasa sesi fotografi di Menara Star pada awal tahun ini.

Kemungkinan besar, buku itu akan siap pada awal tahun depan dan dilancarkan pada bulan Ramadhan.

"Saya ingin lancarkan pada bulan Ramadhan sempena genap setahun 'penghijrahan' saya," katanya lagi.

Azwan tidak gusar seandainya ada orang yang berkata buku itu adalah satu eksploitasi Azwan Ali.

"Tak apa lah...saya dah masak dengan cakap-cakap orang. Saya akan berkongsi 'eksploitasi' ini bersama peminat-peminat. Bila saya 'terjebak' dan dikelilingi pondan-pondan, ramai peminat saya lahirkan rasa terkilan.

"Semua ini disampaikan kepada saya dan ianya mendatangkan satu keinsafan. Dan rentetan terakhirnya ialah penghasilan buku ini," jelas Azwan. Sambungnya lagi, "Dunia Mak Nyah terlalu rumit untuk dirungkai. Sedikit masa dulu, cerita-cerita macam ini mendapats ambutan dalam drama, filem dan teater. Saya harap pihak tertentu tidak akan prejudis dengan buku ini.

"Perkara-perkara yang mengaibkan dan tidak manis atau yang berkait tentang seks, saya tidak akan sentuh. Saya tidak begitu terbuka. Semua itu akan dibatasi dengan berhemah," kata selebriti berusia 43 ini.

Jadi apakah sebenarnya dunia pondan yang dimaksudkan Azwan?

"Buku 'Selamat Tinggal Dunia Pondan' adalah satu keterbukaan yang ikhlas. Diharap peminat-peminat di luar sana akan nantikan kemunculannya," kata pengacara popular lulusan undang-undang Universiti Malaya ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: