Saturday, November 21, 2009

Program bual bicara Oprah berakhir 2011


BEKAS Naib Pesiden AS, Al Gore menjadi tetamu program bual bicara Oprah Winfrey di Chicago, Illinois pada 2000.


CHICAGO - Personaliti televisyen terkenal Amerika Syarikat (AS), Oprah Gail Winfrey, 55, bakal menamatkan program bual bicara popular The Oprah Winfrey Show pada tahun 2011.

Perkara mengejutkan itu diumumkan oleh syarikat produksi Winfrey, Harpo Productions Inc. kelmarin sekali gus mengakhiri rancangan tersebut yang memasuki musim ke-25 tahun ini.

Jurucakap Winfrey enggan mengulas sama ada keputusan itu bermakna dia merancang untuk bersara atau mengubah corak persembahan sejak program itu bermula pada 1985 lalu.

Winfrey mencipta nama apabila berjaya mewawancara ramai personaliti ternama antaranya, kumpulan popular Black Eyed Peas, petinju Mike Tyson dan lawannya, Evander Holyfield.

Dia yang memperoleh pendapatan AS$385 juta (RM1.3 bilion) tahun lalu sering melakukan temu ramah eksklusif seperti dengan artis Whitney Houston dan ahli politik sensasi Sarah Palin.

Wanita itu memulakan kerjaya penyiaran sebagai pembaca berita stesen radio WVOL di Nashville, Tennessee pada usia 17 tahun selepas memenangi pertandingan ratu cantik kulit hitam negeri tersebut.

Dia berhijrah ke beberapa stesen televisyen tempatan sebelum mengacara program bual bicara AM Chicago pada 1984 yang kemudian dikenali The Oprah Winfrey Show.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: