SAMA cantik, sama padan. Tetapi paling penting mereka juga sama-sama berbakat besar. Walaupun jarang digandingkan di dalam sesebuah produksi kecuali beberapa tahun lalu, Maya Karin dan Remy Ishak pernah beraksi di dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali tetapi tahun 2009 yang bakal melabuhkan tirainya bakal menyaksikan kerjasama mereka di pentas teater Natrah.
Mungkin mereka perlu berterima kasih kepada Diana Danielle yang menarik diri daripada memegang watak Natrah kerana akhirnya watak itu dipertanggungjawabkan kepada Maya dan sekali gus pelakon jelita itu akan bersama Remy yang memegang watak Cikgu Mansor Adabi.
Kini mereka sedang rancak menjalani sesi latihan teater arahan Erma Fatima yang akan mula menemui khalayak teater mulai 30 November hingga 9 Disember. Selepas Natrah, Hip difahamkan mereka akan kembali bersatu di dalam filem terbaru arahan Osman Ali yang akan memulakan penggambaran tahun depan.
Pertama kali ke pentas berprestij Panggung Sari, Istana Budaya, pastinya mereka berkongsi debaran yang sama. Namun harus diakui biarpun berbeza jarak usia mereka - Maya, 30, dan Remy pula, 27 - mereka sebenarnya bertuah kerana menjadi pilihan Erma Fatima di samping Istana Budaya untuk menamatkan kalendar pementasan teater tahun ini.
Bersama Hip, dua pelakon yang rancak meneruskan kerjaya di dalam bidang seni ini terus mahu memantapkan trek rekod mereka termasuk membina nama menerusi medium teater. Bagi Maya, tidak timbul soal menjadi pilihan kedua kerana apa yang lebih penting ialah mencuba dan mencuri peluang yang ada di depan mata.
Menurut Maya, sebelum ini dia pernah berlakon tiga pementasan teater Inggeris berjudul Bugxymalone yang dipentaskan di Bandung pada 1995 dan dua lagi, Mahna Mahna serta In The Minds Eye di Malaysia. Lalu tidak hairan, pelakon bermata cantik ini tidak ragu-ragu menerima tawaran Erma.
MAYA juga begitu teruja kerana buat kali pertama dapat berlakon di bawah satu produksi dengan Sofea Jane. |
“Tawaran ini saya terima sejak minggu lalu sekitar jam 4.30 pagi. SMS menawarkan peluang ini dihantar sendiri Erma dan saya harus putuskan dalam tempoh 48 jam. Keesokan hari, saya menghubunginya dan menyatakan persetujuan. Peluang yang datang ini cukup bermakna apatah lagi saya tidak mempunyai sebarang komitmen kerja yang lain.
“Malahan saya ada membaca buku Natrah ini dan pernah membuat penyelidikan mengenai wataknya ketika saya terbabit dalam penggambaran filem Hati Malaya 1957. Satu kerugian pula untuk saya menolak watak ini. Dunia teater saya tinggalkan sejak 10 tahun lalu dan siapa sangka peluang itu datang sekarang.
“Sebenarnya ketika ada ura-ura teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya sekitar 2003 lagi, saya sudah mula berhasrat memberanikan diri untuk pergi ke uji bakat. Tapi akhirnya, semuanya menjadi lebur, apabila pementasan ini dibatalkan,” kata isteri kepada Muhammad Ali Abdullah ini.
Bagi Maya, soal bayaran bukan isu di sini kerana yang lebih penting adalah menikmati peluang berlakon teater. Jika di usia muda, mungkin dia berlakon teater sebagai mengisi masa lapang dan mencari duit poket, namun seiring dengan pertambahan usia, keterujaan berlakon teater mula berubah.
REMY korbankan banyak tawaran berlakon demi Natrah. |
“Saya pernah mengecewakan orang selepas menolak tawaran untuk berlakon teater Di Mana Setangginya yang dipentaskan beberapa bulan lalu di Istana Budaya. Saya menolaknya kerana menyifatkan teater itu sebagai rumit dan saya sendiri tidak biasa dengan isi naskhah teater itu.
“Namun berlainan dengan Natrah kerana sejujurnya saya sudah lama mengimpikan peranan itu. Sebagai pengarah, Erma semestinya tahu apa yang diingininya dan saya sendiri bersyukur menerima tawaran ini. Malah ketika watak itu menjadi milik Diana Danielle pada awalnya, saya sendiri berasa sedih dan menganggap bukan rezeki saya,” katanya yang berharap teater ini akan menjadi permulaan untuk mencipta keserasian di antaranya dengan Remy sebelum mereka sama-sama berlakon filem arahan Osman Ali itu.
Sanggup tolak lima tawaran
SEMENTARA itu, Remy Ishak yang diberi jolokan sebagai Lelaki Melayu Terakhir oleh Erma Fatima sendiri menganggap kesempatan berharga ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi dirinya untuk terus mengukuhkan nama di persada seni.
Malah demi Natrah juga, Remy terpaksa melupakan lima tawaran berlakon. Pengorbanan harus dilakukannya demi satu tujuan yakni mencuba bidang teater yang masih baru dan terlalu hijau kepadanya.
Kata pelakon yang melonjak namanya gara-gara drama Nur Kasih itu, Natrah bukan teater pertama yang ditawarkan Erma kerana teater Sirah Junjungan 2 juga pernah ditawarkan kepadanya.
“Biarpun saya sering dikatakan mempunyai komitmen yang banyak dalam satu masa, hakikatnya, saya adalah sebaliknya kerana suka memberi fokus kepada satu kerja dalam satu masa. Saya suka memberikan yang terbaik, lalu gosip kononnya saya suka membuat banyak kerja dalam satu masa itu adalah salah.
“Saya menerima peluang berlakon teater ini kerana isi naskhah cerita Natrah sendiri. Saya tidak sanggup menghampakan Erma yang pernah menawarkan saya untuk berlakon teater Sirah Junjungan. Namun ketika itu, saya masih terikat dengan penggambaran drama.
“Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki untuk saya terus mempelajari selok belok dunia lakonan. Saya juga pernah menghadiri latihan pementasan teater Topeng-Topeng di bawah bimbingan dan arahan Fauziah Nawi. Niat pada mulanya untuk berlakon teater itu hanya tinggal kenangan kerana saya perlu melunaskan penggambaran drama Sindarella,” katanya yang akan terbabit dalam penggambaran drama Suraya arahan Murali Abdullah.
Ditanya mengenai Erma Fatima, Remy memberitahu dia selesa berlakon di bawah pengarah yang dilabelkan sesetengah pihak sebagai garang itu. Remy turut memberitahu betapa gembira hatinya kerana pada akhirnya niatnya untuk berlakon teater menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: