KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir yang masih tinggal di tiga pusat pemindahan di Jajahan Tumpat berkurangan kepada 1,094 orang semalam.
Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir negeri, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid berkata, bilangan mangsa banjir yang direkodkan di Kelantan kelmarin ialah 1,441 orang.
Menurutnya, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang Satu ialah 266 orang, SK Rantau Panjang Dua (440) dan SK Bunohan (388).
"Jumlah mangsa banjir dijangka terus berkurangan memandangkan keadaan cuaca yang semakin baik," katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, di Pasir Mas, seorang kanak-kanak berusia 18 bulan menjadi mangsa ketiga banjir di Kelantan selepas ditemui mati lemas dipercayai terjatuh dari rumahnya di Kampung Gading.
Mohd. Haziq Akmal Mohd. Hail terjatuh ke dalam air sedalam kira-kira 1.5 meter di kawasan rumahnya ketika ibunya, Sarimah Mat Taib, 30, berada di dapur.
"Sebelum kejadian kira-kira pukul 2.15 itu, saya di dapur memasak makanan tengah hari manakala anak saya berada bersama beberapa adik-beradik saya di ruang tamu," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sarimah berkata, selepas selesai memasak, adik-adiknya kemudian ke dapur untuk makan tetapi Mohd. Haziq tidak kelihatan.
"Setelah mencari keliling rumah, saya temui Haziq terapung di tepi pagar," katanya sebak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: