Friday, November 6, 2009

Kemboja-Thai berbalah


DUTA Thailand ke Kemboja, Prasas Prasavinitchai (kanan) berjalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, Kemboja.


BANGKOK - Kerajaan Thailand dan Kemboja memanggil duta masing-masing semalam selepas perbalahan diplomatik berlaku kerana isu Thaksin Shinawatra.

Perbalahan itu berlaku berikutan pengumuman kerajaan Kemboja kelmarin yang melantik Thaksin iaitu bekas perdana menteri Thailand sebagai penasihat ekonomi.

"Kami telah memanggil pulang duta dari Kemboja sebagai reaksi balas diplomatik pertama bagi memberitahu kerajaan Kemboja mengetahui perasaan tidak puas hati rakyat Thailand," kata Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva kepada pemberita.

Menurut Abhisit, projek-projek bantuan dan perjanjian dua hala dengan Kemboja akan dikaji semula.

Bagaimanapun, katanya, semua pusat pemeriksaan di sempadan akan terus dibuka.

Seorang pegawai Kementerian Luar Thailand, Chavanond Intarakomalyasut berkata, pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi kerajaan Kemboja dianggap satu tindakan campur tangan dalam politik dalaman kerana bekas perdana menteri Thai itu masih aktif berpolitik.

Kerajaan Kemboja kemudian segera bertindak balas apabila Timbalan Perdana Menteri, Sok An menyatakan pihaknya sedang membawa pulang dutanya dari Bangkok.

Menurutnya, tindakan itu merupakan satu langkah sementara dan akan ditamatkan apabila Thailand menghantar semula dutanya ke Kemboja.

Thaksin masih menjadi tokoh berpengaruh di Thailand walaupun digulingkan junta tentera dalam rampasan kuasa aman pada 2006 dan kini berada dalam buruan pihak berkuasa negara itu kerana dia mengelak daripada menjalani hukuman dua tahun penjara kerana rasuah.

Pasport Thaksin dibatalkan oleh kerajaan menyebabkan dia terpaksa mengembara dengan menggunakan dokumen perjalanan negara lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: