Saturday, November 28, 2009

Nine himpun nama besar


DANIEL Day-Lewis dan Marion Cotillard memegang watak sebagai suami isteri dalam filem Nine.


SEJAK diuar-uarkan setahun lalu, ramai yang tidak sabar untuk menantikan filem ini ditayangkan di pawagam. Masakan tidak, melihatkan barisan pelakon dan pengarah yang mengendalikan projek filem ini membuatkan ramai yang teruja untuk melihat hasilnya.

Diberi judul Nine, filem tersebut diarahkan oleh Rob Marshall, sutradara yang mencipta kemasyhuran menerusi filem muzikal, Chicago.

Apa yang membuatkan filem ini nampak hebat dan gah ialah ia dibarisi oleh pelakon yang memiliki nama besar di Hollywood yang sebahagian besarnya merupakan pemenang Oscar.

Barisan pelakon yang membintangi filem Nine ialah Daniel Day-Lewis, Marion Cotillard, Nicole Kidman, Penelope Cruz, Judi Dench, Sophia Loren, Kate Hudson serta vokalis kumpulan Black Eyed Peas, Stacy Ferguson atau lebih dikenali sebagai Fergie.

Mereka yang berkesempatan menonton filem ini dalam satu tayangan khas baru-baru ini berpendapat, Nine mampu menjadi filem muzikal terhebat tahun ini.

Filem ini juga kata mereka cukup cemerlang daripada pelbagai aspek seperti pengarahan, penataan seni, kostum, sinematografi, muzik dan juga suntingan.

Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum projek ini diteruskan, ia telah berdepan dengan pelbagai insiden terutama sekali penukaran pelakonnya yang silih berganti.

Sebelum barisan pelakon yang sedia ada ini disahkan, nama-nama besar yang lain juga pada mulanya merupakan pilihan utama bagi membintangi filem yang dianggap cukup ekstravaganza ini.

Pemenang Oscar, Javier Bardem misalnya merupakan pilihan utama bagi watak Guido Contini, namun dia menarik diri pada saat akhir atas alasan berdepan dengan keletihan dan kepenatan.

Selain itu, watak Luisa yang dibawakan oleh Marion Cotillard dalam filem ini sebenarnya cukup menarik minat Katie Holmes dan dia sendiri menghadiri uji bakat.

Tetapi, Rob Marshall merasakan Katie tidak mempunyai kriteria yang lengkap untuk membawakan watak berkenaan.

Pada asalnya juga, Catherine Zeta-Jones merupakan calon pertama untuk membawakan watak Claudia.

Malah, Catherine sendiri teruja dengan projek filem ini dan meminta wataknya itu dibesarkan tetapi, ia mendapat bantahan daripada Rob.

Tiada pilihan, Catherine meninggalkan projek ini dan selepas itu, nama-nama seperti Amy Adams, Gwyneth Paltrow, Anne Hathaway, Demi Moore dan Juliette Binoche disebut-sebut akan membawakan watak tersebut.

Tetapi, sudah rezeki watak Claudia menjadi milik Nicole Kidman dan Rob sendiri memuji kehebatan Nicole yang dilihat berjaya menterjemahkan watak Claudia seperti mana yang diinginkannya.

Secara ringkasnya, filem Nine mengisahkan tentang permasalahan hidup yang dihadapi oleh Guido Contini, seorang pengarah filem terkenal yang berdepan dengan masalah peribadi dan juga kerjaya.

Pada masa yang sama, dia juga perlu mengimbangi dunianya dengan wanita-wanita yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya termasuklah isterinya, Luisa (Marion Cotillard), ibunya, Mamma (Sophia Loren) dan perempuan simpanannya, Carla (Penelope Cruz).

Bukan mereka berdua sahaja, Guido juga perlu berdepan dengan aktres kesayangannya, Claudia (Nicole Kidman), pereka busana dan kostumnya, Lilli (Judi Dench).

Malah, kehidupannya itu juga cukup menarik perhatian seorang wartawan Amerika, Stephanie (Kate Hudson) yang begitu berminat untuk menulis tentang perjalanan hidupnya.

Tetapi, Guido juga harus menerima hakikat apabila seorang pelacur, Saraghina (Fergie) yang pernah singgah di hatinya kini kembali dalam hidupnya.

Filem yang diadaptasi dari pementasan teater muzikal dengan judul yang sama itu merupakan pemenang lima anugerah Tony termasuk Teater Muzikal Terbaik pada tahun 1982.

Filem Nine akan ditayangkan pada Hari Krismas ini di Amerika Syarikat.

1 comment:

  1. Filem NINE ini adalah juga doa dan harapan daripada warga NINE World Synergy yang dijangka akan jadi hebat pada tahun 2012 ini.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: