SEBELUM ini bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz, Abdul Munir Awang atau Munir lebih selesa untuk tidak menguar-uarkan kisah percintaannya dengan gadis kelahiran Sarawak, Yuhaznimie Yaakob hinggalah mereka selamat mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2007. |
Tiada media dijemput, malah berita mengenai perkahwinannya hanya dapat dikesan awal 2008.
Entah, apa sebabnya Munir, 35, tidak mahu berkongsi berita gembira itu bersama peminatnya.
Namun, selepas perkahwinan mereka mencecah hampir dua tahun, barulah Munir mengakui dia berasa kesal dengan tindakannya tidak menjemput pihak media.
Akibat daripada itu, Munir menanggung masalah apabila ramai peminat tidak tahu yang dia sudah berumah tangga.
Ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Kapten Kit di Permata Innovasi Sdn Bhd, Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini, Munir berkata, pelbagai fitnah dilemparkan kepada mereka apabila nampak dia bergandingan mesra dengan isteri sama ada di dalam mahupun di luar rumah.
"Biarpun ada pihak memberitahu media selepas beberapa bulan kami berkahwin, namun masih ramai peminat tidak tahu mengenainya.
"Disebabkan itu, saya begitu menyesal kerana tidak menjemput media di majlis perkahwinan saya dulu. Bukan saya melupakan pihak media, tetapi tidak berapa gemar publisiti mengenai cerita peribadi berbanding karier seni.
"Apatah lagi, ketika itu, saya fikir perkara berkaitan peribadi tidak perlu dikongsi bersama pihak media dan peminat. Bagi saya, itu adalah hak peribadi artis dan lebih gemar berbicara mengenai kerjaya saja. Namun, pelbagai masalah timbul hingga kadangkala saya berasa kekok berjalan dengan isteri sendiri.
"Pandangan orang pula satu macam saja walhal kami sudah menjalin ikatan yang sah dari segi agama. Justeru, hingga saat ini ada saja fitnah dilemparkan pada kami yang mempertikai hubungan terjalin. Atas alasan itu, saya harap penjelasan ini sekali gus dapat menerangkan kepada masyarakat di luar sana yang saya sudah berkahwin dan bukan mengamalkan kehidupan penuh sosial.
Beritahu Munir, tanggungjawabnya semakin besar kerana bukan lagi hidup sendirian seperti dulu.
Justeru, dia kini berjinak-jinak menceburkan diri dalam perniagaan keluarga untuk menambah pendapatan sedia ada.
"Ketika ini, saya terbabit dengan perniagaan membekal laksa Sarawak kepada mereka yang berminat untuk mengadakan kenduri, majlis dan sebagainya. Sambutan diterima sangat memberangsangkan, malah ramai yang memuji laksa Sarawak yang dibuat oleh isteri dan emak mentua.
"Saya juga bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus dan kini dalam proses mengeluarkan single. Saya membabitkan diri dalam industri ini menerusi bidang nyanyian dan tidak mungkin saya lupakan begitu saja. Kerana minat yang tinggi, saya bercadang bergerak solo selepas bergiat aktif menerusi kumpulan CLV dan Phyne Ballerz.
"Sebenarnya, saya ingin tampil dengan lagu berkonsepkan balada. Tetapi, asal saya lontarkan suara dan nyanyikan lagu bergenre seperti itu, semua gelak. Mungkin, kerana karakter saya yang selalu terbabit dengan drama berbentuk komedi sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran mereka di luar sana yang menyangka saya seorang tidak serius.
"Atas alasan itu, saya komited untuk menghasilkan lagu khusus untuk kanak-kanak yang bukan sekadar menyelitkan elemen komedi, tetapi mempunyai mesej untuk disampaikan. Tetapi, saya tidak akan mengeluarkan album kerana melihat pasaran muzik masa kini yang tidak berapa memberangsangkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: