TUMPAT - Air banjir yang kotor dan bertoksik dipercayai menjadi punca kepada kematian ribuan ekor ikan yang menyebabkan kerugian kepada 117 penternak ikan dalam sangkar di kawasan Laguna Pantai Sri Tujuh di sini.
Penternak yang hanya sedar kejadian itu Isnin lalu, mula pening kepala dengan jumlah kerugian mencecah RM500,000.
Seorang penternak, Abdul Ghani Shafie, 38, berkata, kejadian itu mengundang panik kepada semua penternak apabila melihat ikan jenis siakap dan kerapu timbul di permukaan air seolah-olah tidak cukup bekalan oksigen.
Dakwanya, air banjir yang melimpah ke dalam sungai dan mengalir ke sangkar dipercayai beracun dan mengandungi kotoran terampai.
"Ribuan ikan di dalam 46 petak sangkar saya timbul di permukaan air seolah-olah tidak cukup oksigen dan semuanya sudah mati," katanya ketika ditemui semalam.
Lebih malang lagi katanya, ikan-ikan jenis tersebut tidak dapat dijual di pasar dan dia kerugian kira-kira RM12,000.
Yaakob Kasim (gambar), 72, pula memberitahu, pada mulanya dia menyangka dapat menyelamatkan ikan-ikan yang hampir mati dengan menukar air bersih.
Namun katanya, usaha itu gagal selepas ikan-ikan miliknya mati begitu sahaja menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: