|
|
SEOUL - Seorang model terkenal Korea Selatan, Daul Kim, ditemui mati di sebuah apartmen miliknya di Paris kelmarin, kata seorang pengawai Kementerian Luar di sini semalam.
Mangsa ditemui polis Perancis ketika dia dijadual mempunyai program minggu fesyen di Paris dan London manakala media tempatan mengaitkan kes itu sebagai membunuh diri.
Namun pegawai kerajaan Korea Selatan enggan mengesahkan atau mengulas lanjut mengenai punca sebenar kematian Kim, 20, yang pernah dibesarkan di Seoul dan Singapura.
Kim membina kerjaya sebagai model di Asia sebelum tampil buat kali pertama di Paris pada 2007 sebagai model untuk jenama Chanel, Dries van Noten dan Maison Martin Margiela.
Agensi model Esteem yang menguruskan Daul Kim berkata, keluarga mendiang sudah tiba di Paris. Dia mempunyai acara fesyen tetap di New York, Milan, Paris dan London selain di Seoul.
Model berambut lurus dengan ketinggian 1.7 meter itu menerusi laman blog miliknya pada 30 Oktober lalu menulis, dia amat tertekan dan penat bekerja selain menyedari dirinya seperti hantu.
"Semakin menjadi terkenal, semakin berasa keseorangan," katanya yang kemudian memasukkan entri terakhir blog pada 18 November lalu.
Korea Selatan mencatat kadar bunuh diri tertinggi di kalangan 30 buah negara maju termasuk kes berprofil tinggi seperti bekas Presiden, Roh Moo-hyun yang membunuh diri pada Mei lalu setelah beliau tertekan akibat skandal rasuah.
Pada tahun lalu, seorang pelakon wanita muda terkenal, Choi Jin-sil juga membunuh diri selepas mengikut jejak beberapa aktor drama popular lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: