Bertugas di konti Hot FM ketika penyampai radio wanita popular jalani pembedahan lutut
PAGI Isnin lalu, pendengar Hot FM dikejutkan dengan suara bekas penyampai radio popular, Halim Othman yang berkumandang di stesen radio nombor satu itu. Tidak berseorangan, sebaliknya Halim yang pernah beberapa kali dinobatkan sebagai penyampai radio lelaki popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian bergandingan dengan Faizal Ismail bagi mengendalikan program Hot FM AM Krew.
Kemunculan secara tiba-tiba Halim di stesen radio berkenaan menimbulkan tanda tanya apakah penyampai yang juga pengacara itu kini sudah beralih arah dan memilih untuk berkhidmat di stesen radio milik Media Prima Berhad itu. Dan jika benar Halim kini sudah menjawat tugasan baru itu, ke mana pula perginya Fara Fauzana? Apakah penyampai, pengacara dan pelakon itu sudah tidak berminat untuk meneruskan tugasnya di konti.
Bagi meleraikan kekusutan yang timbul, Hip mendapatkan penjelasan Pengurus Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Anida Tahrim mengenai status Halim di stesen radio Hot FM. Tidak seperti yang dijangkakan, Anida berkata kehadiran Halim adalah untuk sementara saja iaitu bagi menggantikan Fara Fauzana yang sedang cuti sakit akibat kecederaan di lutut.
“Apabila Fara Fauzana cuti panjang kerana menjalani pembedahan di lutut, maka kami terpaksa mencari penggantinya. Ada beberapa nama yang disenaraikan, ada juga nama bekas deejay radio dan ada juga selebriti. Tetapi selepas mengambil kira beberapa faktor seperti pengalaman dan keupayaan mengendalikan tugas di konti, kami akhirnya memilih Halim,” kata Anida.
Pun begitu, pada awalnya tugas untuk memanggil Halim bertugas di konti Hot FM bukanlah satu perkara yang mudah.
HALIM hanya bertugas sementara saja di konti Hot FM. |
“Produser iaitu Suraya yang menelefon dan menawarkan tugas itu padanya. Selepas berfikir, barulah dia bersetuju sekali gus menunjukkan perasaan teruja untuk kembali bertugas di konti radio,” kata Anida.
Ternyata pilihan mereka itu tepat apabila Halim mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik serta turut menyumbang idea kepada pihak penerbit.
“Ketika dia bertugas, saya ada terdengar perbualannya bersama seorang pemanggil ini. Dari cara mereka bersembang saya dapat rasakan yang Halim memang mengenali wanita ini. Malah dia dapat mengingati latar belakang wanita yang menelefonnya itu. Jadi berdasarkan itu, saya rasa Halim masih mempunyai peminat setianya sendiri dan skil mengendalikan konti masih belum hilang darinya.
“Bukan itu saja, dia juga turut memberi cadangan apakah topik yang boleh diketengahkan dalam program pagi itu. Contohnya macam hari ini, dia berkata pernah bermimpi untuk bertugas di konti Hot FM dan akhirnya menjadi kenyataan. Disebabkan itu, dia terus membuat topik mimpi untuk dibincangkan pendengar. Sejujurnya kami memang berpuas hati dengan persembahannya hari ini. Nampaknya tak salah pilihan kami itu,” kata Anida.
Bagaimanapun, ketika ditanya apakah ada kemungkinan Halim bakal diserapkan sebagai penyampai stesen terbabit, Anida berkata mereka tidak mempunyai perancangan ke arah itu.
“Lagipun tugas Halim hanyalah untuk minggu ini saja. Selepas itu Faizal mungkin akan kembali berseorangan. Bukannya kita tak mahu menukar jadual penyampai lain untuk digandingkan bersama Faizal tetapi memandangkan sekarang sudah hujung tahun dan ramai penyampai mahu mengambil cuti, jadi kami rasa biarlah jadual mereka mengikut seperti yang sudah ditetapkan. Lagipun selepas ini demam Anugerah Skrin akan bermula dan mungkin kami akan memanggil personaliti untuk menemani Faizal di konti dan berbicara mengenai drama mereka.
“Berbalik kepada soal Halim tadi, memang kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menambah jumlah penyampai. Rasanya cukup dengan apa yang ada,” katanya.
Dan mengenai soalan apa mungkin mereka akan mengambil Halim sebagai penyampai sambilan untuk segmen Retro, Anida berkata perkara itu akan dipertimbangkan. Bagaimanapun, perkara itu semua bergantung kepada tuan punya badan itu sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: