Friday, November 13, 2009
Kes wang palsu terkawal
KUALA LUMPUR - Jumlah wang palsu khususnya membabitkan not RM50 di negara ini masih kecil dan terkawal iaitu 13 keping bagi setiap sejuta ringgit.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas, jumlah wang palsu yang dikesan dan dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) ialah sebanyak 48,555 keping.
“Berdasarkan tanda aras yang menjadi panduan di peringkat antarabangsa, jika pemalsuan wang itu mencapai 20 keping bagi setiap juta wang yang dikeluarkan, baru ia serius. Jika keadaan itu berlaku, baru dianggap bahawa situasi perlu dibaiki dengan tindakan keselamatan secara serta merta.
“Setakat ini, kita memang berada di bawah paras itu dan BNM dengan kerjasama pihak keselamatan akan berterusan memantau,” katanya menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang) di persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Hamim ingin tahu jumlah wang palsu yang telah dirampas sepanjang tahun ini dan langkah yang dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.
Chee Hueng berkata, walaupun jumlah itu tidak serius dan masih terkawal, pihak berkuasa sentiasa berwaspada dan akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah memalsukan wang.
Katanya, pelbagai langkah pencegahan dan pendidikan telah diambil oleh BNM bagi menangani kegiatan pemalsuan wang.
“Antara pendekatan yang telah diambil ialah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ciri-ciri keselamatan pada wang kertas melalui kempen penerangan di media massa serta elektronik.
“Kita juga turut membantu vendor dalam membuat penyelarasan terhadap mesin-mesin pengesahan atau pengiraan wang yang digunakan oleh institusi kewangan dan perbankan,” katanya.
Menurutnya, institusi perbankan dan kewangan juga diminta memaklumkan dengan segera jika terdapat penemuan wang palsu selain melaporkannya kepada polis.
“Langkah terkini yang diambil oleh kerajaan dan BNM ialah sentiasa menambah baik kualiti wang kertas agar ia sukar untuk dipalsukan seperti ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada not RM50 yang baru,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: