KUALA LUMPUR - Perbelanjaan yang semakin meningkat menerusi pakej rangsangan mencerahkan prospek ekonomi untuk mencatatkan pertumbuhan positif pada suku ketiga tahun ini selepas susut 3.9 peratus pada suku kedua, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Unjuran lebih optimistik itu, katanya, ialah berasaskan kepada aktiviti ekonomi yang sangat diperlukan menerusi pakej-pakej rangsangan dalam menangani penurunan permintaan terhadap sektor swasta.
Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, pakej rangsangan fiskal berjumlah RM67 bilion disediakan kerajaan yang mewakili hampir 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan membantu ekonomi mengharungi kemelesetan global.
"Pakej-pakej rangsangan kita yang ditentang pada peringkat awal kini dilihat penting dalam merangsang perbelanjaan," katanya dalam ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam di sini semalam.
Beliau menambah, memandangkan ekonomi kini semakin seimbang, negara perlu mencari jalan untuk membuat penyesuaian, bergerak dan bangkit daripada kemelesetan untuk menjadi negara yang berkembang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: